Lelaki disyaki mabuk mengamuk langgar lima orang awam

    0
    609

    HULU SELANGOR – Seorang lelaki ditahan selepas mengamuk dan melanggar lima orang awam dengan keretanya di perkarangan tapak penjaja di Pekan Bukit Sentosa, Hulu Selangor di sini, petang semalam.

    Berdasarkan laporan polis, suspek berusia 32 tahun yang disyaki berada dalam keadaan mabuk, berbuat demikian selepas memaki hamun anggota polis di Balai Bukit Sentosa dalam kejadian yang berlaku pada pukul 6.35 petang.

    Semasa datang ke balai polis itu, suspek memberitahu bahawa dia akan melanggar semua orang awam yang berhampiran di Bukit Sentosa.

    Lelaki itu secara tergesa-gesa keluar dari balai polis dan mengamuk dengan melanggar orang awam di tapak penjaja Persiaran Orkid.

    “Suspek itu, tidak lama kemudiannya meluru masuk semula ke perkarangan balai polis diikuti dengan beberapa orang awam mengejarnya,” kata laporan lagi.

    Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Arsad Kamaruddin sebagai berkata, kejadian itu berpunca daripada suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan seorang lelaki mengetuk cermin sisi keretanya apabila dia membunyikan hon untuk melepasi jalan sesak berhampiran Jalan Besar Bukit Sentosa.

    Arsad berkata ekoran kejadian ini, lima orang awam dikenal pasti mengalami kecederaan iaitu empat lelaki dan seorang wanita berumur dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun.

    “Dua kereta, dua motosikal dan dua khemah di tapak perniagaan mengalami kerosakan akibat dilanggar, dan setakat ini juga terdapat lima laporan polis dibuat oleh orang awam iaitu peniaga gerai yang mengalami kecederaan serta kerosakan gerai,” katanya.

    Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    BebasNews
    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here