Pecutan menjejaki Lailatulqadar

0
636
fotoBERNAMA

HARI ini 13 Mei, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ‘disambung’ semula selepas PKP Fasa 4 berakhir semalam. Dan hari ini juga kebetulan permulaan ‘pecutan’ 10 malam terakhir Ramadan. Masing-masing boleh me­lakukan pecutan pada fasa ketiga ini untuk mempertingkatkan ibadah sambil menjejaki Lailatulqadar.

Firman Allah SWT: “Lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan.” (al-Qadar, 3) Hadis riwayat Muslim pula menyebut : “Sesungguhnya Rasulullah SAW berusaha berhabis-habisan dalam mencarinya (Lailatulqadar itu) pada 10 malam terakhir Ramadan.” Begitulah besarnya ganjaran Lailatulqadar.

Tidak ada siapa yang tahu, bilakah malam kemuliaan itu muncul tetapi ketahuilah, bahawa Lailatulqadar ini pasti akan disaksikan oleh sesiapa yang dikehendaki Allah SWT daripada kalangan anak Adam, pada Ramadan setiap tahun, seperti mana yang diriwayatkan di dalam hadis-hadis dan kisah orang soleh.

Mengikut riwayat hadis : Baginda SAW – apabila telah masuk 10 hari terakhir (daripada Ramadan), baginda akan menghidupkan malam-malamnya (dengan qiamullail), membangunkan keluarganya (untuk qiamullail), dan berusaha sesungguhnya, serta mengetatkan (ikatan) kainnya (kiasan kepada tidak berhubungan intim).” (H.R. al-Bukhārī dan Muslim).

Biar bila pun malam itu akan muncul, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam yang mengharapkan ganjarannya berusaha menjejaki setiap malam yang berbaki itu. Sama ada dapat bertemu Lailatulqadar atau sebaliknya, inilah peluang berbaki untuk mengisi malam-malam terakhir dengan pelbagai ibadah dan amalan.

Bersungguh-sungguhlah memenuhi malam yang amat bernilai ini. Selain solat sunat Tarawih , isikan dan sibukkan diri serta keluarga dengan iktikaf, qiamullail, solat tahajud, taubat, hajat dan witir, tadarus al-Quran serta bersedekah. Itulah amalan penting yang perlu diberi tumpuan tanpa mengira malam genap atau ganjil.

Umpama perlawanan bola sepak, biarlah kita menjadi anggota pasukan yang komited untuk layak ke pusingan akhir. Tamatkan pusingan akhir Ramadan ini dengan cemerlang. Jangan biarkan Ramadan berlalu begitu sahaja. Ibarat kekasih yang akan pergi jauh selama setahun, adakah kita sekadar melihat pemergiannya?

Benar, selagi dunia belum kiamat, Ramadan pasti datang lagi tetapi sebagai makhluk Allah, kita belum tentu berpeluang mengetuk pintu madrasah Ramadan selepas ini. Tidak ada sesiapa yang dapat menjangka hayatnya untuk bertemu Ramadan akan datang.

Dan jika bertemu semula sekalipun, kita tidak pasti bagaimana suasananya. Apa tahap kesihatan kita. Lihat sahaja apa yang berlaku pada tahun ini. Kita berpuasa dalam keadaan dihimpit wabak penyakit. Banyak aktiviti tidak dapat dilakukan termasuk solat berjemaah di masjid dan surau.

Justeru, lakukanlah sesuatu yang terbaik untuk mengucapkan ‘selamat jalan’ kepada Ramadan yang masih berbaki. Manfaatkan saki baki malam terbaik ini untuk mencari keampunan dan reda Allah SWT.

Pecutlah, kejarlah! Selagi ada waktu, berilah ruang secukupnya kepada Ramadan. Tidak ada pecutan lain untuk kita mengejar sesuatu. Tidak ada pecutan di jalan raya untuk pulang berhari raya di kampung. PKPB tidak mengizinkan kita merentas negeri untuk pulang ke kampung kecuali yang kampungnya dalam negeri yang sama.

PKPB ini memberi kita lebih banyak masa terluang. Ketika Allah SWT menguji kita dengan Covid-19, ruang untuk beribadah lebih luas, memungkinkan kita meningkatkan amalan seperti membaca al-Quran. Kita tidak disibukkan dengan mencari juadah di bazar Ramadan atau membuat persiapan hari raya di pusat membeli belah.

Sesungguhnya di sebalik kesulitan Covid-19, ada kelebihan yang kita nikmati. Selamat menjejaki Lailatulqadar.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here