Terima RM1juta dari Najib: Shahrir akan kemuka representasi

    0
    251

    BEKAS Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Ab Samad akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya.

    Perkara itu dimaklumkan peguamnya Syahrul Syazwan Salehin ketika pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi hari ini.

    Syahrul Syazwan berkata pihaknya akan meneliti dokumen-dokumen berkaitan terlebih dahulu dan berbincang dengan anak guamnya berhubung permohonan representasi itu.

    “Saya mengesahkan pihak pembelaan telah menerima semua dokumen berkenaan kes ini daripada pihak pendakwaan hari ini. Saya mohon mahkamah tetapkan tarikh baharu untuk pengurusan kes sebelum perbicaraan bermula,” katanya.

    Azura kemudian menetapkan 19 Ogos untuk pengurusan kes dan menetapkan tarikh perbicaraan selama sembilan hari bermula 12 hingga 15 Okt, 9 hingga 12 Nov dan 3 Dis.

    Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa yang mewakili pendakwaan turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa seramai sembilan saksi dijadualkan memberi keterangan dalam perbicaraan.

    Shahrir, 71, dituduh melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada bekas perdana menteri itu berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov, 2013.

    Cek itu kemudiannya telah dimasukkan ke dalam akaun Public Islamic Bank milik tertuduh pada 28 Nov 2013.

    Oleh itu, Shahrir didakwa telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram dan dituduh melakukan kesalahan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April, 2014.

    Pertuduhan ke atas beliau mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    – Bernama

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here