Balik Kampung: Ibu bapa mangsa ‘pembunuh senyap’ Covid-19

0
1345
FOTO:NSTP.

Oleh AHMAD ABD HAMID

POLIS mengarahkan 508 kereta yang ditahan pada sekatan jalan raya Jumaat 15 Mei berpatah balik ke destinasi asal setelah didapati cuba merentas antara negeri untuk balik kampung berhari raya.

Mengambil kira purata dalam sebuah kereta ada empat penumpang, bermakna ada 2,032 orang yang terlibat dalam percubaan balik kampung ini.

Ini berlaku dalam tempuh seminggu menjelang Hari Raya Aidilfitri. Ia tidak akan berhenti setakat itu. Akan ada lagi percubaan rentas negeri apabila hari raya semakin hampir.

Ramai akan mencuba nasib. Jika terpaksa berpatah balik sekurang-kurangnya sudah mencuba. Jika bernasib baik mungkin terlepas. (Malah, ada yang terlepas, menunjukkan gambar balik kampung dalam media sosial). Pihak polis mestilah bertindak tegas dan keras agar ini tidak berlaku.

Walau pun jelas balik kampung rentas negeri tidak dibenarkan, insiden 508 kereta itu menggambarkan sikap tidak peduli rakyat terhadap arahan kerajaan.
Sikap tidak berdisiplin seperti inilah yang sangat dibimbangi dalam gelombang wabak Covid-19 yang masih belum reda sepenuhnya.

Tahap disiplin ketika sambutan hari raya juga sangat meragukan. Walau pun berhari raya rentas negeri tidak dibenarkan, sambutan dalam sesama negeri pun turut membimbangkan. Percayalah dengan kelonggaran yang diberi akan berbondong-bondong berhari raya dan ziarah menziarah.

Bolehkah dipastikan kunjungan hari raya ke sesebuah rumah pada satu-satu masa tidak melebihi 20 orang seperti yang ditetapkan? Adakah mereka akan ambil peduli tentang penjarakan sosial atau ‘social distancing’?

Peraturan memang boleh dibuat tetapi bagaimana dengan penguatkuasaan? Tidak mungkin pihak berkuasa dapat memantau di semua tempat pada sepanjang masa. Diri sendirilah yang mesti berdisiplin.

Dalam kegembiraan ini mereka akan lupa segala amalan yang patut dipatuhi seperti memakai penutup muka, menggunakan sanitizer dan menjaga penjarakan sosial.

Perlu diingat, ada banyak kes di mana mereka yang dijangkiti virus Covid-19 tidak menunjukkan sebarang gejala-gejala biasa seperti demam, batuk dan selesema.

Oleh itu tiada siapa tahu jika ada dalangan kalangan mereka yang bergembira berhari raya ini adalah pembawa atau ‘carrier’ yang kemudiannya menularkan kepada yang lain, dan seterusnya secara berangkai.

Kerana itulah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengingat dan menasihatkan agar hari raya ini disambut secara tertutup di rumah masing- masing.
Aktiviti kunjung mengunjung hendaklah ditangguhkan jika tidak perlu demi menjaga keselamatan keluarga dan golongan berisiko tinggi.

Malah Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood mencadangkan agar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan semula pada perayaan Aidilfitri ini.

Semua ini menzahirkan kebimbangan bahawa pergerakan dan perhimpunan tidak terkawal pada hari raya akan menyebabkan gelombang Covid-19 melanda kembali. Jika ini berlaku, usaha mengekang wabak ini selama ini tidak bermakna.

Ramai yang mahu meraikan Aidilfitri seperti biasa. Tetapi Syawal tahun ini tidak seperti biasa. Justeru sambutannya juga perlu di luar norma biasa. Terimalah kelainan ini demi keselamatan diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Janganlah kerana keghairahan berhari raya, maka keluk graf Covid-19 naik kembali. Ketika itu seribu penyesalan tidak berguna. Lebih buruk lagi jika kita penyebar Covid-19 kepada ibu bapa sendiri di kampung.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here