Semoga tidak ada kluster PRK jika PKR bertanding

0
516

MUNGKINKAH Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini akan memberi kemenangan percuma kepada Barisan Nasional (BN) ? Jika berlaku, RM4.3 juta bakal diselamatkan.

Persoalannya bersediakah pembangkang memberi laluan sedangkan kerusi yang ada sanggup dikosongkan untuk diadakan PRK? PKR dijangka tidak menyerah dan mustahil BN akan diberi laluan mudah.

Walaupun demokrasi membenarkan PRK ditandingi sesiapa sahaja yang layak, tetapi pertimbangan boleh dibuat bergantung kepada parti politik atau mana-mana individu yang berminat menawarkan diri.

PRK itu ditetapkan pada Sabtu, 4 Julai manakala penamaan calon ialah pada 20 Jun dan pengundian awal akan diadakan pada 30 Jun.

Kerusi itu kosong susulan kematian ADUN Chini, Abu Bakar Harun akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu. Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi, menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi, dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.

PRK ini boleh dielakkan dengan memberi laluan kepada BN mempertahankan kerusi itu yang secara tidak langsung bukan sahaja akan menyelamatkan wang kerajaan tetapi juga wang parti politik. Pada masa yang sama apa yang lebih penting bagi menjaga kesihatan penduduk serta orang politik dari luar kerana dibimbangi PRK boleh mencetuskan rantaian Covid-19.

Perlu diingat, menang atau kalah tidak memberi sebarang kesan kepada mana-mana pihak kerana kedudukan kerusi sekarang adalah daripada BN menguasai 25, sekarang 24 daripada 42 kerusi , Pakatan Harapan 9 (DAP 7 PKR 2) dan Pas 8. Berikutan kewujudan Muafakat Nasional, kedudkan BN semakin kukuh.

Dan jika diselak semula keputusan kerusi ini pada PRU lalu, Abu Bakar menang selesa dengan memperoleh 10,027 undi, majoriti 4,622 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi, dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi. Saingan BN adalah Pas.

Kecuali pemikiran pengundi sudah berubah, BN tidak menghadapi masalah untuk mempertahankan kerusi yang kedudukannya di kawasan Parlimen Pekan itu.

PRK ini sekadar untuk mengisi kekosongan setelah kematian wakil rakyatnya. Ia bukan gelanggang untuk menguji pengaruh masing-masing. Kecuali pembangkang bertanding hanya untuk cuba mencalarkan imej mantan Perdana Menteri, Najib Tun Razak yang mengetuai Parlimen Pekan.

Begitu juga jika pembangkang ingin memeriahkan pentas politik untuk meluahkan apa sahaja yang terbuku di hati setelah kerajaan PH tumbang termasuk di peringkat beberapa negeri. Bagaimanapun, perlu juga dilihat kawasan kerana mungkin pentas terisi tetapi khalayak pendengar atau penonton kosong atau diisi orang luar.

Mungkin juga alasan popular pembangkang untuk bertanding adalah kerana mahu ‘menghidupkan demokrasi’, memberi pilihan kepada rakyat. Mungkin ini lebih demokrasi berbanding mengisi kekosongan kerusi yang dikosongkan hanya semata-mata mahu memberi laluan kepada orang lain di dalam parti yang sama.

PRK ini akan diadakan ketika negara malahan dunia masih berperang dengan wabak Covid-19 walaupun kemungkinan ketika itu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sudah berakhir. Perlu diingat wabak ini belum ada penawarnya dan sebarang kesilapan boleh mewujudkan satu kluster baharu – kluster PRK.

Terserah kepada parti politik membuat keputusan. Apa yang pasti, BN perlu mempertahankan kerusi yang disandangnya secara demokrasi sama ada melalui peti undi atau pun menang tanpa bertanding.

Tidak pasti apakah bentuk atau kaedah yang akan digunakan untuk mematuhi arahan kerajaan bagi kawalan pencegahan Covid-19. Apa yang pasti, saluran khusus kepada pengundi berusia 60 tahun yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Jika tidak dapat dielakkan, diharap PRK ini dapat memenuhi pelbagai SOP bagi melindungi pengundi dan orang awam di kawasan berkenaan yang mungkin dikunjungi pekerja politik untuk berkempen selama 14 hari.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here