Kali ini, biarlah selepas sebulan berpuasa tiba masa menjaga nyawa

0
533
FOTO: NSTP.

Oleh HAFIZ HASSAN

SAYA tertarik dengan cadangan Penasihat Khas Perdana Menteri (Kesihatan Awam), Dr. Jemilah Mahmood agar perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan semasa Hari Raya Aidilfitri sebagai langkah mencegah lonjakan kes Covid-19 di negara ini.
Saya fikir, kenapa tidak?

Kalau seorang agamawan, seperti seorang Mufti yang merupakan pakar rujuk fikah, boleh menasihatkan pihak berwenang untuk membatalkan sesuatu yang sefardhu solat Jumaat demi maqasid syariah (matlamat utama atau tujuan syariat) kenapa tidak seorang pakar perubatan memberi nasihat dalam kepakarannya?

Maqasid itu lima – agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Bukankah PKP bermaksud untuk menjaga nyawa? Tanpa nyawa, agama tidak dapat dipelihara.

Seperti pencerahan yang dibuat oleh ramai pakar rujuk, setiap usaha yang menjaga lima maqasid itu dikenali sebagai maslahah, manakala setiap usaha yang mengabaikan lima maqasid tersebut dinamakan mafsadah (kerosakan).

Oleh itu, menolak mafsadah adalah suatu maslahah. Menguatkuasakan PKP semasa Hari Raya Aidilfitri boleh dikatakan usaha menolak mafsadah, iaitu lonjakan kes Covid-19.
Kefarduan solat Jumaat boleh gugur atas faktor-faktor muktabar yang diperakui oleh syarak seperti sakit, hujan lebat, musafir, perempuan, belum baligh, tidak berakal dan seumpamanya,

Saya fikir acara yang lebih bersifat amalan masyarakat seperti lawatan pada Hari Raya Aidilfitri – meski digalakkan syarak – lebih-lebih lagi boleh digugurkan.

Saya akur, selepas sebulan berpuasa tiba masa berhari raya. Ia disambut, antaranya, dengan bersolat hari raya, bertakbir raya, berkunjung ziarah dan bersalaman.

Bersolat hari raya dan bertakbir masih boleh dilakukan di rumah masing-masing secara berjemaah tetapi berkunjung ziarah dan bersalaman boleh digugurkan – kali ini.

Biarlah kali ini, selepas sebulan berpuasa tiba masa menjaga nyawa. Kerana ini merupakan tuntutan agama.

-BebasNews

*Hafiz Hassan merupakan pembaca BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here