Andi Bernadee berkongsi rezeki

0
480
ANDI Bernadee mahu berterima kasih pada mereka yang bekerjasama dengannya selama ini.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SEMUA peringkat masyarakat terkesan dengan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia bermula sejak awal tahun ini. Segala perancangan yang diatur untuk tahun ini berubah dalam sekelip mata.

Bagi yang kerja makan gaji, mungkin boleh meneruskan kehidupan dengan tenang biarpun mendapat gaji separuh.

Namun yang bergantung harap kepada gaji harian atau ‘job’ yang dilakukan mesti terasa perit kerana segala pergerakan dikekang bagi mengawal Covid-19 daripada merebak.

Meskipun terpaksa melalui norma baharu, penyanyi Andi Bernadee tidak pernah kesal kerana percaya setiap dugaan yang diberikan Allah ada kebaikan di sebaliknya.

“Rasanya sikit hari lagi saya dah boleh jadi cef sebab hari-hari saya kena masak untuk berbuka dan sahur. Dulu senang, nak makan apa pergi cari kat Bazar Ramadan, semua ada.

“Sekarang ini dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mahu tak mahu kenalah masak. Selalunya saya masak yang simple saja, menu orang bujang seperti sardin, nasi goreng atau sambal tumis. Cuma akhir-akhir Ramadan ini saja malas nak masak, main order pula,”cerita Andi tentang pengalamannya dalam bulan Ramadan sepanjang tempoh PKP ini.

Penyanyi Donde dan Satu Peluang itu turut bercerita bagaimana segala tawaran persembahan yang telah ditetapkan sebelum ini dibatalkan pada saat akhir.
Andi atau nama sebenarnya, Andi Azrul Andi Mapangile, 29, berkata, biarpun sedih kerana tidak dapat menghibur orang ramai, namun beliau lebih mengutamakan faktor keselamatan.

“Selalunya setiap minggu, saya ada undangan persembahan untuk program televisyen atau majlis tertutup. Ini hujung minggu lepak kat rumah saja. Tak boleh nak kesal sebab semua orang melalui situasi yang sama. Bezanya, mungkin bila bersama keluarga suasana tu meriah sikit la, berbanding saya yang hidup bujang.

“Bila kerajaan dah beri kelonggaran sedikit, bolehlah saya membuat persediaan untuk studio saya yang terletak di Setia Alam tu. Setakat ini, studio itu hanya untuk kegunaan sendiri belum dibuka untuk orang luar. Tunggu bila dah lengkap semua peralatan, baru boleh beroperasi,” katanya.

Biarpun perjalanan seninya sepanjang PKP ini ‘tersekat’, Andi tak mudah mengalah, sebaliknya tampil berkongsi rezeki dengan mereka yang pernah bekerjasama dengannya sebelum ini.

Jelas Andi, beliau terpanggil untuk berkongsi rezeki kerana mahu menyatakan terima kasih kepada insan-insan berkenaan.

“Apa yang saya beri itu bukanlah barangan mewah tapi saya setulus hati nak kongsi kegembiraan yang saya rasai. Kita semua tahu, tiap kali raya empat menu ini, antara hidangan pada hari raya.

“Kalau tak dapat makan masakan emak, jadilah kalau kita dapat masak sendiri untuk sambut raya di perantauan ini,” katanya yang telah mengedar kira-kira 60 buah kotak sumbangan.

Dalam kotak sumbangan tersebut tedapat semua jenis bahan untuk menu Ayam Masak Bali, Rendang Daing, Kuah Kacang dan Kuah Masak Lodeh. Penerima hanya perlu menumis saja untuk menikmati sajian tersebut.

Menurut Andi, jika beliau ikhlas berkongsi rezeki dengan orang sekeliling, insya-Allah bahagiannya juga akan ditambah oleh Allah.

“Semoga segala musibah ini akan beakhir dengan cepat agar kita semua dapat memulakan rutin kehidupan seperti biasa,” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here