Masalah emosi jadi cabaran pasca Covid 19

0
870
FOTO: Wikimedia Commons/Sander van der Wel from Netherlands / CC BY-SA (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/2.0)

Oleh Dr Suhaimee Saahar @ Saabar

KETIKA ini cabaran emosi menjadi salah satu cabaran utama dalam kita berdepan dengan pandemik Covid 19. Beberapa tingkah laku agresif sama ada dalam bentuk lisan dan emosi seperti tanda-tanda kemurungan, hilang fokus, keletihan, keraguan dan paling serius adalah cubaan untuk membunuh diri menjadi isu kesihatan mental hari ini. Masyarakat kini berdepan dengan isu-isu sosioekonomi seperti kehilangan pekerjaan, kehilangan punca pendapatan, isu kesihatan, penderaan domestik dan juga kehilangan tempat tinggal membuatkan mereka kini hidup dalam satu bentuk tekanan baharu. Ini mendorong mereka untuk melakukan beberapa tindakan luar kawalan yang akan menyebabkan kerugian sama ada sumber manusia dan juga kewangan.

Setakat hari ini Kementerian Kesihatan Malaysia menerima sebanyak 8,380 panggilan membabitkan pelbagai isu termasuk tekanan emosi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kes yang tertinggi adalah melibatkan masalah emosi yang mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 46.8 peratus daripada keseluruhan panggilan. Dalam tempoh ini bayangkan tahap produktiviti individu sedikit sebanyak telah terjejas. Beberapa sektor yang tidak boleh beroperasi ini mungkin dilihat kepada peningkatan kes ini. Majikan mengambil langkah sendiri dalam memastikan motivasi pekerja mereka dapat dipertingkatkan bagi menghadapi cabaran ini.

Malah masalah ini diburukkan lagi dengan maklumat-maklumat palsu dan tidak sahih yang memberikan kesan emosi dan fizikal. Kecelaruan maklumat menyebabkan keresahan tidak terkawal apabila sentimen negatif menguasai diri. Dalam masa yang sama penggunaan teknologi komunikasi adalah tidak menyeluruh di mana bukan semua memiliki peralatan komputer terutama untuk penggunaan pendidikan atas talian. Bayangkan jika sebuah rumah yang memiliki anak yang ramai terpaksa berkongsi komputer yang sama untuk sesi pendidikan yang berbeza masa. Malah tambahan kerja rumah yang diberikan juga dilihat kelihatan membebankan apabila beberapa masalah teknikal seperti akses Internet dan juga kemampuan perisian yang terhad juga memberi kesan berbeza kepada kelompok yang berbeza. Diharapkan situasi ini hanya bersifat sementara dan ibu bapa juga perlu bijak dalam memastikan anak-anak mereka tidak terlepas tugasan yang diberikan.

Namun kita perlu mengakui dan mengambil langkah proaktif yang sesuai dan relevan bagi menguruskan tekanan yang dihadapi ini. Persediaan dalam bentuk pendidikan atas talian dalam beberapa Sistem Pengurusan Pembelajaran (Learning Management System) seperti Google Classroom banyak membantu pendidik dan ibu bapa untuk menyesuaikan diri dan menggunakan platform yang mudah dan relevan dalam berdepan dengan situasi baru ini. Malah sedikit sebanyak platform digital ini juga mengurangkan tekanan yang ada terutamanya pada pekerja yang bekerja dari rumah.

Langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Medical Relief Society (MERCY Malaysia) menyediakan perkhidmatan sokongan psikososial kepada rakyat Malaysia dilihat dapat membantu masalah ini. Dalam masa yang sama agensi lain juga turut membantu dalam memberi bantuan kaunseling untuk membantu mereka yang terkesan.

Sekurang-kurangnya inisiatif ini dapat memberikan kelegaan kepada mereka dalam mencari solusi dan tips untuk mengurangkan tekanan yang mereka hadapi. Jangan kita memandang mudah masalah ini kerana walaupun kerajaan menyalurkan beberapa insentif bantuan ramai juga golongan yang terjejas disebabkan penularan wabak Covid 19.

Oleh itu kita memohon semua pihak tidak kira bangsa dan agama terus memastikan arahan kerajaan untuk kita berada di rumah, menjaga jarak kita, menjaga kebersihan serta tidak mengunjungi ke kawasan yang sesak dipatuhi. Walaupun tidak lama lagi kita akan beraya tetapi kita semua bertanggungjawab dalam memastikan tiada kluster baharu muncul. Apa yang kita khuatir adalah dengan kewujudan kluster baharu pasti akan berlakunya tekanan emosi yang mampu memberikan kesan kepada diri kita. Lebih baik kita berkorban untuk tahun ini dan meletakkan kepentingan negara menjadi keutamaan bersama.

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here