Kejatuhan Mukhriz sudah dijangka

0
2714
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri DUN Muhammad Sanusi Md Nor (kanan) mempengerusikan sidang media khas berhubung isu politik Kedah di Kompleks PAS Kota Sarang Semut di sini hari ini. --fotoBERNAMA

Oleh ISMAIL ILYAS

HARI ini sah, seramai 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah telah hilang kepercayaan kepada Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir untuk terus menerajui negeri jelapang padi selaku Menteri Besar.

Sidang media oleh Ketua Pembangkang, Muhammad Sanusi Md. Noor yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah kira-kira pukul 3 petang tadi menjelaskan segalanya. Bagaimana gabungan Pakatan Harapan (PH) campur Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Kedah, tumbang setelah lebih dua bulan bertahan ketika pertelingkahan di peringkat Persekutuan tampak ‘dimuktamadkan’ lebih awal dengan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagi rakyat Kedah, perkara ini bukanlah sesuatu yang sukar dijangka. Perpecahan dalaman dalam kalangan PH terutamanya PKR dan Bersatu di peringkat pusat, membawa kesan mendalam kepada kecelaruan sokongan politik yang harus diterjemahkan oleh ADUN-ADUN PH di Kedah.

Ketika keserabutan politik di peringkat pusat berlaku sejak lebih dua bulan lalu, setiap ADUN PH di Kedah sebenarnya sudah ada ‘pendirian’ sama ada mahu terus cenderung kepada PH atau menyokong PN (Sama ada pendirian tersebut betul-betul demi prinsip atau untuk ‘survival’ politik, itu cerita nombor dua).

Sebenarnya pilihan mereka itu sering diungkapkan sama ada secara ‘direct’ atau ‘indirect’ setiap kali bertemu rakan-rakan. Cumanya mereka yang cenderung kepada kerjasama PN ini tidaklah menyatakan pendirian secara terang-terangan kerana beberapa faktor.

Dan faktor yang paling utuh mendorong mereka berbuat demikian adalah kerana masih menghormati Tun Mahathir kerana sebarang langkah dibuat untuk menyatakan sokongan terhadap PN, pastinya memberi kesan terhadap Mukhriz.

Bagi golongan ini, mereka masih mengharapkan supaya Tun Mahathir dan Mukhriz akan ‘tergerak hati’ untuk berbaik dengan kem Tan Sri Muhyiddin lalu kembali memperkukuhkan Bersatu dan PN demi kebaikan bersama.

Namun semua itu tidak berlaku. Ketika Tun Mahathir diberi laluan selesa untuk kekal menerajui Bersatu, Mukhriz memutuskan untuk mencabar kedudukan Muhyiddin di kerusi presiden.

Maka ADUN-ADUN Bersatu di Kedah ini sedar bahawa pada akhirnya mereka terpaksa membuat keputusan. Dan masa untuk mereka keluar mendedahkan diri masing-masing akhirnya tiba apabila PKR mengambil langkah memecat dan menggantung keahlian anggota parti itu yang dilihat ‘mesra’ Azmin Ali baru-baru ini.

Langkah itu ibarat menghidupkan bom jangka di mana Ketua PKR Cabang Sungai Petani, Dr. Robert Ling Kui Ee mempersoalkan tindakan tersebut. Beliau bersama ADUN Lunas, Azman Nasrudin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama Negeri lalu seperti dijangka, mengambil langkah untuk mengumumkan keluar parti lalu menyatakan sokongan kepada PN.

Di situlah peluang terhidang untuk ADUN-ADUN Bersatu Kedah yang selama ini memendam sokongan kepada PN untuk menyerlahkan diri masing-masing. Maka terjadilah apa yang berlaku hari ini di mana Mukhriz dikatakan tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ADUN untuk terus menjadi Menteri Besar.

Dan baru-baru ini entah mengapa ketika seisi negara masih bergelut mendepani cabaran penularan COVID-19, Mukhriz tiba-tiba membangkitkan perkara mengenai politik dengan menggambarkan nasib Bersatu akan lebih baik jika kekal bersama PH berbanding menjalin kerjasama dengan PN.

Beliau kemudiannya mengadakan pula sesi sembang secara atas talian berhubung perkara itu bersama kepimpinan PH yang lain iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Anthony Loke, Dr. Hatta Ramli secara atas talian. Itu jelas satu kesilapan yang mendatangkan kemarahan rakyat ketika PH jelas ditolak sementara rakyat kian terhimpit dengan isu COVID-19.

Semua itu seakan ‘meranumkan’ lagi usaha menjatuhkan pentadbiran Mukhriz di Kedah. Ketika ini ‘mood’ rakyat tidak menyebelahi PH yang dianggotai DAP dan langkah tersebut nyata mengundang rasa kurang senang rakyat di Kedah yang sememangnya dikenali sebagai negeri Melayu.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here