SIA rugi kali pertama sejak hampir 50 tahun beroperasi

0
927
FOTO: Wikimedia Coommons/Paul Schmid / CC BY-SA (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0)

MEROSOT… Selama 48 tahun diwujudkan, Singapore Airlines (SIA) sering bangga dengan imej gah kewangan syarikat itu catat untung besar sehingga dijadikan model oleh operator udara lain.

Malangnya kali ini, SIA yang ditubuhkan pada 1972 setelah berpisah operasi daripada jirannya, Malayan Airways, tanpa diduga lapor kerugian tahunan pertama dalam sejarah syarikat tersebut.

Media tempatan melaporkan, SIA semalam mengesahkan telah alami kerugian bersih berjumlah S$212 juta (RM647 juta) untuk rekod tahun kewangan syarikat yang berakhir pada 31 Mac lalu.

Syarikat milik sayap pelaburan pemerintah, Temasek Holdings itu merosot teruk berbanding keuntungan diraih sebanyak S$683 juta (RM2.08 bilion) dalam tahun kewangan sebelumnya.

Kerugian 94 peratus itu disebabkan oleh kejatuhan besar pada permintaan penerbangan akibat penularan pandemik Covid-19 di sebalik kelebihan kadar harga minyak global yang agak murah.

Malahan untuk tiga bulan pertama tahun ini sahaja, ia sudah pun rugi S$732 juta (RM2.2 bilion) berbanding catat keuntungan bersih S$203 juta (RM620 juta) pada tempoh sama tahun lepas.

Baru-baru ini, SIA melancarkan penjualan saham bernilai puluhan bilion dolar kepada pemegang saham bagi kumpul modal untuk harungi krisis yang melanda industri penerbangan sekarang.

Pihak pengurusan SIA menyifatkan wabak berbahaya Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini sejak awal tahun sebagai cabaran paling besar yang pernah dihadapi industri tersebut.

Kumpulan SIA yang memiliki operator penerbangan serantau, SilkAir dan syarikat penerbangan tambang rendah, Scoot, turut umumkan pengurangan perbelanjaan modal sebanyak 12 peratus.

Ia juga terpaksa menaikkan tambang penerbangan dengan drastik ekoran kapasiti tempat duduk perlu dikurangkan hampir separuh bagi kekang jangkitan Covid-19 dalam kalangan penumpang.

Pada masa ini, SIA dilapor menggaji hampir 15,000 pekerja serta mempunyai 137 buah pesawat dari pelbagai model dan keupayaan terbang dari hub Changi ke 62 destinasi utama di dunia.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here