Sudah-sudah Tun M berpolitik: Rakyat sudah muak

0
552
FOTO: NSTP.

Oleh DATUK SERI SYED ALI ALHABSHEE

1. USAHA Tun Dr Mahathir Mohamad yang tetap bertegas mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat ramai pihak sebagai perbuatan khianat kepada rakyat Malaysia.

2. Sekiranya beliau jujur dan redha dengan apa yang berlaku, beliau semestinya tidak menunjukkan kelakuan seperti cuba mensabotaj negara.

3. Apa perasaan Tun Mahathir sekiranya kerajaannya diperlakukan seperti itu? Sudah tentu beliau akan mengamuk? Bayangkan semasa beliau memerintah dahulu dan Amerika Syarikat cuba menjatuhkan beliau dan kerajaannya. Apa perasaannya?

4. Perlu diingat, sepanjang 22 bulan PH memerintah, orang Melayu terlalu sugul dan mengharapkan diubah kembali kepada kerajaan “Bumis friendly” secepat mungkin.

5. Alhamdulillah, Tun Mahathir sendiri selaku “watak utamanya” yang menjatuhkan kerajaannya sendiri atas nama “tolak DAP dan tolak Anwar Ibrahim”.

6.  Kini orang ramai telah menerima kerajaan Muhyiddin yang disifatkan sebagai lebih bertanggungjawab kepada rakyat.

7. Mengutamakan kebajikan rakyat daripada agenda politik yag diamalkan kerajaan Muhyiddin, sekaligus rakyat sudah tidak memperdulikan lagi kepada Dr Mahathir. Alhamdulillah Muhyiddin pun nampaknya tidak melenting. Beliau cukup tenang menghadapi tentangan Mahathir itu.

8.  Di peringkat akar umbi rakyat sudah bosan dan meluat dengan ‘tingkah laku politik’ Mahathir yang sejak dari dulu memperalatkan rakyat untuk kesinambungan politik keluarga beliau.

9.  Lebih membingungkan kita, Tun Mahathir sanggup berkata yang beliau telah “dipergunakan” oleh orang Melayu dan UMNO selama 22 tahun pemerintahannya dahulu. Apa maksudnya sebenar? Adakah kerana itu beliau sering menghina orang Melayu mengatakan mereka sebagai pemalas dan bangsa yang tidak berjaya.

10.  Saya hairan, kenapa orang di sekeliling Dr Mahathir takut untuk bercakap benar memberitahu bahawa rakyat Malaysia terutama orang Melayu sudah bosan dengan telatah bekas Perdana Menteri itu yang semakin membimbangkan.

11.  Apakah beliau yang sudah lanjut umur itu terus dipergunakan demi menjayakan agenda politik pihak-pihak tertentu.

12. Hari ini setelah kerajaan PH tumbang dan Dr Mahathir hilang jawatan, dia tidak boleh menerima hakikat bahawa rakyat bawahan, terutamanya bangsa Melayu amat gembira.

13. Tetapi, Dr Mahathir berterusan bercakap kononnya untuk ‘kembalikan mandat rakyat’, walhal rakyat sedikit pun tidak pedulikan beliau malah ‘lebih senang’ bersama kerajaan Muhyiddin.

14. Lalu ada yang bertanya: Mandat rakyat? Rakyat sudah mula selesa dengan Muhyiddin, rakyat sudah tidak perlukan Mahathir lagi, selama lebih dua tahun rejim PH berkuasa, rakyat tertekan dan orang Melayu terhimpit. Cukuplah Mahathir.

15. Sejujurnya, saya kasihan kepada Dr Mahathir. Beliau sepatutnya sudah bersara sebagai seorang negarawan. Bukan lagi bergelumang dengan najis politik.

16. Semalam beberapa portal berita melaporkan Dr Mahathir berikrar “tidak akan berhenti daripada usaha menjatuhkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin” kerana berang dengan penggantinya itu memberi peluang kepada parti UMNO.

17.  Sudah-sudahlah Dr Mahathir. Rakyat sudah muak dengan permainan politik serupa ini. Rakyat mahu “move forward”.

18. Sebaliknya Muhyiddin pula perlu ambil iktibar dan tumpu sepenuhnya kepada soal ketelusan dan integriti dalam menjana kerajaan dan negara ini. Jangan biarkan wujud kelemahan yang boleh dijadikan peluru untuk anda “ditembak”.

-BebasNews

*Artikel di atas adalah semata-mata pandangan dan pendapat penulis dan tidak mencerminkan pendirian bebasnews.my

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here