Kita hamba bukan pekerja Allah (Bahagian Akhir)

0
330
FOTO: Wikimedia Commons/By Muhammad Rehan - https://www.flickr.com/photos/mrehan00/3454425607/, CC BY-SA 2.0, https://commons.wikimedia.org/w/index.php?curid=66263380

Oleh MAULANA ARRIF

PERKATAAN hamba merujuk kepada seseorang yang dimiliki oleh orang lain sepenuhnya.

Dia mestilah mentaati segala perintah dan arahan pemiliknya. Segala urusan kehidupannya ditetapkan oleh pemiliknya, meliputi pekerjaan, tempat tinggal, makanan, pakaian, kelakuan dan pergerakannya.

Begitulah kita sebagai hamba milik Allah. Segala kehidupan kita tertakluk kepada qada dan qadarnya.

Kita diperintah mentaati segala perintahNya dan menjauhi laranganNya.

Sebagai hamba kita tidak layak menuntut upah daripadaNya. Apa yang dikurniakan itulah yang kita syukuri.

Tetapi kebanyakan kita terlalu memikirkan apa yang patut kita terima apabila menunaikan segala suruhanNya.

Kita selalu mengira dan menghitung berapa banyak pahala yang kita layak perolehi apabila melakukan sesuatu ibadat.

Misalnya membaca Quran. Kita mengira 1 huruf dapat 1 pahala dan jika khatam Quran boleh dapat berjuta pahala di bulan Ramadan. Janganlah begitu.

Sebagai hamba adalah lebih baik kita melupakan soal pahala. Janganlan kita beribadat kerana mengejar pahala.
Jangan jadi seperti kanak-kanak yang dilatih untuk berpuasa dengan upahan. Contohnya, puasa sehari dapat bayaran insentif RM2. Jika puasa genap sebulan dapat sebuah basikal.
Bagi kanak-kanak amalan memberi hadiah begitu adalah wajar sebagai galakan

Tapi apakah setelah dewasa dan seterusnya lanjut usia, kita masih perlukan dorongan dalam bentuk pahala.

Jika tidak seperti kanak-kanak, kita adalah pekerja yang sentiasa memikirkan berapa banyak upah yang diberikan olehnya.

Apakah kita tidak menginsafi bahawa sudah terlalu banyak nikmat yang Allah kurniakan kepada kita sejak dilahirkan hingga sekarang.

Lalu Allah menyoal kita:

Ar-Raĥmān:13 – Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

Maka usahlah kita memikirkan sangat soal pahala. Takut jika kita berkira sangat, Allah juga akan berkira dengan kita.
Jadilah hamba yang hanya mengharapkan keredaanNya. Janganlah jadi pekerja, apatah lagi kanak-kanak yang sentiasa menunggu dan menghitung upah.

Allah tidak pernah memungkiri janjiNya. Jika Allah janjikan syurga untuk orang-orang yang beriman dan beramal soleh, jadilah hamba yang beriman dan beriman dan soleh.

Tentulah Allah akan lebih mengasihi dan mengasihani seorang hamba yang melakukan segala perintah tanpa mempersoalkan tentang ganjaran, berbanding seorang yang sering memikirkan apa pahala yang diperolehi apabila melakukan sesuatu ibadat.

SEMOGA KITA SENTIASA DALAM BIMBINGAN ALLAH.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here