Akur titah Seri Paduka, dahulukan hak rakyat dan negara

0
239
fotoBERNAMA

ISNIN lalu bertarikh 18 Mei memang ditunggu-tunggu oleh semua pihak kerana ia hari pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14 Dewan Rakyat di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dilangsungkan ketika negara masih berperang dengan pandemik COVID-19, istiadat perasmian berjalan lancar dalam suasana harmoni dengan kehadiran 220 Ahli Dewan Rakyat dan 51 Ahli Dewan Negara.

Buat kali pertama juga, Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir sebagai Perdana Menteri selepas kira-kira 10 minggu mengisi kerusi dikosongkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletak jawatan penghujung Februari lalu.

Selepas semua Yang Berhormat dan tetamu jemputan mengambil tempat, tumpuan khalayak Dewan Rakyat beralih kepada titah perasmian persidangan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pelbagai isu dan perkara disentuh baginda, namun berkisar di atas paksi yang sama, iaitu pembelaan nasib rakyat, keperluan politik matang, bersih dan bebas rasuah serta rasa kasih dan hormat terhadap agama dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Pada awal titah, Seri Paduka mengajak semua yang berada dalam Dewan berdiri dan memberi tepukan penghargaan kepada petugas-petugas barisan hadapan yang masih dalam ‘perang’ melawan musuh tidak kelihatan.

Titah diteruskan, dari satu topik ke topik yang lain, kandungan ucapan Seri Paduka bertepatan dengan isu-isu semasa, termasuk mengingatkan semua Ahli Parlimen agar tidak mengheret negara sekali lagi ke dalam kancah politik tidak menentu.

“Sebagai pemimpin, Ahli Yang Berhormat menjadi teladan dalam menyemai nilai positif kepada rakyat. Perbezaan pendapat tidak seharusnya diakhiri dengan permusuhan dan caci mencaci, sebaliknya perbezaan pendapat seharusnya menjadi landasan kepada pencetus idea baharu untuk membangun dan menyatupadukan negara,” titah baginda.

Penulis melihat peringatan oleh Seri Paduka itu tepat pada masanya ketika suasana politik negara kembali hangat bergelora, termasuk usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang dilihat tidak sesuai dalam keadaan rakyat masih berdepan pelbagai masalah dan masa depan sukar akibat pandemik COVID-19.

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff memaklumkan menerima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri yang dikemukakan Dr Mahathir pada 4 Mei lalu.

Al-Sultan Abdullah juga meminta semua wakil rakyat sentiasa mempamerkan kematangan berpolitik dalam menjalankan tugas dan peranan masing-masing, termasuk membudayakan politik bersih, tidak menyentuh sensitiviti agama dan bangsa serta kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Itulah peranan Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong sejak zaman berzaman, menjadi payung naungan rakyat jelata dan pendamai kepada pihak yang bersengketa.

Dalam cara tersendiri, institusi Raja di Malaysia sudah sekian lama menjaga kepentingan kita, meletakkan kebajikan rakyat dan negara sebagai agenda utama, lebih-lebih lagi Al-Sultan Abdullah yang keperibadian baginda sudah diketahui semua.

Antara yang paling diingat, baginda mengetepikan protokol apabila memandu sendiri meninjau keadaan rakyat dan petugas barisan hadapan pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Terdahulu pada penghujung Februari lalu, Seri Paduka ‘membelanja’ petugas media yang berkampung di depan Istana Negara menunggu siapa akan dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga tidak terkecuali dengan pekerti terpuji, antara lain pernah mencemar duli memasak sendiri untuk menjamu petugas di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mungkin latar belakang Al-Sultan Abdullah yang mendapat pendidikan di luar negara sedikit sebanyak mematangkan perspektif baginda terhadap hubungan di antara pembesar dan rakyat jelata, membuatkan Seri Paduka tidak kekok terbabit dalam hal-hal kemasyarakatan.

Bagi penulis, Malaysia sangat beruntung kerana dikurniakan pembesar berhati mulia. Dalam apa juga masalah yang menjejaskan negara dan rakyat, termasuk kemelut politik atau kepemimpinan kerajaan, kita masih ada Institusi Raja sebagai tempat bergantung.
Sebab itu, masyarakat Melayu begitu menjunjung daulat Raja-Raja, patuh kepada nasihat dan perintah serta tidak sekali-kali akan menderhaka.

Apabila Al-Sultan Abdullah memberi peringatan supaya negara tidak sekali lagi diheret ke dalam kancah politik yang tidak menentu ketika bertitah di Dewan Rakyat pada Isnin lalu, semua pihak harus mematuhi pesanan itu.

Ayuh kita belajar daripada sejarah, mahukah kita melihat berulang kembali krisis di antara kepimpinan negara dengan pihak istana seperti yang berlaku pada 1983 dan menyusul lagi pada 1993 kerana isu mahu mengikis kekebalan dan hak-hak Raja.

Mahukah kita melihat berulang lagi episod yang tidak seharusnya berlaku dalam kalangan pimpinan tertinggi negara dengan pihak istana. Tidak malukah melihat pemimpin ‘bergaduh’ dengan anak Raja, memperlekeh dan memberi gelaran yang tidak sepatutnya.
Tunjukkanlah sikap sejati Melayu, akur dan taat dengan perintah serta nasihat Raja yang membawa kebaikan dan manfaat.

Ingatlah pesanan Al-Sultan Abdullah, kita beri tumpuan kepada perang menentang COVID-19 ketika ini, hal politik boleh dikemudiankan. Dahulukan kepentingan rakyat dan negara.
Ingat juga ikrar dalam Rukun Negara, prinsip kesetiaan kepada Raja dan negara harus menjadi teras kehidupan kita sebagai warganegara Malaysia.

* Putri Zaiton Khushairi merupakan pembaca BebasNews

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here