Manfaat teknologi, raikan Aidilfitri 1441H – Hamidin

0
309

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

MANFAATKAN kecanggihan teknologi dengan gajet pintar menerusi pelbagai aplikasi dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri 2020 dan 1441 Hijrah biarpun tradisinya sudah berbeza kerana situasi dunia kini yang dilanda pandemik Covid-19.

Kebiasaan atau norma baharu dalam meraikannya kali ini disarankan dalam pesanan Aidilfitri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin kepada seluruh peminat sukan ini di tanah air atau di mana-mana sahaja.

“Meskipun kita hanya mampu menyambutnya dengan syarat terhad tanpa berjabat tangan, hari kemenangan (setelah berpuasa sebulan Ramadan) ini tetap disambut dengan penuh kenikmatan serta kesyukuran.

“Jika tahun lalu, kita berhari raya dengan tema ‘Raya Bola’ di Stadium Nasional, Bukit Jalil bersama Harimau Malaya dalam pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Timor Leste, tahun ini sambutan kita jauh berbeza dengan hanya duduk di rumah (kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat – PKPB).

“Walau bagaimanapun inilah masanya buat rakyat Malaysia khususnya penyokong bola sepak negara menggunakan sepenuhnya kecanggihan teknologi untuk terus menjalin silaturahim pada Hari Raya Aidilfitri,” katanya pada laman sesawang dan sosial FAM hari ini.

Sambutan berbeza di bawah PKPB yang mengehadkan ziarah-menziarahi hanya pada Hari Raya Pertama dan tidak melebihi 20 orang di sesebuah rumah, turut menjadi satu lagi norma baharu yang perlu dipatuhi memandangkan katanya, negara masih berdepan ancaman penularan pandemik Covid-19.

“Akhir kata, pada hari yang penuh mulia ini, marilah kita terus berdoa ke hadrat Allah Subhanahuwataala agar pandemik Covid-19 ini berakhir segera dan aktiviti bola sepak negara akan dapat diteruskan kembali.

“Kini jemari tidak sempat berjabat, kini raga tidak dapat bertatap, seiring seruan takbir berkumandang ini, dengan ingatan tulus daripada saya dan warga kerja FAM, kami mengucapkan Salam Aidilfitri, mohon maaf zahir dan batin,” katanya.

–BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here