Sah Mohd Ali Rustam Yang di-Pertua Negeri Melaka yang baharu

0
58224

Oleh AMRAN MULUP

MELAKA — Berkat doa seluruh warganya, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam bakal melakar sejarah tersendiri selepas 63 tahun apabila menjadi anak negeri yang pertama dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka Ke-7.

Tiada siapa mampu menyanggah Mohd Ali, 70, adalah pilihan yang tepat menggantikan Tun Mohd Khalil Yaakob yang akan tamat tempoh perkhidmatan pada 4 Jun ini.

Berikutan khabar itu, Mohd Ali dan seluruh keluarga telah diarahkan menjalani perintah kuarantin di rumah selama 14 hari sehingga 4 Jun ini.

Arahan kuarantin di rumah itu adalah sebagai persiapan anak kelahiran Bukit Katil itu dijangka mengangkat sumpah jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 5 Jun ini.

Kalangan rakan rapat beliau turut mengesahkan Mohd Ali dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka yang baharu sekali gus menyelesaikan teka-teki sejak seminggu lalu mengenai calon yang akan menggantikan Mohd. Khalil Yaakob.

Ini merupakan khabar gembira buat rakyat Melaka yang sekian lama menantikan Yang di-Pertua Negeri Melaka dipilih daripada dalam kalangan anak jati kelahiran negeri ini.

Sejak selepas negara mencapai kemerdekaan pada Ogos 1957, enam Yang di-Pertua Negeri yang dilantik kesemuanya datangnya dari luar Melaka. Dua dari dari Perak manakala setiap seorang pula dari Negeri Sembilan, Selangor, Kedah dan Pahang.

Enam Yang di-Pertua Negeri Melaka terdahulu ialah Tun Leong Yew Koh (31 Ogos 1957 – 30 Ogos 1959, berasal dari Sungai Siput, Perak); Tun Abdul Malek Yusuf (31 Ogos 1959 – 30 Ogos 1971, berasal dari Kg Chengkau, Negeri Sembilan); Tun Abdul Aziz Abdul Majid (31 Ogos 1971 – 9 Mei 1975, berasal dari Hulu Langat, Selangor); Tun Syed Zahiruddin Syed Hassan (23 Mei 1975 – 30 Nov 1984, berasal dari Tanjung Kerian, Perak); Tun Syed Ahmad Syed Mahmud Shahabudin (4 Dis 1984 – 3 Jun 2004 berasal dari Kulim, Kedah) dan Tun Mohd Khalil Yaakob (4 Jun 2004 – hingga kini, berasal dari Kuantan, Pahang).

Ali Rustam merupakan anak jati negeri ini dan dilahirkan pada 24 Ogos tahun 1949 di Kampung Bukit Katil. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Katil dan SK Semabok.

Beliau melanjutkan pengajiannya di Sekolah Tinggi Melaka (Melaka High School), selepas itu melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia (USM) dan memegang Ijazah Kepujian Sarjana Muda Kemasyarakatan (Ekonomi Pembangunan) pada tahun 1984.

Beliau mendirikan rumahtangga bersama Puan Sri Hajah Asmah Abd. Rahman pada tahun 1985 dan dikurniakan tiga cahayamata iaitu dua lelaki dan seorang perempuan iaitu Mohd Ridhwan (Ketua UMNO Bahagian, Bukit Katil), Wan Nazirah dan Muhm. Hamka.

Mohd Ali mempunyai pengalaman luas dalam bidang perkhidmatan awam dan memulakan kerjaya awal sebagai Pegawai Kerani di Tenaga Nasional (TNB) dari 1969 – 1979. Beliau kemudian menjadi Penolong Pengarah KEMAS negeri Kedah antara tahun 1979 – 1980.

Berkat kegigihannya, beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengarah KEMAS negeri Perlis selama setahun dari 1980 – 1981 dan dipindahkan ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1981 – 1982) menjawat jawatan yang sama.

Setahun selepas itu beliau dihantar ke Melaka sebagai Pengarah KEMAS (1982 – 1983). Pada tahun 1984, beliau mendapat kepercayaan daripada Ketua Menteri Melaka ketika itu, dan dilantik sebagai Setiausaha Khas kepada Ketua Menteri Melaka sehingga tahun 1986.

Mohd Ali mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum pada 1986 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek. Beliau menang mudah dan dilantik sebagai Exco dengan memegang portfolio
Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar (1986-1990).

Pada PRU 1990 beliau bertanding pula di DUN Sungai Udang dan menang. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Sains dan Teknologi hingga 1995.

Beliau kemudian bertanding untuk kerusi Parlimen Batu Berendam dalam PRU 1995 dan menang. Kemenangan itu membolehkan beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan (4 Mei 1995 – 10 Januari 1999).

Dalam rombakan kabinet pada Januari 1999, beliau diberi kepercayaan menjawat jawatan Timbalan Menteri Kesihatan dari 11 Januari 1999 hingga PRU pada 29 November 1999.

Mohd Ali diberi kepercayaan lagi tetapi kali ini bertanding semula di kerusi DUN Paya Rumput dan menang pada pilihanraya itu. Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka pada 2 Disember 1999 sehingga 2013.

Sewaktu tiga penggal menjadi Ketua Menteri, Mohd Ali berjaya menjadikan Melaka sebagai Negeri Maju menjelang 2010.

Melaka berkembang dalam sektor pelancongan dengan pelbagai produk dihasilkan antaranya Menara Taming Sari, Melaka Rivercruise dan sebagainya hingga menarik ramai pelancong dari luar negara berkunjung ke negeri ini.

Pencapaian dan kualiti kepemimpinan beliau amat terserlah antaranya, Pengisytiharan Melaka Bandar Warisan Dunia, pendapatan per kapita negeri tertinggi di Malaysia.

Dalam UMNO pula, beliau pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO merupakan Naib Presiden UMNO, Presiden Belia 4B Malaysia, Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Presiden World Youth Foundation (WYF) dan World Assembly of Muslim Youth (WAMY).

Beliau adalah seorang idealis yang praktikal, berpendirian tegas, berani, cekal, yakin dengan kebolehan diri sendiri dan percaya tidak ada apa yang sukar dilakukan sekiranya ada usaha yang bersungguh-sungguh.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here