COVID-19: Wanita hamil perlu waspada

0
483

Oleh Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

STATISTIK kes pandemik  COVID-19 melibatkan rakyat tempatan di Malaysia dilihat kian menurun. Namun, kita masih perlu mengamalkan langkah-langkah sewajarnya untuk memastikan risiko dijangkiti wabak ini terus dapat dikurangkan.

Namun, bagaimana  dengan wanita hamil bagi memastikan diri mereka bersedia dan mencegah jangkitan sepanjang situasi Covid-19 ini? Lebih membimbangkan, masih belum ada tanda-tanda vaksin Covid-19 dapat disiapkan dalam masa terdekat ini.

Umumnya, wanita hamil tidak mengalami gejala lebih teruk berbanding orang dewasa lain. Majoriti mereka hanya mengalami gejala demam selesema ringan atau sederhana. Gejala lebih teruk seperti radang paru-paru lebih biasa dilihat pada orang tua atau mereka yang mempunyai sistem imun rendah.

Setakat ini, tiada bukti wanita hamil lebih berisiko mengalami komplikasi serius berbanding individu sihat lain.

Namun, wanita hamil perlu mengambil langkah berjaga-jaga mengelakkan daripada dijangkiti COVID-19. Perkara utama perlu diamalkan adalah seperti kerap mencuci tangan dengan langkah betul sama ada menggunakan air dan sabun atau sanitasi tangan, menjauhkan diri daripada orang tidak sihat, mengelak daripada menghadiri sebarang perhimpunan, mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan jika boleh, bekerja dari rumah.

Menurut Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan dari Pantai Hospital Cheras, Dr. Ida Lilywaty Md Latar, selain golongan tua yang paling ramai dijangkiti Covid-19, antara golongan dikelaskan sebagai berisiko tinggi sudah pasti ialah wanita hamil dan kanak-kanak.

PAKAR Perunding Perbidanan dan Sakit Puan dari Pantai Hospital Cheras, Dr. Ida Lilywaty Md Latar

“Kebanyakan kes COVID-19 di peringkat global mempunyai bukti daripada manusia ke manusia melalui sentuhan, cecair dan fomites (objek seperti pakaian, peralatan dan perabot). Dalam kes kehamilan, adalah penting bagi ibu-ibu untuk ambil tahu dan peka kepada keadaan fizikal mereka. Ini kerana, wanita hamil boleh menjadi asimptomatik atau mempunyai tanda-tanda yang sangat kecil tanpa membawa virus,” katanya.

Wanita hamil yang mengalami gejala yang lebih teruk dan lewat mendapatkan rawatan mungkin mengalami tanda jangkitan paru-paru yang lebih serius dinasihatkan agar mendapatkan penjagaan yang teliti.

Tambah beliau, ibu hamil yang mempunyai simptom coronavirus perlu menghubungi unit bersalin mereka dan unit bersalin akan menguruskan tempat dan masa yang tepat untuk sesi pemeriksaan. Mereka tidak perlu menghadiri rutin klinik antenatal kerana bimbang hal ini akan menyebarkan virus tersebut jika dia bertukar menjadi positif COVID-19.

Risiko

Dr. Ida Lilywaty menjelaskan, kehamilan itu sendiri mengubah sistem imun badan dan tindak balas kepada jangkitan virus yang kadang-kadang boleh dikaitkan dengan gejala yang lebih teruk dan hal ini  sama untuk COVID-19 terutamanya kes yang berlaku pada peringkat akhir kehamilan. Laporan dari China membuat kesimpulan bahawa tiada bukti untuk penyebaran terus COVID-19 (transmisi daripada ibu ke bayi semasa antenatal atau intrapartum) dan janin tidak mungkin akan terdedah semasa mengandung.

“Selain itu,, tiada data yang menunjukkan peningkatan risiko keguguran atau keguguran awal berkaitan dengan COVID-19 dan tiada bukti tentang kaitan jangkitan janin dalam kandungan. Oleh itu, untuk situasi wabak ini, tiada kesan kongenital virus pada perkembangan janin dan tiada bukti yang melaporkan bahawa virus itu teratogenic,” katanya.

Beliau menasihatkan wanita hamil kerap mencuci tangan dengan langkah betul sama ada menggunakan air dan sabun atau sanitasi. Wanita hamil perlu memberi perhatian untuk menjauhkan diri daripada orang tidak sihat, jauhi sesiapa yang mempunyai simptom jangkitan covid dan sebaik-baiknya kurangkan kontak dengan orang ramai.

“Sekiranya anda mempunyai gejala seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak beritahulah pihak klinik ibu dan anak supaya pemeriksaan dapat ditangguhkan sehingga tempoh pengasingan tamat.

“Dalam tempoh PKP ini, wanita hamil juga harus lebih prihatin dalam mengamalkan penjarakan sosial dan mengurangkan kontak dengan orang lain. Ia adalah penting untuk wanita hamil tidak merantau atau pulang ke kampung untuk bersalin supaya risiko jangkitan Covid-19 dapat dikurangkan atau kontak yang rapat dengan pesakit COVID-19, ia perlu dimaklumkan dengan jelas kepada pasukan pemeriksaan biasanya diletakkan di pintu masuk hospital dan juga pakar obstetrik anda,” katanya.

Selain itu, tetaplah berada di tempat tinggal anda dan bersalin di hospital yang berdekatan. Wanita hamil yang mempunyai sejarah perjalanan perlu dikuarantin selama 14 hari dan temu janji pemeriksaan mereka perlu ditangguhkan sepanjang tempoh itu.

Pun begitu, menghadiri klinik antenatal dan postnatal penting demi memastikan kesihatan ibu dan bayi. Semasa tempoh PKP ini, ibu hamil yang mempunyai rutin temu janji untuk imbasan atau antenatal perlu menghubungi unit bersalin mereka untuk mendapatkan nasihat dan merancang jadual pemeriksaan. Mereka mungkin masih perlu menjalani sesi pemeriksaan bersama doktor tetapi jadual pemeriksaan mungkin berubah mengikut bilangan staf yang bekerja.

Ibu-ibu hamil juga boleh mengurangkan sesi pemeriksaan antenatal dan hal ini perlu berbincang terlebih dahulu dengan doktor. Tetapi, tidak perlu mengurangkan sesi pemeriksaan tanpa persetujuan dari pakar obstetrik mereka.

“Semasa lawatan antenatal atau kemasukan, ibu hamil akan diminta untuk memaklumkan bilangan ahli keluarga yang akan berada bersama-samanya pada tahap minimum. Anda juga perlu meminimumkan orang yang menemani anda semasa menghadiri klinik termasuk tidak membawa anak-anak lain bersama,” katanya.

ImplikasiDalam lain-lain jenis jangkitan coronavirus (SARS, MERS), risiko kepada ibu lebih ketara meningkat semasa trimester terakhir kehamilan. Oleh itu, kesan yang sama mungkin berlaku untuk COVID-19.

Terdapat laporan kes kelahiran pramatang dalam kalangan wanita yang mengalami wabak COVID-19, tetapi ia tidak jelas sama ada kelahiran pramatang ialah iatrogenic (perubatan yang berkaitan) atau spontan. Mujurlah pada ketika ini, tiada kematian dilaporkan dalam kalangan ibu hamil.

Tambah Dr. Ida Lilywaty, kebanyakan pesakit COVID-19 di Malaysia akan diuruskan di hospital COVID19 yang ditetapkan. Ini termasuk ibu hamil yang positif yang akan diterima sehingga pemulihan dicapai. Wanita hamil akan diuruskan oleh Pakar Obstetrik untuk urusan dengan pasukan penyakit berjangkit. Sehingga hari ini, cara melahirkan yang disyorkan untuk pesakit positif COVID-19 di Malaysia ialah melalui kaedah pembedahan caesarean dengan langkah berjaga-jaga umum yang ketat.

Ditanya tentang penyusuan susu ibu selepas kelahiran, beliau memberitahu, penyusuan susu ibu adalah masih kontrainidikasi dan yang baru lahir akan diletakkan di bawah pemantauan rapi dan ujian untuk COVID-19 akan dilakukan sebelum pelepasan.

“Pesakit dinasihatkan supaya sentiasa bertenang dan fokus untuk memulihkan kesihatan selepas bersalin dan menyusukan bayi.

“Sementara itu,  persediaan untuk bersalin harus dilakukan awal supaya tidak terburu-buru apabila sampai masanya. Barang-barang keperluan lebih baik disimpan di dalam kereta yang akan menghantar anda ke hospital sewaktu hendak bersalin nanti. Adalah penting untuk anda memastikan anda membawa pembersih tangan untuk kegunaan anda di hospital kelak,” jelasnya.

COVID-19 ialah ancaman menimbulkan kebimbangan semua pihak. Pencegahan awal dapat mengurangkan penularan wabak ini kepada orang lain. Dengan itu, kita seharusnya mengikuti semua saranan daripada kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan agar wabak ini dapat dihentikan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here