Ibrahim – warga Malaysia pertama menjejak ‘Grand Happy Slam’

0
684
IBRAHIM (depan, tiga dari kiri) bersama keluarganya dan bekas rakan pengulas RTM, Jamaludin Alias (depan, dua dari kanan).

TIGA puluh tahun sebelum Christian Didier Chin menjejak kaki ke pusingan kedua kategori remaja Terbuka Australia (AO), tampil seorang warganegara pertama Malaysia yang mencatat sejarah tersendiri.

Sekalipun bukan seperti pemain kelahiran Sabah itu, Ibrahim Abu Bakar tetap berbangga kerana mendapat penghormatan ditugaskan sebagai pengadil garisan kejohanan tenis bertaraf Grand Slam ini pada 1988.

Pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ini menikmati pengalaman keemasan seumur hidup yang mungkin tidak diperoleh ramai orang biarpun dalam suasana para penonton Terbuka Australia ketika itu yang masih tebal dengan sikap perkauman dan warna kulit.

“Satu pengalaman yang indah dalam sebuah kejohanan dunia yang segala aspek perlu diambil perhatian,” kata Ibrahim juga bekas pengulas sukan sambilan Radio Televisyen Malaysia (RTM) kepada BebasNews.

“Para pegawai pertandingan datang dari seluruh dunia. Mereka cukup berminat mengetahui sesuatu perkara. Sebagai pegawai bukan berkulit putih yang bertugas dalam Terbuka Australia, saya antara yang menjadi bahan ketawa penonton.

“Sebelum muncul Venus dan Serena Williams bersaudara (pemain wanita berkulit hitam, ketika itu hanya ada Zina Garrison,” rujuknya kepada kejohanan yang turut digelar ‘Grand Slam Yang Ceria’ (Happy Slam) ini.

IBRAHIM (belakang, dua dari kanan) ketika menghadiri kursus kejurulatihan tenis di Universiti Tenis Van Der Meer, South Carolina, Amerika Syarikat pada 1984.

Ibrahim, 79, turut mengimbas semula satu adegan melucukan berbaur mendebarkan walaupun kurang mengingati perlawanan yang mana satu dan siapa pemain-pemainnya yang berentap ketika itu.

“Satu ketika, saya ditugaskan sebagai pengadil garisan. Servis yang dibuat seorang pemain itu sungguh kencang. Saya mengelak. Kalau tidak, bola boleh terkena ‘burung’ (kemaluan) kita. Pecah ketawa para penonton dan gamat Melbourne Park.

“Sesebuah Grand Slam menjanjikan pemain bergelar jutawan. Juara perseorangan lelaki dan wanita menerima hadiah AS$1 juta dalam era 80-an. Setiap pegawai diperkenalkan kepada 125 pegawai sesama kami. Kita rasa bangga apabila nama dan negara kita disebut
“Itulah tenis profesional,” katanya yang turut bermurah hati dengan mendermakan dua tiket ‘complimentary’ (sumbangsih) Terbuka Australia untuk setiap pegawai miliknya, kepada pelajar Malaysia di sana.

Selain AO, turut diiktiraf sebagai Grand Slam tenis dunia ialah Terbuka Perancis (gelanggang tanah liat), Terbuka Wimbledon (gelanggang rumput) dan Terbuka Amerika Syarikat (gelanggang keras).

Ibrahim juga tidak hadir di Melbourne Park tanpa ilmu tenis di dada, sebagai pegawai mahupun bekas pemain. Dialah juga bekas juara beregu remaja kebangsaan 1959 dan mewakili TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia dari 1962 hingga 1982.

“Saya turut pernah bertugas sebagai Pegawai Pertandingan Tenis Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965 dan 1971selain pegawai perhubungan antarabangsa Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) pada temasya sama, 1977. Turut sekali ialah pegawai kejohanan Piala Ghafar 1983-’85.

“Juga pernah dilantik selaku pengurus pasukan Piala Persekutuan 1982 (Colombo, Sri Lanka), Sukan SEA Bangkok 1985, Kuala Lumpur 1989 dan Jakarta 1997 serta Pengarah Kejohanan Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) Kuala Lumpur selain pegawai protokol Putera Sufri Bolkiah (Brunei) dalam Sukan SEA KL 2001dan yang terakhir, juri antarabangsa Sukan Asia Incheon 2014,” katanya.

Beliau juga menimba ilmu kejurulatihan tenis antaranya di Universiti Tenis Van Der Meer, South Carolina, Amerika Syarikat pada 1984 sebelum mencurahkan ilmu sukan raket itu di Institut Penyiaran Tun Abdul Razak (juruulas) dan Maktab Perguruan Islam (pegawai tenis).

IBRAHIM Abu Bakar sebagai juri antarabangsa tenis Sukan Asia Incheon 2014

Ibrahim juga pernah menyandang jawatan Setiausaha Eksekutif Persatuan Tenis Lawn Malaysia (LTAM) pada 2010, Naib Presiden dan Setiausaha Agung Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2004 serta Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2005-2009.

Anak jati Kampung Baru, Kuala Lumpur ini dilahirkan pada 21 Julai 1941. Dia dikurniakan dua anak lelaki dan seorang perempuan serta mempunyai 10 cucu. Isterinya sudah kembali ke rahmatullah pada 2012.

“Saya hanya pengulas sambilan RTM setahun selepas bersara TUDM pada 1982. Juga menulis skrip laporan perlawanan untuk siaran radio antaranya bola sepak Pestabola Merdeka dan Kelayakan Olimpik, Kelayakan Piala Dunia Ragbi 7 Sebelah, Hoki Piala Dunia Remaja dan Sukan Komanwel KL ’98,” katanya.

Pada era itu katanya, RTM turut memiliki ‘bintang-bintang ‘ pengulas handalan seperti Datuk Rahim Razali, Jahaya Mahmud, Abdullah Hasim, Hussin Ibrahim, Allahyarham Datuk Hasbullah Awang, Jamaludin Alias dan Dzulkarnain Hassan.

Menoleh perkembangan tenis negara katanya, “kita ada Jawariah Nordin, seorang pemain wanita berbakat. Dia pencabar bagus yang kerap berjuang habis-habisan sehingga tiga set. Kemerosotan permainannya sekarang kerana ada campur tangan pihak tertentu.

“Sukan Malaysia masih bertaraf amatur, sepatutnya sudah diterapkan profesionalisme. Itu sebabnya prestasi atlet negara tidak ke mana. Pada usia 18 tahun, atlet sepatutnya sudah bergelar juara remaja dunia sedangkan mereka masih tahap Sukan SEA.

“Pentadbir persatuan sukan pula perlu berfikir di luar kotak. Jika yang dibayar gaji, mereka patut tekun dan jayakan tugas. Anda gagal, silalah keluar,” ulas Ibrahim yang namanya turut tercatat dalam ‘Encyclopedia of Asian Tennis’.-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here