Ibadah Itu Mudah dan Anjal

0
398

Oleh Dato Dr. Nasharudin Mat Isa
Bandar Bukit Mahkota

EIDUL Fitr sudah semakin hampir dan yang pastinya adalah sambutan pada tahun ini akan berbeza dari sambutan sambutan yang telah menjadi amalan masyarakat sebelum daripada ini. Atas nasihat pihak yang berwajib, demi kemaslahatan semua, terdapat banyak perkara yang menjadi kelaziman kita ketika menyambut hari raya tidak akan dapat dilakukan. Namun demikian itu tidak bermakna, ianya tidak boleh disambut dengan meriah.

Hari Raya adalah hari kemenangan bagi kita setelah sebulan kita menjalankan perintah Allah SWT tanpa makan dan minum dan melakukan perkara perkara yang boleh membatalkan puasa pada siang hari.

Apabila ianya adalah hari kemenangan, maka tidak salah bagi kita meraikan nya dengan kegembiraan dan bersyukur kepada Allah SWT yang telah menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan untuk kita bermuhasabah terhadap diri kita.

Banyak norma-norma baru gaya hidup telah mula dirasakan serasi oleh ahli masyarakat setelah dua bulan melalui Perintah Kawalan Pergerakan dikediaman masing masing.

Tidak pernah berlaku sebelum ini, tetapi majlis tadarus samada dengan anggota keluarga, kariah masjid dan surau atau juga bersama jiran jiran secara atas talian telah berjalan lancar dan banyak kumpulan tadarus ini sudah pun khatam kelmarin, Alhamdulillah.

Solat tarawih yang menghimpunkan ahli keluarga yang tinggal dibawah satu bumbung juga berjalan baik. Walaupun mungkin ada anak anak atau isteri yang bertanya kepada ayahnya ‘kenapa baca surah sama je tiap-tiap malam’ , akan dijawab secara tuntas oleh ayahnya, yang penting adalah pembacaan dan penghayatan al-Quran, Alhamdulillah.

Bersesak untuk membuat persiapan untuk hari raya di pusat membeli belah nyata berkurangan, begitu juga dengan berbaris panjang di bazar Ramadhan. Ya bulan Ramadhan bukan nya bulan makan dan makanan atau bulan untuk berbelanja lebih tetapi sepatutnya ia nya dihidupkan dengan lebih bersedekah.

Bukan sahaja zakat fitrah tahun ini dibayar secara atas talian, malah majlis akad nikah juga telah berlangsung dan menikahkan ramai pasangan secara ‘online’. Mungkin tidak pernah terbayang di kepala kita ini akan berlaku, tetapi hari ini sudah menjadi norma baru kehidupan kita.

Kalau diperhatikan dari contoh contoh yang diberikan diatas jelas bahawa tatacara kehidupan kita sebagai hamba Allah SWT ini boleh berubah dan menjadi anjal dengan peredaran masa dan tuntutan keadaan, namun perlaksanaan tuntutan asas beribadah dengan melaksanakan perintah sebagai hambanya kekal dan tidak berubah.

Ketaatan kita kepada Allah SWT itu adalah dalam melaksanakan arahan arahan nya sebagai ‘substance’ atau intipati penyerahan diri kita kepada Nya manakala ‘form’ atau rupabentuk perlaksanaan nya boleh berubah. Selagi mana rupabentuk perlaksanaan itu tidak terkeluar dari ketentuan Syara’, Islam memberikan kita ruang yang cukup anjal untuk kita beribadah kepada Allah SWT.

Demikian lah indahnya Islam kalau sahaja kita faham bahawa ianya mudah dan punya sifat ‘murunah’ atau anjal yang bertujuan tidak lain tetapi untuk memudah kan hamba hamba Nya.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here