[KEMASKINI] Aidilfitri yang sunyi

    Ketika rindu kampung halaman ini membuak-membuak dalam diri, terimbaulah kembali segala kenangan indah menyambut Aidilfitri di desa, khususnya ketika usia remaja.

    0
    277
    FOTO: Aziz A. Shariff

    Oleh AHMAD ABD HAMID

    MENJELANG Ahad 24 Mei 2020  insyaAllah fajar Syawal akan  menjelma. Sekali lagi umat Islam menyambut Aidilfitri sebagai tanda kemenangan mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang berpuasa di bulan Ramadan.

    Namun sambutan hari raya tahun ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tiada rentas negeri untuk balik kampung menyambut lebaran bersama keluarga dan saudara mara.

    Bagi yang sesama dalam negeri pula, tiada bebas kunjung  mengunjungi, ziarah menziarahi. Kesemua mesti menurut peraturan yang ditetapkan dalam PKPB.

    Pasti sedih tidak dapat kembali berhari raya bersama keluarga di desa. Namun inilah norma baharu yang perlu dipatuhi atas  rasa tanggung jawab mengekang penularan wabak Covid-19.

    Lambaian desa nan jauh di mata sungguh menggegar sukma. Namun bagi penulis sendiri tidak sekali-kali akan  cuba mencabuli PKPB dengan cuba merentas negeri kembali ke kampung.

    Penulis tidak mahu menjadi antara mereka yang berduyun-duyun mencuba nasib melepasi sekatan polis dengan pelbagai alasan tetapi akhirnya diarah berpatah balik ke destinasi asal.

    Ketika rindu kampung halaman ini membuak-membuak dalam diri, terimbaulah kembali segala kenangan indah menyambut Aidilfitri di desa, khususnya ketika usia remaja.

    Sekalipun rumah penulis jauh di kampung pedalaman, Kampung Tebuk Mukmin di Bagan Datuk, Perak, kemeriahan tetap dirasa bersama keluarga, saudara mara dan jiran sekampung.

    Dahulu, penentuan hari raya boleh dianggap mendebarkan. Ia sukar diduga dan sering diketahui hanya pada saat akhir. Ada yang mengandaikan hari raya jatuh pada hari tertentu, dan siap masak memasak. Tetapi  hari raya tidak jatuh pada hari diduga.

    Malah pada pernah terjadi  pada tahun 70-an di mana negeri Perak dan Johor berhari raya lebih awal berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

    Kini hari raya sudah boleh diduga hanya dengan melihat kalendar. Penetapan menurut rukyah dan melihat anak  bulan memudahkan orang ramai mengetahui bila hari raya dan membuat persiapan sewajarnya.

    Berbanding dahulu, hebahan hari  raya sekarang lebih mudah melalui  radio  atau TV. Di zaman remaja penulis tidak begitu. Hanya beberapa orang memiliki radio  di kampung. TV jauh sekali. Tiada bekalan air, tiada bekalan api (elektrik).

    Apabila sudah sahih sambutan raya diumum melalui  radio, mereka yang memiliki radio  akan membuat hebahan kepada penduduk.

    Ketuk- ketuk  di surau dipalu sebagai pengumuman rasmi. Orang kampung faham makna pukulan ketuk-ketuk ini.

    Malam raya keliling halaman diterangi lampu minyak  tanah. Di dalam rumah pula, diterangi lampu gasoline yang terang benderang hingga ke halaman rumah. Di rumah penulis, hanya pada Aidilfitri dan Aidiladha  sahaja lampu gasoline dipasang. Pada malam-malam lain lampu minyak  tanah menerangi rumah.

    Pagi Aidilfitri, seawal pukul empat atau lima pagi susana di kampung sudah riuh dengan suara remaja dan kanak-kanak. Bunyi mercun memecah kesunyian pagi.

    Dentuman meriam juga bertalu-talu membelah udara. Ada empat jenis meriam yang biasa dibuat; meriam buluh, meriam tanah, meriam batang pinang dan meriam batang kelapa. Kuatnya dentuman meriam batang kelapa boleh didengar sehingga ke kampung berdekatan.

    Kemeriahan bermain mercun dan meriam berlanjutan sehingga waktu  subuh atau terlajak hingga awal pagi. Selepas itu akan  bersiap pula untuk  solat sunat Aidilfitri di surau.

    Berduyun-duyun penduduk kampung berkumpul di surau. Suasana sangat seronok. Ketika inilah peluang bertemu sanak saudara dan rakan sekampung yang sama- sama balik berhari raya. Bukan selalu suasana seperti ini dapat dirasai.

    Selepas selesai solat Aidilfitri, masa untuk  menjamu selera pelbagai juadah yang dibawa oleh jemaah. Selepas itu dibuat kunjungan rumah ke rumah. Selalunya hingga tengahari baru selesai.

    Penulis teringat pada waktu  itu saban tahun ada  seorang pakcik, namanya Ajmain, akan membawa seuncang duit siling. Duit disedekahkan kepada kanak-kanak yang datang ke surau. Kalau dapat 20 sen pun waktu  itu sudah besar nilainya.

    Selesai berkunjung ke rumah jiran, kembali ke rumah dan bersedia pula berkunjung ke rumah saudara mara atau menanti kunjungan mereka. Malamnya masih meriah dengan letupan mercun dan dentuman meriam.

    Masa merubah banyak perkara. Kampung sudah berbeza berbanding beberapa dekad lalu. Sudah ada  jalan tar, bekalan elektrik, air dan telefon.

    Mereka yang dahulu sama-sama gembira meraikan hari lebaran ramai yang sudah pergi menemui Ilahi. Namun begitu suasana beraya di desa hingga kini tetap meriah.

    Kerana itulah hati bagai diragut untuk  kembali ke desa. Namun tahun ini keinginan akan hanya tinggal impian. Lagu ‘Dendang Perantau’ nyanyian P. Ramlee hanya tambah menghiris hati!

    -BebasNews

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here