Yonnyboii lancar lagu Aku Itu Aku, sempena hari lahir

0
259
Yonnyboii tampil dengan single Aku Itu Aku.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

ESOK, 20 Mei 2020 genap usia komposer muda Yonnyboii yang ke-22 tahun. Sempena sambutan ulang tahunnya itu, Yonnyboii yang juga penyanyi, penulis lirik dan penerbit akan melancarkan single baharu berjudul Aku Itu Aku.

Kali ini Yonnyboii atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin tidak berkolaborasi dengan Zynakal seperti single sebelum ini iaitu Sakit dan Cemburu.
Sebaliknya, beliau tampil solo kerana single itu berkisar tentang perasaan dan cabaran yang dilaluinya selama ini dan Aku Itu Aku juga adalah hadiah untuk dirinya sendiri.

“Lagu ini dilancarkan sempena hari lahir saya sebagai hadiah buat diri sendiri. Malah lagu ini juga seperti peringatan untuk diri saya yang semakin meningkat usia, tapi masih orang yang sama.

“Dalam masa sama saya ingin berkongsi kenapa selama ini orang menilai saya pelik sehingga dihakimi dan disalah erti. Sebenarnya, selepas membuat pemeriksaan, saya mempunyai penyakit Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) atau Sindrom Kurang Daya  Tumpuan dan Hiperaktif.

“Selepas melalui banyak perkara, saya sedar sebagai manusia, Allah sudah ciptakan kita sempurna dengan pelbagai sifat dan karenah. Cuma kita unik  dalam pelbagai cara. Kita sempurna dan cantik dengan cara tersendiri. Jadi, bagi saya untuk mengatakan manusia tak sempurna adalah tidak tepat,” katanya.

Yonnyboii yang mula menceburi bidang muzik secara serius sejak 2016 berkata, beliau mempunyai alasan tersendiri kenapa memilih lagu Aku Itu Aku sebagai tempat bercerita kisah dirinya.

“Saya ini dikira macam budak pelik. Malah saya selalu anggap diri sebegitu ke mana saja saya pergi. Ini juga antara punca saya menjadi anti sosial. Sebab saya sedar orang tidak menyukai saya dan sering menjadi mangsa bahan orang lain.

“Apa yang ingin saya sampaikan adalah setiap orang ada kesakitan dan peningkatan dalam hdup. Saya pasti menerusi lagu ini orang dapat kaitkan dalam diri masng-masing,” jelasnya.

Tambah komposer lagu Jangan Keluar itu, secara tak langsung lagu Aku Itu Aku dapat menyedarkan orang ramai tentang personaliti sebenar dirinya.

“Saya hanya nak beritahu, tak ada masalah jika seseorang itu nak menjadi pelik. Bagi saya tak ada apa yang salah jika kita menjadi diri sendiri. Kenapa nak kena berselindung dan itu akan menyakitkan hati sendiri,” ujarnya.

Berkongsi lanjut mengenai Aku Itu Aku, Yonnyboii berkata, lagu tersebut adalah eksperimen dalam muzik yang dibawanya.

“Semua yang berlaku ke atas diri saya adalah di luar jangkaan, semuanya bermula dengan minat sahaja. Sewaktu kecil dulu, lagu menjadi peneman saya. Dulu saya tinggal dengan opah.

“Setiap kali mak balik kampung, dia mesti ada kaset baharu yang boleh saya pasang dan dengar. Saya juga ada dairi yang mana saya akan lukis dan tulis segala tentang luahan isi hati. Luahan perasaan itu saya tulis menjadi bait lagu.

“Ketika itu saya tak pandai main alat muzik dan sewaktu usia saya 12 tahun, mak hadiahkan sebuah gitar sebab mak pernah tanya saya bila besar nak jadi apa. Saya cakap nak jadi Rockstar.

“Sedikit demi sedikit saya belajar di YouTube dan mula belajar macam mana nak rakam lagu. Saya mula serius dalam muzik bila saya menghasilkan lagu hip hop pada 2016. Dari situ saya yakin bakat yang ada ini boleh bawa saya pergi jauh,” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here