Peguam: Kenyataan bercanggah oleh Thomas, SPRM berhubung Riza perlu diperjelaskan

    0
    2254
    fotoBERNAMA

    Oleh YUSOFF AHMAD SHARIFF

    PEJABAT Peguam Negara (AGC) perlu menjelaskan percanggahan kenyataan di antara Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas berhubung ke atas penerbit filem Riza Shahriz Abdul Aziz yang berdepan dengan tuduhan pengubahan wang haram.

    Peguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun sepatutnya menjelaskan dan menjaga nama baik pihak-pihak berkenaan, lapor The Star.

    Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada perkembangan terbaharu berkaitan kes Riza di mana anak tiri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bersabit lima tuduhan pengubahan wang haram berjumlah USD248juta (RM1.25bil) oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam (14 Mei).

    Susulan keputusan mahkamah itu pihak SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan dijangka mendapatkan kembali aset-aset seberang laut bernilai USD107.3juta (RM465.3juta) berikutan perjanjian di antara pihak pendakwa dan tertuduh.

    Menurut kenyataan itu perjanjian tersebut melalui representasi kepada pihak berwajib adalah keputusan yang dipertimbangkan dan dipersetujui oleh Thomas.

    Thomas, bagaimana pun, telah menafikan ini dalam kenyataan yang dihantar kepada portal berita The Malaysian Insight.

    “Saya telah meletakkan jawatan dua setengah bulan lalu dan memang tiada perjanjian untuk menggugurkan caj terhadap Riza. Oleh itu adalah tidak betul bahawa saya menyetujui keputusan tersebut.

    “Saya amat kecewa kerana pihak SPRM mengeluarkan kenyataan palsu itu,” beliau dilaporkan berkata.

    Dalam pada itu Haniff pula berkata adalah ‘tidak sihat’ diabaikan percanggahan terang-terangan dan penafian berhubung perkara tersebut.

    Menurut beliau ia boleh mencalarkan integriti dan kedudukan semua pihak yang terbabit, sama ada Thomas, pendakwa yang dilantik (dalam kes) iaitu Datuk Seri Gopal Sri Ram mahu pun SPRM.

    Sementara itu, peguam kanan Datuk Baljit Singh Sidhu berkata Thomas perlu membuat laporan polis dan mengemukakan saman sivil berhubung perkara tersebut.

    Beliau berkata SPRM berani membuat kenyataan tersebut dan semestinya  mereka mempunyai asas yang kukuh.

    -BebasNews

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here