Sambut Aidilfitri secara bersyarat

0
358
FOTO: NSTP.

Oleh HASSAN MOHD NOOR

“SETIAP tahun saya menyambut hari raya di hospital pada hari raya pertama. Selepas solat Aidilfitri, saya akan pergi ke hospital untuk bersama frontliners kita yang bekerja pada hari raya iaitu raya pertama dan kedua. Tahun ini tiada bezanya,” Begitu kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagi kumpulan yang digelar frontliners, bekerja pada hari perayaan bukanlah sesuatu yang luar biasa. Hanya kita di luar barisan hadapan akan terasa ‘luar biasa’ pada hari raya tahun ini. Jika kali ini kita tidak boleh balik kampung, ada dalam kalangan ‘barisan hadapan’ entah kali ke berapa tidak balik berhari raya.

Bukan setakat beraya di kampung, malahan beraya bersama keluarga pun mungkin tidak berkesempatan. Mereka yang ada anggota keluarga sebagai ‘frontliners’ ini lebih memahami. Petang raya, malam raya dan hari raya sama sahaja.

Dulu, ketika saya di peringkat awal menjadi ‘pemberita’, setiap kali menjelang Aidilfitri antara laporan wajib adalah berkaitan kisah perajurit berhari raya di perbatasan. Kisah anak dan isteri ditinggalkan, gambar perajurit berpuasa dan berhari raya dan penghantaran bungkusan kuih muih. Itu kisah frontliner dulu.

Hakikatnya ramai yang bekerja pada hari raya. Cuma yang membezakan adalah jenis profesion. Ada yang hanya duduk melayan ‘pelanggan’. Tetapi bagi kumpulan frontliners seperti perkhidmatan kesihatan mungkin lebih mencabar bagi melayani karenah ‘pelanggan’ mereka dan keluarga ‘pelanggan’.

Tahun ini, suasananya tentu luar biasa, kerana mereka sedang berdepan dengan wabak Covid-19. Merawat atau mengendali pesakit ini juga bukan seperti biasa. Luar daripada kebiasaan kerana tersilap langkah mereka yang merawat pula akhirnya dirawat. Itu suasana baharu yang dihadapi golongan ini.

Lebih membimbangkan apabila pergerakan bebas orang ramai sempena musim perayaan ini. Menjelang perayaan pun, nampak kesibukan orang ramai ke sana sini membuat persiapan walaupun di dalam lingkungan kawasan sendiri. Pasar dan pusat membeli belah menjadi tumpuan.

Menjelang hari-hari terakhir seolah-olah sudah ada bazar Ramadan. Mujurlah langkah orang ramai terbatas disebabkan ada sekatan rentas negeri oleh pasukan keselamatan. Bayangkan jika tidak ada, tetapi sampai bila rakyat perlu ‘dididik’ atau ‘ditunjuk’ mematuhi peraturan?

Adakah saranan dan harapan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk memberi peluang kepada barisan hadapan ‘berehat’ boleh tercapai?

Semua ini bergantung kepada masyarakat. Mereka yang bertanggungjawab untuk mengelak diri sendiri ke hospital bersama Covid-19. Bukan setakat Covid-19, apa juga jenis penyakit jika dapat dibendung oleh orang ramai akan membantu mengurangkan beban petugas barisan hadapan ini.

Justeru, seperti kata Muhyiddin, rakyat memainkan peranan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka, menyukat suhu badan dan amal penjarakan sosial sepanjang masa.

Katanya, rakyat perlu mengambil tanggungjawab membendung penularan wabak Covid-19 untuk memberi peluang petugas barisan hadapan ‘berehat’,.

Adakah rakyat Malaysia sudah bersedia? Adakah mereka sedar tanggungjawab yang perlu dilakukan bukan sahaja sekadar menjaga diri dan keluarga tetapi juga jiran tetangga serta masyarakat sekeliling di kawasan tempat tinggal? Sejauh mana mereka boleh mengamalkan norma baharu kehidupan?

Adakah setelah lebih dua bulan berkurung mereka sudah belajar bagaimana mahu mematuhi SOP jika ingin ke pasar, pusat membeli belah dan mungkin tidak lama lagi boleh ke surau, masjid dan rumah ibadat. Ketika keadaan wabak ini ‘turun naik’ dan belum ada vaksin penghalang, Covid-19 akan terus ‘menyerang’ mangsa.

Malangnya, sikap manusia, cepat alpa, tidak pernah takut atau insaf selagi tidak kenal penyakit. Sinis apabila pelbagai arahan dikeluarkan. Berkait dengan hari raya pun macam-macam ‘kenyataan’ seolah-olah ‘fatwa’ bagi menangkis saranan pihak berkuasa. Syukurlah golongan seperti ini tidak ramai.

Masyarakat perlu patuh SOP bukan kerana takut undang-undang atau kompaun tetapi patuh atas sebab kesedaran serta takutkan wabak ini. Jika sekadar ikut arahan, lama kelamaan akan diceroboh jika berpeluang. Justeru kesedaran dan keinsafan itu amat penting. Kepatuhan berasaskan kesedaran bukan undang-undang. Harus diingat perjalanan memerangi wabak ini masih jauh.

Insaflah. Bantulah barisan hadapan. Sahutlah seruan Perdana Menteri walaupun di sebalik saranan itu timbul kebimbangan oleh Dr. Noor Hisham sebagai panglima perang Covid-19. Kebimbangan beliau ada asasnya berdasarkan pengalaman di luar negara yang menyaksikan kes Covid-19 meningkat secara mendadak apabila rakyat mereka pulang ke kampung semasa perayaan.

Walaupun balik kampung disekat tetapi ada juga ibarat terlepas dari kandang. Pada masa yang sama, Dr. Noor Hisham masih bimbang dengan ‘kelonggaran’ untuk kunjung mengunjung semasa hari raya ini. Sebagai pengamal,perubatan beliau lebih melihat kepada langkah-langkah pencegahan.

Baginya kunjung mengunjung lebih baik dielakkan, bukannya kurangkan. Siapa tahu ketika kunjung mengunjung itu, ada dalam kalangan mereka pembawa dan virus itu ikut orang lain pulang ke rumah. Akhirnya satu rumah dijangkiti. Justeru berhati-hatilah. Jangan terjebak sebagai penerima dan penyebar virus pada hari raya ini.

Itu pada hari perayaan. Bagaimana selepas itu? Jika semasa Ramadan, pergerakan terhad kerana puasa, bagaimana selepas raya? Semoga SOP tidak diabaikan.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here