Kenapa terburu-buru, tak takut ‘Kluster RTT, Kluster Olimpik’? – Zolkples

0
712
ZOLKPLES Embong.

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

“JANGAN ambil risiko, sukan bukan perkara keutamaan sebaliknya situasi sekarang ialah survival dan nyawa!”

Tegas ingatan Datuk Seri Zolkples Embong ini, mengulas kelonggaran berlatih kepada atlet-atlet program Jalan Ke Tokyo (RTT) 2020 mulai 1 Jun ini.

Mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) ini turut hairan mengapa pihak-pihak yang berkepentingan sukan ini begitu terburu-buru untuk memulakan latihan yang melibatkan 265 atlet di tiga kem latihan berpusat.

“Mengapa yang hendak terkejar-kejar sangat ini? Sukan Olimpik Tokyo 2020 pun ditangguh ke tahun depan fasal nyawa dan kesihatan manusia.

“Walaupun badminton bukan sukan bersentuhan badan, bagaimana dengan latihan pemain beregu, penggunaan peralatannya macam bulu tangkis yang bertukar-tukar sentuhan?

“Latihan tubi bagi menajamkan kemahiran pukulan pemain juga menggunakan banyak bulu tangkis malah akan melibatkan jurulatih.

“Latihan pemain perseorangan pula, memanglah masing-masing dipisahkan jaring tetapi apabila berlatih bersama dua atau tiga rakan sepelatih dalam gelanggangnya bagaimana?,” kata Zolkples kepada BebasNews hari ini.

Semalam, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelonggaran khas daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kepada 265 atlet RTT antaranya badminton, akuatik, gimnastik, karate, pelayaran dan sukan paralimpik, berlatih dengan pendekatan yang berasaskan kuarantin sehingga 30 Jun.

Tiga kem latihan berpusat buat mereka ialah Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil (181 orang termasuk bukan atlet sparring/pacer (rakan sepelatih/jurupandu), jurulatih, pegawai dan petugas sokongan lain), Akademi Badminton Malaysia (ABM) (56 orang), Bukit Kiara dan Pusat Lathan Pelayaran Kebangsaan Langkawi, Kedah (28 orang).

Zolkples turut ragu-ragu dengan sejauh mana penguatkuasaan tatacara pelaksanaan piawai (SOP) dalam mencegah penularan pandemik Covid-19 terhadap atlet-atlet dan mereka yang terbabit dalam latihan kem berpusat ini.

“Kebanyakan atlet ini apabila di depan pegawai atasan persatuan atau media, mereka tunjuklah mereka patuhi SOP. Selepas semua orang ini tiada, mereka main langgar sahaja nanti.

“Macam yang terjadi kesesakan lalu lintas di lebuh-lebuh raya sekarang sebab ramai hendak juga balik kampung merentas negeri. Kita sudah ada peraturan, kerajaan pun selalu ingatkan dan keluar arahan tetapi orang ramai tetap berdegil juga.

“Kita bimbang apabila seorang sahaja yang dijangkiti Covid-19, nanti habis satu kem latihan itu pula jadi ‘Kluster RTT’ atau ‘Kluster Olimpik’,” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here