Selepas Covid 19, berubah kepada sesuatu yang lebih baik

0
1116

Oleh ASAN ALI GOLAM HASSAN

EKONOMI suatu yang saling berkait dalam satu rantaian penawaran-permintaan. Sekatan pergerakan dan penutupan pengeluaran pastinya akan menyebabkan kehilangan pekerjaan dan pendapatan peniaga dan pekerja. Ini menyebabkan keupayan mereka untuk berbelanja akan berkurangan dan permintaan akan berkurangan. Penawaran dan permintaan yang berkurangan ini kemudiannya akan memberi impak pada keseluruhan ekonomi. Kurangnya rakyat bergerak, bermaksud kurang wang bertukar tangan dan aktiviti ekonomi menjadi perlahan.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana bagi memaksimuman penjarakan sosial yang pastinya akan akan meminimumkan aktiviti ekonomi. Amnya jika KPK 90% bermaksud aktiviti ekonomi berfungsi sekitar 10%. Oleh itu, tumpuan dasar haruslah kepada bagaimana peratusan PKP dikurangkan berperingkat-peringkat dan ekonomi masih boleh berfungsi lebih daripada 50% yang mungkin bagaimana dengan PKP 80% tetapi ekonomi masih boleh berfungsi sehingga 80%.

Menurut Laporan Suku Tahun pertama 2020, Bank Negara Malaysia (BNM), rakyat Malaysia terus berada di rumah bagi membanteras pandemic COVID-19 menyebabkan pergerakan untuk berkerja berkurangan 60%, pergerakan untuk aktiviti perniagaan runcit berkurangan 75% dan pergerakan di lokasi-lokasi transit juga telah berkurangan sebanyak 73%. Pencapaian ekonomi suku tahun pertama 2020 dibandingkan dengan suku terakhir 2019, memperlihatkan peratusan perbelaanjaan pengguna yang berkurangan tetapi masih positif, pelaburan swasta yang negatif, perbelanjaan kerajaan meningkat dan eksport bersih yang juga negatif.

Menurut BNM juga, keseluruhan pertumbuhan ekonomi dunia dijangka menguncup kepada -0.3%. Manakala untuk Malaysia, pertumbuhan ekonomi pada suku pertama 2020 adalah sebanyak 0.7% berbanding 3.6% pada suku terakhir 2019. Sektor Perkhidmatan dan perkilangan masih mencatatkan pertumbuhan positif antara 1 hinga 3% manakala pertumbuhan negatif untuk sektor perlombongan, pembinaan dan pertanian. Untuk suku pertama 2020 juga nilai RM menyusut sekitar 5%, kadar penganguran meningkat daripada 3.3% kepada antara 3.9%. Inflasi tidak banyak berubah iaitu sekitar 1% kerana kejatuhan penawaran juga diikuti dengan kejatuhan permintaan dan penurunan harga minyak dunia.

Kesan kepada ekonomi yang lebih penting ialah kita belajar banyak perkara berkaitan pengurusan ekonomi impak daripada Covid 19 dan PKP ini. Bagaimana ekonomi berubah daripada terbuka kepada tertutup, dasar dan peraturan baru juga kepada yang lebih kepada mengutamakan keperluan tempatan untuk warganegara. Malah dalam sesetengah keadaan rakyat terpaksa berubah untuk meneruskan kehidupan. Kini, adalah masa yang sesuai untuk negara teruskan berubah kepada sesuatu yang lebih baik.

Kita belajar betapa pentingnya faktor kesihatan warganegara diutamanya dalam kehidupan seharian karana ia boleh memberi impak yang besar kepada sosio-ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat. Tahun Melawat Malaysia 2020 juga dibatalkan kerana kepentingan kesihatan warganegara. Ekonomi yang mengejar kepada petunjuk ekonomi yang aggregate, KDNK, import-ekport, imbangan perniagaan, sektor pelancongan yang aktif dan lain-lain walaupun dari segi mengarus perdanakan pembangunan ekonomi, kita berjaya tetapi jika faktor dalamannya iaitu kesihatan & institusi penyelidikan kesihatan masih longgar, pencapaian ekonomi yang dicapai dengan mudah akan terancam.

Kita juga belajar betapa pentingkan sektor pertanian makanan dalam perancangan-pembangunan negara. Kepentingan sektor pertanian makanan terus menjadi keutamaan utama walaupun dalam tempoh sektor-sektor ekonomi yang lain dihadkan aktivitinya. Bagaimana rantaian makanan petani-pemborong-peruncit-pengguna boleh terputus kerana faktor perhubungan fizikal, bagaimana permintaan dan penwaran mempengaruhi harga, peranan pengstabilan harga oleh pihak kerajaan dan bagaimana ia boleh mewujudkan peluang perniagaan lain secara maya. Selain itu, pergantungan kepada impot makanan bukan pilihan terbaik apabila negara-negara pengeluar makanan mengutamanya keperluan untuk memenuhi permintaan makanan untuk negara masing-masing. Pengurangan eksport oleh negara-negara berkaitan akhirnya mempengaruhi harga produk makanan tersebut di negara kita.

Pengurangan pergantungan kepada impot makanan termasuk impot makanan ternakan, baja, racun dan ubat-ubatan untuk aktiviti pertanian dan ternakan harus dikurangkan. Ia bukan sahaja manpu mengstabilkan harga makanan kerana tidak dipengaruhi oleh kadar pertukaran RM tetapi juga meningkatkan kadar mampu diri pengeluaran makanan negara. Kawasan luar bandar harus terus berperanan sebagai pembekal produk makanan negara dengan menggazetkan lebih banyak kawasan-kawasan tertentu sebagai kawasan pengeluaran produk makanan negara. Dalam masa yang sama, menyediakan insentit-insentif khusus bagi menggalakkan aktiviti pertanian bandar (urban agriculture/vertical farming) terutamanya di bandar-bandar besar di Malaysia sebahagian daripada aktiviti jaminan keselamatan makanan negara. Sekitar 77% penduduk Malaysia kini tinggal di kawasan bandar.

Kita juga belajar bagaimana aktiviti sara diri makanan itu penting bukan sahaja untuk negara malah untuk keluarga masing-masing. Bagaimana penduduk luar bandar kurang terkesan daripada kekurangan makanan basah dan segar dan mengapa ada masyarakat Orang Asli yang lebih rela berpindah sementara ke kawasan hutan bukan sahaja kerana hutan sebagai sumber makanan tetapi juga untuk jauh dari Covid 19. Hutan tetap penting untuk mereka dan tanah adat Orang Asli harus segera digazetkan.

Kita juga belajar walaupun pergerakan kita dihadkan, tetapi maklumat masih terus bebas bergerak, sektor berkaitan teknologi maklumat, perkhidmatan kerajaan online, pendidikan online, pembelian dan penghantaraan online dan pelbagai aktiviti online berkembang dalam tempoh PKP. Rangkaian sosial, digital ekonomi, k-ekonomi, mobile platform dan apps, advance analytic dan big data, cloud dan artificial intelligence, Internet of things, e-commerce yang dulu mungkin kita kurang tahu dan kurang ambil tahu, tetapi sekarang kita semakin tahu. Malah kini, kita tahu, sambal tauhu, boleh sampai ke pinggan makan di rumah melalui digital ekonomi.

Sudah pasti ruang lingkup digital ekonomi harus dioptimumkan. Rangkaian sosial, mobile platform dan apps, e-commerce dan lain-lain mempunyai perancangan jangka panjang yang menyeluruh dan saling berhubung kait meliputiti semua sektor ekonomi dan bukan ekomomi, semua agensi kerajan, pihak berkuasa tempatan, bandar dan luar bandar, di udara dan di lautan.

Ekonomi wajar secara aktif beralih kepada kepada ekonomi digital menerusi pelaksanaan empat ekosistem digital; infrastruktur, infostruktur, data capture dan inovasi. Penyediaan internet berkelajuan tinggi di sekolah dan institusi pendidikan dan latihan, desa pintar (smart village), perluasan sistem e-commerce, penggunaan sistem automasi, drone dan lain-lain wajar disegerakan.

Internet of things, internet telah menjadi keperluan harian. Ia melibatkan tiga perkara penting iaitu pengetahuan, peralatan dan capaian internet. Walau bagaimanapun adakah semua orang ada peralatan dan ada kemudahan internet dan yang lebih penting tahu menggunakan perkhidmatan tersebut. Bagaimana dengan generasi lama yang ada peralatan dan kemudahan internet tetapi tidak berapa tahu menggunakannya, bagaimana dengan generasi baru yang ada kemudahan internet tetapi tiada peralatan, bagaimana dengan generasi lama dan baru di pendalaman yang tiada peralatan dan kemudahan internet dan lain-lain keadaan yang mungkin berlaku. Yang paling penting setakat mana capaian internet dan kecepatannya di Malaysia.

Dalam masa yang sama, pihak kerajaan wajar mempunyai bank data yang lengkap, saling berhubung secara online dengan pelbagai agensi kerajaan pusat dan negeri dan serta sentiasa dikemaskini. Ini bagi membolehkan pemberian bantuan oleh pihak kerajaan sampai kepada golongan sasaran yang telah dikenalpasti. Selain itu, ia juga sangat membantu dalam perlaksanaan Sistem Jaringan Sosial (Social Safety Net) di peringkat kerajaan pusat dan negeri supaya golongan yang mudah miskin (vulnerable groups of society) tidak menjadi miskin dalam tempoh PKP.

Perubahan kepada digital ekonomi ini juga bermaksud, ekonomi perlu berubah daripada berasaskan buruh kepada aktiviti ekonomi yang berasaskan intensif teknologi dan nilai ditambah yang lebih tinggi. Kerajaan harus benar-benar serius melaksanakan dasar dan peraturan pekerja asing. Pengambilan pekerja asing harus dikurangkan dan khusus untuk aktiviti-aktiviti tertentu sahaja bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan yang terpaksa menganggur kerana Covid 19 dan PKP. Walaupun telah disebut dengan jelas sejak 14 tahun dahulu dalam dokumen Rancangan Malaysia Kesembilan, 2006, muka surat 263, … “pengambilan pekerja asing akan dilaksanakan secara bijaksana. Bilangan pekerja asing akan dikurangkan secara beransur-ansur bagi menyediakan peluang pekerjaan yang lebih besar kepada tenaga kerja tempatan dan mengurangkan pengaliran keluar tukaran asing serta kos pentadbiran”… malangnya tiada kesungguhan dan hanya setakat dalam dokumen perancangan sahaja.

Kita juga belajar, berkerja dari rumah dalam tempoh PKP ini. Walaupun bukan semua kerja boleh diuruskan dari rumah, tetapi berkerja dari rumah mampu menyelesaikan banyak urusan keluarga yang lain, kurang pergantungan kepada khidmat jagaan anak-anak, pembantu rumah dan dapat memenuhi keperluan untuk berada di rumah atas sebab-sebab tertentu. Selain itu, berkerja dari rumah juga dijangka boleh meningkatkan penglibatan wanita dalam gunatenaga. Walau bagaimanpun berkerja dari rumah ini memerlukan kajian lanjutan, perancangan dan garis panduan yang jelas terutamanya terutamanya yang berkaitan dengan kuantiti dan kualiti output, peningkatan dan penjimatan kos oleh pihak majikan dan pekerja, produktiviti, penilaian prestasi tahunan, elaun-elaun dan insentif tertentu.

Alam sekitar juga semakin bersih dan pembuangan sisa pepejal berkurangan yang boleh memberi maksud dahulu kita terlalu sibuk mengarus perdanakan ekonomi dan memenuhi kehendak yang bukan keperluan. Apabila aktiviti ekonomi berkurangan serta PKP, alam sekitar semakin bersih dan pengurangan dalam pembaziran makanan dan lain-lain. Mungkin kita perlu merujuk semula apa yang telah disuarakan hampir 50 tahun dahulu, The Limits to Growth, 1972 bahawa pembangunan ini ada hadnya.

Suatu yang ketara juga ialah DIY (do-it-yourself) atau belajar untuk buat sendiri untuk kegunaan sendiri yang mungkin tidak pada masa dahulu kerana tiada faktor masa, barang atau perkhidmatan tersebut mudah diperolehi dan khidmat pekerja asing yang ramai. PKP menjadikan rakyat kreatif dan inovatif dalam kelangsungan hidup seharian. Malah dari DIY ini juga mampu membentuk masyarakat berpemikiran dan berbudaya keusahawanan yang bermula daripada perniagaan secara kecil-kecilan untuk meningkatkan pendapatan keluarga serta memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Walaupun situasi politik semasa masih panas tetapi berpolitik juga nampaknya kurang dalam tempoh PKP ini. Dalam keadaan rakyat berhadapat dengan pelbagai masalah dan masa depan yang tidak menentu, terlalu berpolitik tidak akan menyelesaikan masalah rakyat. Rakyat memerlukan kerajaan yang stabil, cekap dan cepat membuat keputusan.

“Pemuafakatan Nasional, Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat dan Wawasan Kemakmuran Bersama” adalah iltizam pihak kerajaan kearah pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan. Pastinya selepas PKP rakyat ingin melihat bagaimana iktizam ini diterjemahkan kepada perlaksanaannya, iaitu pembangunan ekonomi yang berpaksaikan kepada penduduk tempatan; pelajar, pelabur, peniaga, pekerja dan pengguna; warganegara Malaysia yang kini sama-sama berjuang dalam tempoh getir Covid 19, PKP dan kemelesetan ekonomi.

Banyak perkara yang kita belajar dari Covid 19 dan PKP dan kini adalah masanya untuk kita, rakyat dan negara, bersama-sama berubah kepada sesuatu yang lebih baik.

Asan Ali Golam Hassan
Azman Hashim International Business School, UTM
-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here