Gunung Fuji ditutup elak jangkitan Covid-19

0
369
FOTO: Wikimedia Commons/Midori / CC BY (https://creativecommons.org/licenses/by/3.0)

WASPADA… Buat julung kalinya dalam tempoh 60 tahun, Gunung Fuji ditutup bagi pendakian musim panas tahun ini untuk cegah penularan baharu Covid-19, lapor media Jepun semalam.

Pentadbiran Wilayah Shizuoka, ‘rumah’ kepada pergunungan tertinggi di negara matahari terbit itu, telah bertindak tutup tiga daripada empat laluan utama ke puncak gunung ikonik tersebut.

“Laluan berkenaan memang pada kelaziman hanya dibuka pada musim panas, namun pada kali ini akan ditutup bermula 10 Julai hingga 10 September depan,” kata seorang pegawai tempatan.

Tempoh terhad selama dua bulan tersebut merupakan satu-satunya musim pendakian terbuka untuk orang awam termasuk kalangan pelancong asing dibenarkan bebas daki ke Gunung Fuji.

“Kami mengambil langkah ini bagi elak penularan virus korona,” kata pegawai itu dipetik media tempatan. Jepun ketika ini catat kumulatif 16,367 penghidap Covid-19 termasuk 768 kematian.

Langkah dramatik itu sekali gus jadi yang pertama kali laluan ke gunung berapi setinggi 3,776 meter itu ditutup sejak 1960 apabila wilayah Shizuoka mula buka laluan bagi pendakian awam.

Keputusan tersebut muncul selepas wilayah Yamanashi yang berdekatan mengumumkan akan menutup laluan Yoshida, iaitu laluan pendakian paling popular antara empat laluan sedia ada.

Pondok gunung yang merupakan lokasi rehat pendaki dan menempatkan hostel selain restoran di sepanjang empat laluan itu juga akan kekal ditutup operasi sepanjang musim panas kelak.

Dianggarkan hampir 300,000 orang mendaki gunung berkenaan pada musim panas tahun lalu, majoritinya gemar memilih laluan Yoshida, menurut rekod Kementerian Alam Sekitar Jepun.

Pihak berkuasa Shizuoka turut beri amaran risiko kepada pendaki yang sengaja ingkar bahawa kemungkinan tiada pasukan kecemasan dapat dihantar jika berlaku insiden kemalangan di situ.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here