Keluarga maafkan pembunuh Jamal Khashoggi

0
295
FOTO: jadaliya.com.

RIYADH – Keluarga Jamal Khashoggi, sudah memaafkan pembunuh bapa mereka, tulis anak lelaki kolumnis akhbar Washington Post itu, Salah Khashoggi menerusi ciapan di akaun Twitter.

“Pada malam penuh berakah di bulan Ramadan penuh keberkatan ini, kami ingat firman Tuhan: Jika seseorang mengampuni dan membuat pendamaian, balasannya datang terus dari Allah.

“Justeru, kami, anak-anak syahid Jamal Khashoggi, mengampuni mereka yang membunuh ayah kami, dan mengharapkan balasan pahala Tuhan yang Maha Kuasa,” tambah Salah.
Namun dalam perkembangan berasingan, tunang Jamal Khashoggi dilaporkan enggan memaafkan orang yang membunuh tunangnya itu.

Allahyarham Jamal kali terakhir dilihat di konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki pada 2 Oktober 2018, ketika cuba hadir untuk mendapatkan dokumen daftar perkahwinannya yang akan datang.

Media tempatan melaporkan, anggota tubuh mangsa dikatakan telah dikerat beberapa bahagian sebelum dibawa keluar dari bangunan itu, dan mayatnya sehingga kini masih belum ditemukan.

Pembunuhan berprofil tinggi itu telah mencetuskan kemarahan masyarakat Barat selain mencemarkan imej Putera Mahkota Mohammed Salman yang didakwa sebagai dalang jenayah tersebut.

Para pegawai Arab Saudi, bagaimanapun dakwaan berkenaan malah menegaskan bahawa Mohammed tidak terlibat langsung dalam insiden pembunuhan berkenaan.

Bagaimanapun pada September 2019, putera mahkota tersebut membayangkan bahawa dirinya memikul tanggungjawab peribadi apabila menyatakan kejadian itu berlaku ketika berada di bawah pengawasannya.

Kerajaan Arab Saudi kemudian menjatuhkan hukuman mati ke atas lima orang dan hukuman penjara terhadap tiga lagi tertuduh berhubung pembunuhan Jamal sekitar bulan Disember tahun lalu.

Kesemua suspek terbabit melalui perbicaraan penuh rahsia di ibu kota Riyadh tetapi proses perundangan itu dikecam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi Barat.
Pelapor khas PBB bagi perbicaraan di luar undang-undang atau hukuman tanpa sebab, Agnes Callamard, menuduh Arab Saudi ‘persenda’ sistem kehakiman dengan biar dalang pembunuhan dibebaskan.

Ketika merujuk kepada keputusan kontroversi itu, Salah dilaporkan media Arab Saudi berkata bahawa keluarganya berpuas hati kerana “ia adalah adil bagi kami dan keadilan telah dicapai”.

Salah sebelumnya pernah berkata bahawa beliau mempunyai ‘keyakinan penuh’ terhadap sistem kehakiman, dan menyelar pengkritik yang ujarnya hanya ingin eksploitasi kes tersebut.

Berikutan itu, anak-anak Allahyarham Jamal, termasuk Salah, didakwa menerima rumah bernilai jutaan dolar dan dibayar ribuan dolar sebulan oleh pihak berkuasa tempatan untuk tutup kes ini.

Salah bagaimanapun menyangkal laporan oleh media asing itu, dengan menafikan berlakunya sebarang penyelesaian berbentuk kewangan dengan pihak kerajaan Arab Saudi sendiri.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here