Gol Safawi menang ‘anugerah masa lapang’ ACL

0
1863
SAFAWI Rasid (dua dari kanan) dipilih pemenang ‘5 of the Best: Curlers’ laman the-afc.com. - Foto AFC

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

BUKANLAH satu anugerah yang berprestij tetapi tetap boleh dianggap yang paling popular dalam kalangan para peminat atau pengunjung laman sesawang rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia, the-afc.com.

Tradisinya, AFC mempunyai Anugerah Tahunan AFC setiap Disember yang mengiktiraf pencapaian pemain, pegawai dan persatuan ahli gabungan bola sepak benua Asia itu menurut kaca mata panel pakar terpilih dan berwibawa.

Malah AFC masih tidak memiliki kategori tertentu bagi mengiktiraf gol tercantik daripada semua pertandingan kelolaannya termasuk dalam anugerah itu, berbeza dengan Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sayap kanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid hari ini diisytiharkan sebagai pemenang ‘5 of the Best:

Curlers’ (Penjaring Melengkung Daripada 5 Terbaik) yang dinilai dan dicalonkan sepanjang saingan Liga Juara-juara Asia (ACL).

Gol sepakan kidal berbisanya diledakkan dari jarak 22 meter ke gawang kelab China, Shandong Luneng pada 9 April 2019 itu menewaskan empat pencabar setelah memperoleh 79,751 undi secara atas talian atau 50 peratus daripada jumlah 159,502 undi.

SAFAWI (dua dari kanan) diraikan rakan sepasukan JDT selepas golnya terhadap Shandong Luneng dalam ACL pada 9 April 2019. – Foto AFC

Mendapat umpanan jauh Afiq Fazail pada minit ke-59, Safawi yang juga sayap Harimau Malaya, melarikan bola sambil disaingi pemain tuan rumah, Wu Xinghan lalu melepaskan rembatan melengkung dari sebelah kanan sejauh 22 meter.

Walau bagaimanapun JDT akhirnya tumpas 2-1 dalam saingan Kumpulan E ACL pada 9 April 2019 dan disaksikan oleh 11,602 hadirin Pusat Sukan Olimpik Jinan, Shandong, China.

Pencalonan ‘5 of the Best: Curlers’ ini juga boleh dianggap hanya sebagai pengisi masa lapang ACL 2020 yang tertangguh sejak awal Mac lalu gara-gara penularan pandemik maut Covid-19 dan sekatan pergerakan umum di hampir seluruh Asia.

JDT menghuni anak tangga kedua Kumpulan G ACL 2020 dengan tiga mata selepas dibenam pendahulu, Vissel Kobe 5-1 di Misaki Park, Kobe pada 12 Februari lalu namun bangkit menundukkan Suwon Samsung Bluewings (Korea Selatan) 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru, 3 Mac lalu.

Yang terhampir menyaingi Safawi juga tonggak Harimau Malaya ialah penyerang Esteghlal, Mame Thiam dari Senegal yang turut menjaringkan gol dari luar kotak penalti terhadap Zobahan pada pusingan kedua ACL 2018.

Golnya juga dengan kaki kiri di Stadium Azadi, Tehran itu memberikannya 76,560 undi atau 48 peratus daripada keseluruhan undi peminat.

Jenis-jenis jaringan yang dicalonkan bagi ‘5 of the Best: Curlers’ merangkumi yang dibuat secara akrobatik, gerakan solo, rembatan awangan, ledakan jarak jauh, cungkilan, sepakan bebas, sungkitan, tipu helah dan tolakan tumit.

Undian yang dibuka menerusi laman the-afc.com sejak 7 Mei lalu dan ditutup pukul 4 petang ini menayangkan semula rakaman video jaringan kesemua calonnya sebagai rujukan para peminat.

Tiga lagi calon penjaringnya ialah pemain Korea Selatan, Nam Tae-hee dengan kelab Lekhwiya (Qatar), Oscar (Brazil, Shanghai SIPG) dan Serginho (Brazil, Kashima Antlers).

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here