Liga M boleh letak ‘penyokong olok-olok’

0
660
BOLA sepak, sukan berpasukan dan bersentuhan badan yang menyukarkannya dipertimbangkan Majlis Keselamatan Negara untuk diteruskan di tengah-tengah penularan Covid-19 sekarang.

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

PASUKAN-PASUKAN Liga Malaysia dibenarkan untuk meletakkan patung-patung sebagai ‘penonton olok-olok’ asalkan bukan berunsur seks sekiranya saingannya dibenarkan disambung semula 1 September ini dan dilangsungkan di stadium kosong.

Sebagai mencipta dan meyuntik elemen suasana kemeriahan, bunyi-bunyi tepukan dan sorakan menerusi sistem siaraya di stadium juga dibenarkan dalam meraikan jaringan tetapi tidak sesekali boleh diiringi muzik bingit lagu tema tradisi pasukan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, “ya, apa sahaja yang menambah keceriaan atau suasana perlawanan di stadium, dibolehkan.

“Malah pasukan-pasukan boleh memasang tanda bunyi sorakan dan tepukan penonton pada sistem siarayanya tetapi bukan muzik,” katanya kepada BebasNews.

KESUNYIAN pasukan-pasukan Liga M kerana larangan terhadap penonton di stadium, bakal terubat dengan ‘penyokong olok-olok’ jika saingan disambung semula, 1 September ini. – Foto MFL

Beliau mengulas kemungkinan ada pasukan yang turut mahukan kehadiran ‘penonton dan sorakan sokongan olok-olok mereka’ sebagai menampung kesunyian akibat kebimbangan kepada penularan pandemik maut Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sebuah kelab Liga Korea Selatan, FC Seoul didapati menggunakan puluhan patung silikon berunsur seks bagi memenuhkan tempat duduk stadium yang kosong, baru-baru ini namun dikecam dan mungkin dikenakan tindakan tatatertib.

Kelab yang menewaskan Gwangju FC 1-0 itu, sudah pun memohon maaf namun jawatankuasa tatatertib liga, dijangka mendenda mereka, 5 juta won (RM17,697) kerana patung-patung berbaju T itu dianggap mempromosikan bahan lucah yang melanggar peraturan liga.

Liga Super dan Perdana 2020 ditangguhkan FAM dan badan pengurus Liga Bola Sepak Malaysia malah sudah berlangsung tanpa penonton sejak 16 Mac lalu manakala Piala FA yang baru memasuki pusingan pertama Februari lalu, dibatalkan langsung.

Kerajaan pada 30 April lalu menolak permohonan untuk menyambung saingan liga Ogos ini namun FAM dan MFL merangka pelan B, ke 1 hingga 30 September ini secara separuh liga tanpa timbal balik apabila mengajukan semula rayuan menimbangkannya pada bulan ini.

Sementara itu Stuart mengakui ada tanda dan bayangan yang positif Liga M mampu kembali dibuka pada tarikh baharu yang dicadangkan FAM dan MFL itu sekali gus mengikut jejak Liga K dan Bundesliga serta beberapa negara Eropah.

Kelmarin, kerajaan membenarkan kelonggaran khas kepada 265 atlet program Jalan Ke Tokyo Sukan Olimpik 2020 untuk menjalani secara di kem berpusat di Bukit Jalil, Bukit Kiara dan Langkawi yang melibatkan sukan-sukan individu seperti badminton, akuatik, gimnastik, karate dan pelayaran serta paralimpik, mulai 1 hingga 30 Jun.

“Memandangkan sukan-sukan yang diberi kelonggaran itu jenis individu dan tiada sukan bersentuhan badan (seperti bola sepak), kami mengambil sikap tunggu dan lihat terlebih dulu.

STUART RAMALINGAM

“Terlalu awal untuk meramalkannya tetapi harap-harapnya begitulah (dibenarkan sambung saingan liga),” katanya.

Namun pendekatan berwaspada masih perlu diambil tegasnya kerana ramai pemain mahupun pegawai dan petugas lain yang akan terlibat selain memastikan tatatacara pelaksanaan piawai (SOP) pencegahan Covid-19 dipatuhi.

“Saringan kesihatan dan segala protokol keselamatan mesti dipatuhi. Semoga semuanya dapat dilaksanakan, tiada jalan pintas tentang itu,” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here