Jangan pulang raya bawa penyakit

FOTO: NSTP.

Oleh Adi Sukma dan Dato Prof Hashim Yaacob

ARWAH ibu dan bapa saya (Hashim) tinggal di kampung Batu Hitam Tanah Merah Kelantan sejak tahun 1940 hingga 2006.

Pada setiap hari raya Aidilfitri dan Aidiladha saya pulang ke kampung, walaupun jalan raya bersesak-sesak.

Bagi saya itu mesti dilakukan. Perjalanan dengan kereta biasanya memakan masa 6 jam dari Kuala Lumpur ke Tanah Merah.

Tetapi pada musim hari raya perjalanan memakan masa 13 hingga 15 jam.

Kereta berjalan seperti semut, kadangkala tak bergerak langsung. Seksa dan perit tak boleh nak ceritakan lagi, tambahan pula kalau anak-anak kecil dibawa bersama.

Melihat pada suasana begitu, ibu dan bapa saya meminta supaya saya tidak menyusahkan diri dan keluarga lagi di jalan raya kerana pulang beraya.

Mereka berkata cukuplah pulang pada waktu lain.

Kasih sayang ibu bapa kepada anak bukan hanya bertemu di hari raya kata mereka.

Berkali saya tanyakan sama ada yang dikatakan itu adalah benar.

Mereka menjawab mereka lebih bahagia melihat saya dan keluarga tidak terseksa di jalanan.

Begitulah kasih sayang ibu bapa kepada anaknya.

Mereka tidak beremosi tak tentu pasal, tetapi lebih mementingkan hakikat.

Sejak hari itu saya akur kepada nasihat ibu bapa saya itu, dan tidak lagi pulang pada hari raya, walaupun pulang juga beberapa hari kemudiannya setelah jalan raya tidak lagi bersumbat dengan kenderaan. Tetapi saya tidak pernah lupa mengirim buah tangan hari raya kepada mereka.

Kami bercerita kerana ingin menyatakan kepada rakyat bahawa tidak perlulah pulang merentasi negeri pada tahun ini, kerana kita masih berada dalam musim bahaya dari ancaman Covd 19.

Siapa tahu kita tidak dijangkiti virus ini, walaupun kita nampak sihat?

Jadikanlah peristiwa di mana seorang perempuan telah pulang dari Ampang ke Kelantan seminggu lepas. Dia telah membawa Virus Covid ini kepada orang tersayangnya, iatu ibu bapanya sendiri serta yang lain yang bertemunya.

Perempuan itu tidak mengetahui yang dia telah dijangkiti.

Kalau perempuan itu benar kasihkan mereka, dia tentunya akan menyesal tanpa kesudahan.

Kami merayu kepada rakyat sekelian supaya jangan pulang merentasi sempadan untuk berhari raya kali ini.

Pulanglah waktu lain apabila keadaan sudah selamat. Jangan jadi penyebab musibah kepada keluarga tersayang.

Sesal kemudian tiada gunanya. Gunakan wang untuk menampung perjalanan itu untuk dihadiahkan kepada ibu bapa dan keluarga.

Katakanlah kepada mereka, walau jauh di mata, tapi kian dekat di hati.

Panjatkan doa supaya Allah yang Maha Mengasihani lagi Maha Mengetahui Melindungi mereka sepanjang masa. Cukup dengan itu.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here