Melaka catat 886 kes cubaan rentas negeri – Ismail Sabri

0
196
FOTO: NSTP.

PUTRAJAYA  — Melaka mencatatkan cubaan pergerakan rentas negeri tertinggi dengan 886 kes, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, Perak kedua tertinggi dengan 362 kes, manakala Pulau Pinang (284).

“Setiap hari saya ulangi jangan buat rentas negeri dan semalam mungkin bila saya umum tiada lagi kebenaran lagi rentas negeri, mungkin ramai yang ingin mengambil kesempatan rentas negeri.

“Mungkin mereka takut hari ini ada sekatan jalan raya dan sebagainya, dan sebab itu ramai yang cuba merentas negeri,” katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di sini.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 2,539 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung, telah diarahkan berpatah balik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, mengenai rentas daerah bagi tujuan mengunjungi sanak-saudara sempena Aidilfitri, Ismail Sabri berkata, walaupun Kerajaan Persekutuan membenarkan pergerakan itu, namun orang ramai tidak digalakkan melakukannya bagi menjaga keselamatan serta kesihatan bersama.

Beliau menjelaskan saranan tidak mengalakkan pergerakan rentas daerah pada hari raya seperti diambil oleh negeri Johor, adalah selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.

“Tidak digalakkan bukan menyekat. Kalau kita dengar, setiap hari Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengatakan, walaupun dibenarkan rentas daerah tetapi masyarakat tidak digalakkan bagi keselamatan bersama,” katanya.

Dalam perkembangan sama, larangan pergerakan rentas negeri yang diumumkan kerajaan semalam juga terpakai untuk suami isteri yang tinggal berjauhan, yang sebelum ini diberikan kebenaran rentas negeri seminggu sekali.

“Tiada lagi. Sesiapa sahaja tertakluk kepada peraturan yang saya umumkan semalam,” katanya.

Sebelum ini suami isteri yang tinggal berjauhan atas sebab kerja dibenarkan untuk merentas negeri seminggu sekali.

Mengulas mengenai ribuan orang ramai yang masih ‘berlumba-lumba’ untuk merentas negeri, Ismail Sabri berkata, walaupun ada diantara mereka lepas untuk merentas negeri, tetapi belum ada jaminan untuk mereka lepas ketika hendak balik semula, ke kediaman masing-masing.

“Jika PDRM perlu menambah sekatan jalan raya, maka mereka tambahkanlah (sekatan jalan raya) dan tindakan kompaun RM1,000 serta arahan berpatah balik telah mula dilaksanakan hari ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, diminta mengulas seorang wanita mendakwa berjaya merentas negeri menggunakan ‘kabel’ pihak atasan polis Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa peka dengan kes berkenaan.

“Seperti yang sebelum ini tular satu keluarga keluar merentas negeri sambil berswafoto untuk bergerak ke Kuala Lumpur, dan perkara yang sama akan berlaku kepada mereka yang berbuat demikian (tindakan dikenakan).

“Oleh itu, saya menyerahkan kepada pihak PDRM untuk menyiasatnya,” katanya.

Hari ini, media tempatan melaporkan polis Terengganu menafikan memberi layanan istimewa kepada seorang wanita untuk melakukan perjalanan rentas negeri dari Dungun, Terengganu ke Putrajaya, seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Sebelum ini, wanita yang menggunakan nama ‘Siska Qirana’ memuat naik status di aplikasi WhatsApp dan mesej dengan seorang sarjan polis, mendakwa dapat pulang berhari raya kerana mempunyai ‘kabel’.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here