Ada Apa Dengan Dosa, sarat mesej

0
517
FILEM ini penuh dengan pengajaran dan sesuai untuk semua orang.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SETIAP manusia tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan kerana kita bukanlah maksum seperti Nabi Muhammad S.A.W. Namun Allah itu maha pengampun dan penyayang terhadap umatNYA yang telah insaf.

Allah sentiasa menerima taubat insan tapi bagaimana pula individu tersebut mahu meneruskan kehidupan apabila sering dihantui oleh kesilapan silam.

Itulah yang dihadapi oleh Ustaz Aariz yang masa mudanya tidak terlepas daripada melakukan dosa termasuk berzina sehingga kekasihnya itu melahirkan anak luar nikah.
Ustaz Aariz juga malu untuk mengaku Aurora adalah anaknya kerana takut maruah diri tercalar. Lebih memeritkan beliau, Aurora dibesarkan oleh keluarga bukan Islam sebagai seorang freethinker.

Gadis berusia 19 tahun itu juga tidak mempercayai kewujudan Tuhan yang satu sehingga mahu membunuh diri.

PENGGAMBARAN Ada Apa Dengan Dosa banyak dilakukan di Scotland.

Jika anda mahu mengetahui apa kesudahan perjalanan hidup Ustaz Aariz dan Aurora, pihak Astro Shaw membawakan filem Ada Apa Dengan Dosa (AADD) yang bergenre drama Islamik itu ke saluran Astro First (480) mulai 4 Jun ini.

Filem AADD yang sarat dengan mesej, diterbitkan oleh Pencil Pictures & Records dan diarah oleh Rahila Ali itu boleh dilanggan dan tonton tanpa henti dalam tempoh 48 jam pada kadar harga RM15.

Menurut penerbit filem, Datuk Normashayu Puteh, AADD yang menjalani penggambaran di beberapa lokasi menarik di Scotland dan Malaysia pada 2018 itu sepatutnya menemui penonton di pawagam mulai 24 September 2020.

“Sepatutnya filem ini ditayangkan di pawagam September nanti. Namun lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat virus Covid-19, kita perlu mengutamakan keselamatan semua orang.

“Selaku penerbit filem, saya tidak mahu melengahkan sebuah filem yang baik serta sarat dengan mesej pengajaran untuk dipertontonkan kepada penonton di luar sana.

KISAH Aurora yang dibesarkan oleh keluarga bukan Islam.

“Manusia sekarang sering alpa dan hanyut dengan keindahan dunia sehingga lupa pahala, dosa dan tanggungjawab. Filem ini bukanlah untuk menghakimi sesaipa tetapi saya harap ia mampu menjentik hati semua yang menontonnya,” kata Normashayu.

Antara yang menjayakan filem AADD ialah pelakon Ashraf Muslim, Fasha Sandha, Wanna Ali, Haris Ismail, Fauzahi Nawi dan Adam Corie. Manakala runut bunyi untuk filem tersebut, Hakikat Jiwa, merupakan nyanyian Datin Alyah yang dicipta oleh Omar K, Ikhwan Fatanaa dan Alyah.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, sejak Astro Shaw memperkenalkan konsep ‘Pawagam Di Rumah” pada April lalu, peminat filem tempatan mula menerima norma baharu dan teruja menanti filem yang bakal ditayangkan di Astro First.

USTAZ juga tidak lepas daripada melakukan dosa, itu yang ditonjolkan dalam filem Ada Apa Dengan Dosa.

“Sambutan hangat itu terbukti menerusi filem pertama yang disiarkan di Astro First, Manap Karaoke yang mendominasi tangga nombor satu carta Astro First selama 14 hari berturut-turut. Manakala filem Syif Malam Raya pula menjadi trending di laman YouTube.

“Susulan daripada itu Astro Shaw dengan usaha strategiknya terus aktif membuka ruang buat para penerbit untuk membawa filem baharu mereka ke Astro First. Tugas kami pula membantu mereka dari segi pemasaran secara kreatif,” katanya yang lebih mengutamakan kepuasan penonton.

Tambahnya, AADD mempunyai isu dan mesej yang jarang dibincangkan secara terbuka menerusi filem mahu pun drama tetapi berlaku dalam masyarakat tempatan.

“Kami rasakan intipati yang diselitkan dalam jalan cerita AADD bukan sahaja mampu memghiburkan penonton malah turut berkongsi pemahama dan mesej baharu,” ujarnya.

–BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here