Pesan ayah berlaku adil

Oleh Adi Sukma dan Dato Prof Emeritus Dr Hashim Yaacob
PADA hari pertama saya dilantik sebagai Ketua Jabatan di salah sebuah fakulti di Universiti Malaya dulu, arwah ayahanda mengingatkan saya bahawa seseorang Ketua Jabatan adalah “pengadil” yang tidak akan lepas daripada mengadili atau menghakimi apa saja yang berlaku di jabatan kendaliannya. Ini ialah kerana sebagai Ketua, kerapkali saya akan menghadapi keadaan yang saya diwajibkan untuk membuat keputusan bukan sahaja yang membabitkan proses tetapi juga keatas kakitangan yang bermasalah.

Ayah menekankan periwajibnya saya membuat keputusan yang saksama berlandaskan bukti dan akal fikiran, bukan kerana menurut hawa nafsu yang terkeluar dari peraturan.

Ayahanda kata bahawa dalam jawatan itu saya adalah “hakim” yang mesti belajar untuk menilai kebenaran agar keputusan dapat dibuat dengan saksama. Dia tidak mahu saya terjebak dalam kancah pengkhianatan terhadap kakitangan di bawah seliaan saya.

Ayahanda saya mengukuhkan nasihatnya itu dengan memberikan saya satu Hadis yang diriwayatkan oleh Tirmidzi No 1244: “Hakim itu ada tiga, dua di neraka dan satu di syurga, pertamaya, yang menghukum secara tak benar. Maka dia ke neraka. Kedua yang bodoh lalu menghancurkan hak-hak manusia. Maka dia ke neraka. Ketiga yang menghukum dengan benar. Maka dia ke Syurga”.

Pesan ayahanda itu saya cuba mentaati seboleh daya, kerana beliau adalah ayahanda yang sering mendoakan kejayaan dan kebahagian saya. Tambahan pula saya tidak mahu masuk neraka dunia mahupun di akhirat.

Ayahanda menyifatkan bahawa perkataan “Hakim” bolehlah juga digunakan secara meluas untuk merujuk kepada sesiapa yang bijaksana menilai masalah dan mengadilinya.

“Hakim” jenis ini selalunya dirujuk sebagai “Pengadil” dan tugasnya tiada kaitan dengan mahkamah.

Pada tahun 1992, sewaktu menuntut di UIAM dalam program Diploma Pengajian Islam, saya berpeluang menulis satu rencana mengenai kewajipan pengadil untuk mengadili dengan adil. Saya menjumpai beberapa Firman Allah SWT mengenainya. Antaranya ialah:

“Al Asr 2, 3: Sesungguhnya manusia benar-benar dalam kerugian… kecuali orang-orang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati kepada kebenaran dan kesabaran.

Al Takathur 8: Sesungguhnya pada hari itu kamu akan ditanya tentang segala nikmat yang telah kamu nikmati.

Al Qariah 8, 9: Barang siapa timbangan kebaikannya lebih ringan dan timbangan keburukannya lebih berat, tempat kembalinya adalah jahanam.

Al Zalzalah 8: Barang siapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah sekalipun, ia akan melihatnya.

Al Tin 5,6: Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka), kecuali orang yang beriman dan melakukan kebajikan, maka mereka akan mendapat balasan baik yang berterusan.

Al Layl 9-10:
Ia mendustakan perkara yang benar, maka sesunggunya kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan.

Hatta berkat doa dari ayahanda dan bonda serta dengan izin Allah SWT, saya diberi kepercayaan selanjutnya untuk memegang jawatan-jawatan Timbalan Dekan, Dekan, Timbalan Naib Canselor dan akhirnya Naib Canselor di Universiti Malaya.

Sepanjang memegang jawatan-jawatan itu, tidak pernah saya lupa pada pesan ayahanda supaya berlaku adil apabila mengadili manusia di bawah jagaan saya. Sepanjang perkhidmatan, saya bersyukur kerana tidak pernah didatangi sesiapa pun untuk menumbuk rusuk memberi rasuah kepada saya.

Arwah Ayahanda dan bonda saya barangkali berbangga dengan saya.

Untuk mengadili dengan baik bukanlah payah. Kita hanya perlukan integriti, kejujuran, dan kelurusan.

Mengadili manusia dengan jalan yang salah adalah perbuatan kejam yang dilaknati Allah SWT. Perhatikan Firman-Firman ini:
“Ingatlah, laknat Allah (Ditimpakan) atas orang-orang yang zalim (QS Hud 18)”

“Dan kami katakan kepada orang-orang yang zalim: Rasakanlah olehmu azab neraka yang dulunya kamu dustakan itu (QS Saba 40)”.

Neraka itu dua jenisnya. Pertama fana, kedua baqa. Yang fana api tak seberapa panas hanya seketika. Kalau pun membakar, pada roma saja.

Yang baqa apinya menyala, panasnya selama masa. Bila membakar hangus semua.

Pengadilku,
jangan kau tapaki kedua-dua neraka itu,
walau sekelip mata.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here