Lima alasan kenapa rakyat mesti tolak dan pinggirkan PH!

0
495

Oleh Datuk Ir Ts Dr Badhrulhisham Abdul Aziz

SUDAH sampai masanya rakyat untuk tolak dan pinggirkan PH. Gabungan beberapa buah parti yang diberi peluang untuk memerintah selama 22 bulan selepas PRU14, telah menyebabkan negara berada dalam keadaan kucar-kacir dan tidak stabil.

Pertama, kemampuan mentadbir sesebuah negara hampir tidak ada pada PH. Walaupun dipimpin oleh seorang mantan Perdana Menteri, terbukti sebahagian menteri yang dilantik adalah tidak kompeten. Dengan latar belakang kerjaya hanya sebagai ahli politik, dan tidak ada atau terlalu sedikit pengalaman mentadbir atau bekerja, ramai di antara mereka gagal berfungsi.

Malah sesetengah ahli politik PH, membuat musuh dengan penjawat awam dan kemudian membuat tuduhan penjawat awam mensabotaj mereka (“deep state”). Bukan itu sahaja, ada ahli politik PH ini membuat cadangan untuk mengurangkan bilangan penjawat awam. Bayangkan kalau diikut saranan mereka itu, negara tidak akan dapat berdepan dengan wabak Covid-19 dengan efisien dan efektif sekarang ini, disebabkan kekurangan tenaga kerja terutama dalam bidang kesihatan.

Ada juga tuduhan dari penyokong PH yang mempertikaikan peranan tentera negara, menuduh tentera makan dan tidur saja, tidak buat kerja. Sekarang semasa PKP, tentera merupakan sebahagian dari ‘frontliners’ yang bertungkus-lumus berkorban untuk negara. Di manakah sikap patriotik penyokong tegar PH ini dan pandangan mereka sekarang ini?
Kedua, kestabilan negara berada dalam keadaan bahaya disebabkan politik perkauman yang dimainkan oleh sesetengah ahli politik PH. Mereka menuduh pihak lain main sentimen perkauman tapi merekalah yang begitu agresif memainkan sentimen perkauman dan agama.

Keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan sebagaimana di dalam perlembagaan, sering dijadikan bahan cabaran dan perdebatan. Tidak pernah berlaku dalam sejarah, orang Melayu dan Islam serta kedudukan raja-raja dikritik dan dipersoalkan begitu hebat atas nama hak asasi manusia dan kesamarataan. Sejarah negara dibakul sampahkan dan ini menghiris hati dan perasaan pejuang kemerdekaan, pejuang Islam, pejuang menentang komunis, pejuang bangsa, pejuang bahasa dan lain-lain.

Ketiga, kerajaan PH adalah sebuah kerajaan yang asyik menyalahkan orang lain terutama terutamanya kerajaan terdahulu dalam banyak hal. Ketidakupayaan PH menguruskan kewangan negara amat ketara sekali dengan hutang yang menimbun dan penjualan aset negara yang banyak. Tetapi masih lagi menyalahkan kerajaan terdahulu yang kononnya menyebabkan ekonomi negara berada dalam keadaan yang teruk.

Sindrom merasakan diri mereka saja yang ‘suci’ dan ‘bersih’ adalah sikap yang selalu cuba diperlihatkan dan perasaan ‘lebih baik’ dari orang lain termasuk rakyat, akhirnya memakan diri sendiri. Rakyat tidak percaya dengan golongan PH ini yang hanya pandai berkata-kata tapi tidak dalam perbuatan dan memutar-belitkan fakta. Sebab itu mereka kalah 5 kali berturut-turut dalam pilihan raya kecil bukan sahaja di semenanjung, malah di Sabah juga.

Keempat, gabungan PH inilah yang bukan sahaja tidak dapat memenuhi janji sebagaimana dalam manifesto mereka, malah memungkiri janji dan prinsip mereka. Rakyat digula-gulakan semasa PRU14 dengan janji bulan dan bintang dalam manifesto. Tapi akhirnya, rakyat yang menderita dan tidak terbela.

Kelima, terbukti dalam mutakhir ini berkaitan sidang parlimen dan pemilihan PM ke 8, mereka tidak menghormati SPDB Yang Dipertuan Agong dan sistem demokrasi negara ini. Kebiadaban mereka terhadap institusi Raja ini tidak boleh dimaafkan.

Akhir sekali pertelingkahan selama lebih 20 tahun antara Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim dalam merebut kuasa, menyebabkan PH berada dalam keadaan rapuh dan akhirnya memakan diri sendiri bila kerajaannya jatuh. Kemelut pergaduhan dan permusuhan inilah yang menjadi punca sebenar kejatuhan kerajaan dan juga punca penderitaan rakyat selama 22 bulan di bawah pemerintahan PH bila pemimpin utama ini mengutamakan agenda peribadi dan kuasa.

Cukuplah rakyat memberi undi, dalam PRU 14 dan yang lepas-lepas, kepada gabungan PH ini yang tidak kompeten, bermain sentimen perkauman, asyik menyalahkan orang lain, mungkir janji dan gila kuasa. Jangan bagi mereka peluang menang satu kerusi pun sama ada dalam PRK atau PRU yang akan datang, kerana terbukti dalam masa 22 bulan semasa mereka memerintah, mereka bukanlah sebuah kerajaan yang berintegriti dan berwibawa, malah menjadi sebuah kerajaan yang menyusahkan rakyat dalam banyak hal.

*Dato’ Ir Ts Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, F.A.Sc merupakan Presiden, Parti BERJASA

-BebasNews

*Artikel ini adalah semata-mata pendangan dan pendapat penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian mahu pun dasar bebasnews.my

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here