Legenda libas Sukan Asia 1990 jual mug buat reunion

0
987
LEGENDA emas berganda Sukan Asia Beijing 1990.

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

TUNJUKKAN penghargaan anda atas jasa wira-wira silam negara di arena sukan antarabangsa!

Jangan biarkan nama-nama mereka tersimpan dalam lipatan sejarah sahaja tetapi jadikanlah sebagai sumber inspirasi generasi jagoan masa depan untuk mengukir kejayaan yang lebih besar buat Malaysia.

Hanya dengan RM16, para peminat sukan tanah air khususnya sepak takraw, mampu menzahirkannya dengan membeli mug (cawan) cenderamata istimewa berjudul ‘Legenda Emas Sepak Takraw Malaysia Sukan Asia Ke-11, Beijing 1990’.

Mug ini merupakan satu barangan cenderamata pengenalan skuad legenda pemenang dua pingat emas sepak takraw temasya itu, bagi membantu membiayai Majlis Makan Malam Reunion mereka pada 3 Oktober 2020.

Jurucakap skuad legenda ini, Rosli Ab. Rahman berkata, “majlis ini bertujuan menghimpunkan semula dan menjalin silaturahim kesemua 12 pemain skuad selepas 30 tahun kami mencipta kejayaan bersejarah di Beijing itu.

“Buat masa ini, hanya mug cenderamata yang dibuka untuk jualan kepada orang ramai. Cadangan selepas ini mungkin jualan cenderamata lain seperti baju T, rantai kunci atau topi dan sebagainya,” kata bekas apit kiri atau pengumpan handalan ini.

Mug ini memaparkan wajah dan nama para pemain berkenaan serta logo Sukan Asia Beijing 1990. Berminat untuk memilikinya sebagai tanda sokongan dan penghargaan, sila hubungi Rosli, 013-3021008.

MUG cenderamata skuad Legenda Emas Sukan Asia Beijing 1990 dijual RM16 sebiji bagi membiayai dana majlis reunion mereka, Oktober ini.

Lain-lain anggota skuad ini ialah Nordin Sabarudin, Noor Rani Adnan, Ahmad Jais Baharun, Mohd. Noor Abdullah (tekong), Rehan Mohamad Din, Shaari Hashim, Raziman Hassan, Engku Abd. Halim Ku Musa, Baharum Jahar (perejam), Abd. Malek Samsudin dan Suhaimi Yusof (pengumpan).

Mereka menewaskan Thailand 2-1 dalam perlawanan akhir acara regu berpasukan dan 2-0 (antara regu) Sukan Asia 1990 untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu Negaraku berturut-turut di Gimnasium Fengtai, Beijing.

Dalam final regu berpasukan, regu pertama negara yang membariskan Nordin, Rehan dan Malek meraih mata 1-0 dengan menumpaskan Narong Chaikeawnopparat, Ittipol Komchaisak dan Kriengkrai Mutalai 9-15, 15-12, 15-7.

Namun regu kedua, Jais, Shaari dan Rosli tewas 5-15, 11-15 kepada Pakdee Dangwattanapaibul, Khamnuan Sonnanont dan Chucheep Kongmeechun lalu kedudukan terikat 1-1 sebelum mata  emas dipastikan Rani, Halim dan Raziman yang menjinakkan Surat Na Chiengmai, Wirach Ponmoung dan Visut Boonsuya 18-13, 11-15, 18-15.

Bagi antara regu, Nordin, Rehan dan Malek menewaskan Pakdee, Kriengkrai dan Chucheep 15-10, 15-11 selepas berentap sejam 31 minit. Jurulatih Malaysia ketika itu ialah Haris Abdul Rahman dan Yunus Ibrahim.

Kemarau emas regu berpasukan Malaysia sudah berpanjangan dua dekad sejak itu termasuk Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 (kecuali Hiroshima 1994 tidak mempertandingkannya), terutama akibat kalah kepada musuh tradisi, Thailand.

Kata Rosli, majlis tersebut yang turut belum ditentukan tempatnya, walau bagaimanapun masih perlu bergantung kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan sekarang.

“Sebelum ini kami pernah mengadakan reunion pertama pada 2 Julai 2011 di Rumah Kelab Sukan MAKSWIP, Kuala Lumpur,” katanya yang juga pemenang emas berganda Sukan SEA Manila 1991 dan Piala Raja Thailand 1988.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here