Batal gabung UMT, UniSZA disambut baik

0
268

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyambut baik keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan penggabungan UMT dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Naib Canselor UMT Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata perkhabaran itu memberi kelegaan kepada semua warga universiti sewaktu menghadapi pelbagai dugaan ketidaktentuan bagi perancangan hala tuju tahun 2020/2021 dan juga keadaan getir yang menimpa akibat pandemik COVID-19.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT dan juga setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih buat Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad kerana mempertimbangkan, mendengar serta meneliti pandangan dari pelbagai pihak dalam membuat keputusan penting ini.

“UMT telah melalui pelbagai fasa penjenamaan dan evolusi penubuhan sejak tahun 1979 lagi. Pelbagai kejayaan yang telah dicipta oleh UMT dalam merapatkan jurang antara institusi ini dengan universiti bertaraf universiti penyelidikan.

“Hasil pencapaian yang terlakar sepanjang tempoh perkembangan universiti ini tidak mungkin dilenyapkan begitu sahaja, baik dalam pencapaian akademik, kokurikulum pelajar, kualiti penyelidikan serta pengiktirafan peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan yang dipetik oleh Bernama.

Noraini dalam kenyataan berasingan sebelum ini mengumumkan rancangan penggabungan antara kedua-dua universiti itu tidak akan diteruskan, dan keputusan mesyuarat jemaah menteri itu dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor dan cabaran semasa.

Dalam pada itu Nor Aieni berkata pengiktirafan falsafah dan sejarah penubuhan UMT tidak mungkin dilenyapkan begitu sahaja.

“Produk UMT iaitu alumni yang telah pun mencapai angka lebih 30,000 orang juga bertindak sebagai duta UMT ke pelosok dunia. Mereka jugalah yang menjadi kekuatan untuk bersuara mempertahankan kesejahteraan dan kecemerlangan berterusan bagi UMT.

“UMT telah melahirkan alumni yang berjaya dan sedang menabur bakti kepada negara serta mengharumkan nama Malaysia di luar negara. Seluruh warga UMT dan alumni menzahirkan rasa syukur kerana kebajikan serta peluang pekerjaan bagi staf berstatus bukan tetap pun dapat diteruskan bagi mencurahkan bakti di UMT yang tercinta,” katanya.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here