Atlet RTT 2020 boleh berlatih semula 1 Jun

0
662

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju membenarkan 265 orang termasuk bukan atlet, kembali menjalani latihan secara berpusat di tiga venue di bawah program Jalan Ke Tokyo (RTT) Sukan Olimpik 2020.

Kem latihan berpusat yang menggunakan pendekatan berasaskan kuarantin ini akan bermula pada 1 hingga 30 Jun ini sebagai fasa pertama dan secara berfasa sehingga berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kem ini juga menurut siaran media Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini, masih tertakluk kepada arahan-arahan pihak berkuasa mengenai segala aktiviti sukan yang dilonggarkan, selepas itu.

“Kebenaran itu diperoleh selepas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membentangkan permohonan cadangan kelonggaran khas PKPB bagi RTT 2020 dalam mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan PKP.

“Mesyuarat ini dipengerusikan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama MKN dan Kementerian Kesihatan.

“Kesemua atlet, jurulatih, pegawai dan anggota sokongan serta pegawai perkhidmatan sains dan perubatan sukan akan ditempatkan di tiga lokasi yang dikenal pasti iaitu Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC), Bukit Jalil; Akademi Badminton Malaysia (MBA), Bukit Kiara, Kuala Lumpur dan Pusat Latihan Pelayaran Kebangsaan Langkawi, Kedah.

“KLSC menempatkan latihan bagi sukan-sukan akuatik (terjun dan renang), gimnastik artistik, memanah dan karate selain Paralimpik (akuatik-renang, memanah, berbasikal, olahraga, badminton, boccia, powerlifting, pingpong, menembak dan tenis berkerusi roda.

“Jumlah keseluruhan ialah 181 orang di KLSC (merangkumi) 40 atlet program RTT (14 Olimpik dan 26 Paralimpik) manakala sparring/pacer (rakan sepelatih/jurupandu), jurulatih, pegawai dan petugas sokongan lain, 141 orang,” kata siaran itu.

Siaran tersebut menjelaskan, “Di MBA, Bukit Kiara pula, sebanyak 56 terlibat iaitu 13 atlet badminton RTT (termasuk seorang atlet Paralimpik) selain jurulatih, rakan sepelatih, petugas sokongan pelbagai bidang.

“Pusat Latihan Pelayaran di Langkawi pula menempatkan 28 orang (empat atlet RTT, jurulatih dan pegawai),” jelas siaran itu.

Daripada 265 orang yang terlibat, 40 daripadanya ialah pegawai perubatan dan sains sukan Institut Sukan Negara (ISN) yang membantu latihan harian, kata siaran berkenaan.

“Jawatankuasa Pelaksanaan yang dianggotai Majlis Sukan Negara (MSN), ISN dan persatuan sukan kebangsaan berkaitan akan melaksanakan program tersebut dengan menyediakan tatacara pengendalian piawai (SOP) yang terkini termasuk SOP yang ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan.

“KBS juga akan menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan yang dipengerusikan menterinya bagi memastikan pelaksanaan kem latihan berpusat RTT ini dijalankan mengikut pematuhan SOP tersebut.

“Kesihatan dan keselamatan atlet, jurulatih, petugas sokongan dan semua yang terlibat sentiasa menjadi keutamaan dalam pelaksanaannya dalam memastikan tiadanya jangkitan pandemik maut, Covid-19,” jelas siaran itu.

Kenyataan Media - Kelonggaran Khas Kem Latihan Berpusat RTT v3

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here