FDAM: Peluang kongsi ilmu dengan pengarah filem asing

0
361

Oleh ZAKI ABDUL RAHIM

KUALA LUMPUR — Persatuan pengarah Filem Malaysia (FDAM) kini menganjurkan program bersiri sembang secara dalam talian, ‘International Reaching Out’ yang bersiaran setiap dua minggu.

Idea tercetus setelah Ahli Majlis Tertinggi FDAM cuba mencari kelainan dalam menampilkan idea kreatif memanfaatkan tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk menyediakan platform sembang dalam talian antara penggiat industri skrin kreatif khususnya pengarah filem dan program televisyen.

“Bezanya program FDAM ini ialah ia mempertemukan pengarah filem antarabangsa membincangkan pelbagai isu semasa berkaitan kerjaya pengarahan,” kata Zaki Abdul Rahim, Pengarah Program yang juga Timbalan Presiden FDAM.

Beliau berkata, untuk siaran pertama pada Sabtu, 23 Mei ini pukul 12 tengah hari, pengarah muda Arief Malinmudo dari Bukit Tinggi, Sumatera Barat, Indonesia akan bertamu memperkatakan tajuk “ Pengarah Nusantara Sepakat Menyantuni Budaya Dalam Filem” dengan perantaranya Datuk Ahmad Tarmimi Siregar.

Naskah pertama pengarah muda berusia 30 tahun ini, “Surau dan Silek” pada 27 April 2017 walau dalam bahasa Minangkabau telah mendapat sambutan baik masyarakat antarabangsa apabila ia turut ditayangkan di Australia, Amerika Syarikat, Balkan, Afrika Utara, Bulgaria dan Itali. Plot filem ini tentang nilai budaya setempat yang hampir terpinggir oleh sikap naif komuniti setelah dihambat arus globalisasi serta ledakan teknologi digital.

Sementara itu, Presiden FDAM Ahmad Ibrahim menggesa ahli-ahli FDAM mengambil peluang mengikuti siaran program ‘International Reaching Out’ ini tanpa sebarang alasan kerana persatuan telah mengambil inisiatif yang cukup membanggakan dan bertaraf eksklusif.

“Insha Allah pada akan datang kita akan menjemput pengarah terkenal daripada Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei, Fillipina, India, Vietnam, Pakistan, Bosnia, Bangladesh, Korea, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Setakat ini pengarah Siti Kamaluddin, Ichwan Persada, Ernest Prakasa, Spike Lee, Andrew Christian, Karthick Suburaj, Karthick Naren, AL Vijay, Balaji Dharanetharan, Jagadeesan Subu dan Kim Tae Sik telah pun menunjukkan minat untuk menyertai program kami ini”, jelas Ahmad Ibrahim lagi.

Sementara itu, penganjur berhasrat juga mendapatkan persetujuan pengarah terkenal filem Korea “Parasite” Bong Joon Ho yang meraih kejayaan besar pada Anugerah Akademi ke 92, Garin Nugroho pengarah filem “Soegija” dan Mel Gibson pengarah filem legenda “Braveheart” untuk turut menyertai program yang bakal memberikan impak tinggi di kalangan penggiat industri khususnya ahli-ahli FDAM.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here