Khidmat pos macam tidak penting lagi

0
375

YANG kita ketahui, perkhidmatan pos di Persekutuan Tanah Melayu diperkenal dalam tahun 1800-an. Tidak lain daripada pihak British mewujudkannya sebagai permulaan servis penghantaran surat yang kemudiannya digandakan menjadi khidmat ekspres, kurier, hantaran bungkusan dan logistik.

Besarnya dan begitu berprestij khidmat pos ini yang kurang dinilai tinggi buat masa ini. British memperkenalkan Royal Mail dalam 1516 di negaranya sekali gus ketuanya dikenali sebagai Postmaster General. Kedudukan itu setaraf jawatan menteri waktu itu. Jawatan berkenaan mula diwujudkan pada 1517 hinggalah ke  tahun1969.

Banyak sejarah serta begitu besarnya jasa pengurusan pos termasuk di Malaysia. Tugasan dan sumbangannya kepada masyarakat tidak harus dipertikaikan.

Sekarang apakah Pos Malaysia sehebat dahulu?  Terutama penghantaran surat serta serahannya tidak terkecuali khidmat pos laju.

Rata-rata ramai menghadapi masalah penerimaan surat (pos biasa) kerana ia mengambil masa lama. Pos laju yang popular sekarang tidaklah selaju mana. Kadangkala tersekat hampir seminggu dalam urusan serahan tempatan.

Jika beginilah, fungsi besar dalam sejarah penubuhannya tidak menepati kesinambungan sebenar.

Apakah ketua atau pihak yang mengepalai Pos Malaysia sekarang benar-benar memahami kehendak pelanggan? Atau sekadar makan gaji dan sasaran menempah keuntungan sahaja.

Juga difahamkan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan dalam menghadapi Covid-19 ini, surat yang dipos dalam sebulan pun tak sampai-sampai. Dokumen penting ada yang langsung tidak diterima.

Difahamkan tugasan posmen dikurangkan tetapi takkanlah dalam masa sebulan pun tak boleh sampai? Janganlah sebahagiannya sudah tersadai sahaja. Apakah ia tidak akan sampai langsung kepada penerima?

Pihak pengurusan pos jangan ambil mudah ke atas hantaran sebegini. Walaupun diberitahu wujud kelambatan waktu PKP, ia tidak semestinya mengambil masa lama atau hilang di tengah jalan. Walaupun ia dihantar dengan pos biasa, ia  juga sama penting dengan hantaran lain seperti khidmat pos laju.

Pengurusan Pos Malaysia; janganlah hanya beralasan; perkara yang dianggap kecil bakal menjadi besar kemudian.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here