Blok pembangkang: Bersatu boleh pecat Mahathir?

0
9587

Oleh Datuk Seri Syed Ali Alhabshee

1. PERASMIAN Mesyuarat Pertama Penggal Ke-3, Parlimen ke-14 hari ini, jelas kelihatan ‘janggal’ yang amat ketara dengan Tun Dr Mahathir Mohamad (BERSATU Langkawi) menduduki kerusi blok pembangkang.

2. Tindakan bekas Perdana Menteri ke-7 itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan BERSATU adalah parti yang menjadi tunjang kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

3. Turut berada di kerusi blok pembangkang bersama Dr Mahathir difahamkan empat (4) orang lagi Ahli Parlimen BERSATU.

4. Perasmian persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pagi ini telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ahmad Shah.

5. Saya selaku pemerhati politik dan bekas Ahli Dewan Negara (Senator), melihat tindakan Dr Mahathir pagi ini sebagai berlawanan dengan beliau dalam politik dan sebagai bekas Perdana Menteri.

6. Saya juga amat hairan mengapa Dr Mahathir tergamak bersekongkol dengan golongan yang terang-terang mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukan beliau selaku Perdana Menteri atas kepentingan mereka.

7. Audio mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari 2020 yang tersebar luas jelas menunjukkan Tan Sri Muhyiddin sendiri mempertahankan Dr Mahathir daripada golongan yang mendesak beliau melepaskan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim.

8. Saya berdoa supaya Dr Mahathir tidak lagi dipermainkan dan diperkotak-katikkan oleh golongan-golongan yang menolak permuafakatan Melayu-Islam ini.

9. Dengan berada di kerusi blok pembangkang di Dewan Rakyat, tindakan Dr Mahathir bersama empat lagi ahli BERSATU juga dilihat sebagai satu perbuatan khianat kepada parti mereka sendiri.

10. Saya difahamkan daripada 24 Ahli Parlimen BERSATU, hanya lima orang saja termasuk Dr Mahathir berada di blok pembangkang.

11. Ini menunjukkan Tan Sri Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen daripada BERSATU, yang juga Presiden parti tersebut.

12. Justeru, saya berpendapat Dr Mahathir sudah boleh dipecat daripada BERSATU kerana tindakannya di Dewan Rakyat hari ini sudah jelas membuktikan beliau tidak bertanggungjawab terhadap parti yang beliau sertai.

13. Pada hemat saya juga, Tan Sri Muhyiddin selaku Presiden BERSATU dengan sokongan majoriti yang beliau miliki, mempunyai hak untuk memecat Dr Mahathir.

14. Jika dilihat kepada kedudukan persidangan Dewan Rakyat hari ini, menyaksikan 114 Ahli Parlimen berada di blok kerajaan manakala 107 orang lagi termasuk Dr Mahathir berada di blok pembangkang.

15. Ini sekaligus menunjukkan Tan Sri Muhyiddin juga mempunyai sokongan majoriti di Parlimen sebagai Perdana Menteri.

16. Sekaligus memberi tamparan hebat kepada Dr Mahathir dan sekutu PH yang sebelum ini mendakwa Tan Sri Muhyiddin tidak memperolehi sokongan majoriti di Parlimen.

17. Saya tidak mengiyakan dakwaan ramai bahawa Dr Mahathir berbohong tapi hari ini ia terbukti sahih majoriti Ahli Parlimen menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here