Kenapa BAM masih berharapkan ‘Malindo’

0
808
PRESIDEN BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (kiri) ketika menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ke Akademi BAM, Bukit Kiara pada 9 Mei lalu. - Foto BAM

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

FLANDY Limpele? Hanya dengan mengukur kejayaannya meraih pingat gangsa Sukan Olimpik Athens 2004 dan membawa sebuah beregu lelaki India masuk 10 teratas ranking dunia, sudah memadai?

Jawatan ketua jurulatih beregu negara masih diberikan kepada warga asing ini yang juga musuh tradisi kita dalam sukan badminton, Indonesia selepas Rexy Mainaky dari 2005 hingga 2012.

Paulus Firman pun masih dipercayai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan ditukar peranannya sebagai jurulatih beregu campuran, Hendrawan bagi bahagian perseorangan lelaki dan Indra Widjaja (perseorangan wanita).

Sudah tiadakah anak tempatan Malaysia yang layak selepas naib juara Olimpik Atlanta 1996, Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock pun tersingkir daripada barisan kejurulatihan BAM, beberapa tahun lalu?

Begitu juga dengan kapten juara Piala Thomas 1992 dan pemenang gangsa badminton pertama negara dalam Olimpik Barcelona 1992, Razif Sidek yang pernah menyandang ketua jurulatih negara dari 1994 hingga 1996.

Hendak dikatakan jurulatih tempatan tidak layak dan berwibawa, tidak mungkin. Bagaimana Jepun yang muncul tiba-tiba menjulang Piala Thomas 2014, pun boleh mempercayai Tan Kim Her, Jeremy Gan dan Lee Wan Wah.

Selain nama-nama besar beregu kita ini, jangan dilupa juga jasa Allahyarham Izuan Ibrahim yang diakui juara dunia dua kali sejak 2018, Kento Momota dari Jepun, telah terhutang budi kepadanya sejak mengukir nama pada saingan peringkat remaja.

Tidak cukup lagi? Wong Tat Meng yang kini bersama Korea Selatan, ditugaskan menggilap bekas perseorangan utama dunia, Son Wan-ho sementara Lim Pek Siah melatih pemain Singapura.

Kita telah mengeksport ramai tenaga pakar tetapi masih mengimport pula tenaga kerja dari Indonesia yang rasanya sudah bertahun-tahun bersama BAM, tetapi hasilnya tidak seberapa pun.

Ada dua misi besar menanti skuad badminton lelaki dan wanita negara selepas jadual pusingan akhir Piala Thomas dan Uber 2020 dan Sukan Olimpik Tokyo dianjakkan akibat pandemik maut, Covid-19.

Dari Mei kemudian dipinda ke Ogos, Piala Thomas-Uber akan berlangsung di Aarhus, Denmark dari 3 hingga 11 Oktober manakala Olimpik Ke-32 ditunda ke 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.

Ada ketikanya juga bekas-bekas pemain berpengalaman dan memiliiki aneka pencapaian antarabangsa itu pun belum tentu menjamin kejayaan anak-anak buahnya yang cuba dicurahkan ilmu badminton silam mereka.

Kemahiran dalam menunjuk ajar teknik dan menerapkan taktikal serta menjana idea yang segar dan progresif serta bernas kepada pemain, turut agak berbeza dari ketika bergelar pemain yang berjuang dan perlu membuat keputusan di tengah gelanggang.

Ada baiknya juga BAM kerap meninjau sejauh mana perkembangan dan pembangunan jurulatih-jurulatih peringkat negeri-negeri ahli gabungannya.

Daripada sirkit-sirkit kebangsaan atau akademi-akademi badminton seluruh negara, cubalah kenal pasti bakat-bakat jurulatih tempatan yang boleh diserapkan ke dalam barisan kejurulatihan elit negara.

Naikkan pangkat mereka ini. Tentunya ada yang meluap-luap mahu berbakti kepada negara selepas berkhidmat untuk negeri kelahiran masing-masing tetapi masih ternanti-nanti ‘buah yang tidak cuba digugurkan’ dari Bukit Kiara (ibu pejabat BAM).

Ayuh BAM, kita mulakan dengan Sukan Malaysia (Sukma) yang menawarkan acara berpasukan dan individu apabila temasya ke-20 ini berlangsung dengan jadual baharunya, 6 hingga 14 Mac 2021.

BARISAN KEJURULATIHAN BAM
Pengarah Kejurulatihan: Wong Choong Hann
Jurulatih perseorangan
Lelaki: Hendrawan (ketua) dan Datuk Tey Seu Bock (penolong)
Wanita: Indra Widjaja (ketua) dan Loh Wei Sheng (penolong)
Jurulatih beregu
Lelaki: Flandy Limpele (ketua) dan Rosman Razak dan Hoon Thien How (penolong)
Wanita: Chan Chong Ming (ketua) dan Chin Ee Hui dan Wong Pei Tty (penolong)
Campuran: Paulus Firman (ketua) dan Teo Kok Siang (penolong)

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here