Inilah Hari Raya Bob dan rakan-rakan

0
333
LAGU solo Inilah Hari Raya bertukar menjadi lagu dendangan ramai untuk lebih meriah.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

TAHUN in sambutan hari raya berbeza jika dibandingkan sebelumnya kerana kali ini seluruh dunia diduga dengan wabak Covid-19.

Dek penangan virus tersebut rata-rata karyawan seni tidak rancak mengeluarkan lagu raya baharu seperti selalu apabila menjelang Syawal.

Namun ada juga yang tidak mahu mengalah kepada situasi semasa dan tetap menghasilkan lagu raya baharu yang dicipta mengikut keadaan sekarang.

Salah sebuah lagu raya baharu adalah dendangan Bob Yusof dan rakan-rakan iaitu Inilah Hari Raya.

Asalnya lagu Inilah Hari Raya dicipta oleh Sharon Paul adalah untuk dendangan Bob secara solo.

Namun penyanyi tersebut mahukan kelainan dan selepas berbincang, terhasillah lagu dendangan ramai.

Ternyata Bob selesa berkolaborasi dengan rakan-rakan lain agar lagu tersebut lebih kelihatan meriah.

Mereka yang terlibat mendendangkan lagu Inilah Hari Raya selain Bob ialah Asmidar, MeeyoJoe dan dua bakat baharu iaitu Fadhli Zaihan serta Siti Mariam Saim.

“Lagu berkonsep moden tradisional ini, saya cipta dengan kerjasama Rushdan Ashri, Farez Asmadi, Mohammad Haikal, Joe dan Najmi. Mereka adalah graduan universiti.

“Asalnya lagu ini yang liriknya ditulis oleh Ahmad Fedtri Yahya dan Joe Bazli (MeyooJoe) dibuat khas untuk Bob nyanyi solo, tapi dia minta berduet untuk lebih meriah,” jelas Sharon.

Kata Sharon yang juga isteri kepada pelakon dan pengarah Rusdi Ramli itu, bila perubahan dibuat ternyata lagu Inilah Hari Raya bersesuaian dengan situasi sambutan raya tahun ini.

“Lagu ini bersesuaian untuk menaikkan debaran sambutan Aidilfitri yang bakal dirai pada hujung minggu ini walaupun dirai secara tertutup.

“Tahun ini buat pertama kalinya kita tidak digalakkan untuk berkunjung ke rumah saudara mara kerana perlu patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” tambahnya lagi.

Lagu Inilah Hari Raya terbitan dan edaran Werkit Records itu telah berada di pasaran digital sejak 18 Mei lalu.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here