Kenangan di Hari Raya 2020

Oleh Dato Profesor Emeritus Dr Hashim Yaacob & puisilakon (Dekon)

HARI INI Hari Raya Aidilfitri, 24 Mei 2020, bersamaan 1 Shawal 1441Hijri. Aku merayakannya bersama isteri, enam orang anak dan menantu, serta empat cucu perempuan. Itulah kurniaan Allah SWT kepadaku setakat ini.

Seperti Hari Raya biasa, kami tidak tidur selepas subuh. Makan pagi, dan kemudiannya solat Aidilfitri. Aku jadi imam terjun. Terjun ke alam menjadi imam. Aku rasa seronok juga melakukannya.

Pada tahun-tahun lalu, anak-anak kecil akan datang ke rumahku untuk mendapatkan duit hari raya. Mereka menekan butang loceng rumah dan memberi salam kepadaku.

Aku akan menjawab salam mereka, dan senang memberi hadiah wang seadanya.

Mereka akan terus berlalu dengan “Terima kasih, assalamu alaikum pakcik”. Ada senyum pada wajah anak-anak itu. Ada rasa puas pada hatiku. Tahun berikutnya mereka akan datang lagi.

Pagi Hari Raya tahun 2020 ini selepas solat aku menuggu kedatangan anak-anak seperti biasa. Aku menunggu bunyi loceng dari pintu pagarku.

Ada sedikit wang dalam sakuku, dan sedikit ketupat dalam beg plastik untuk mereka. Anak-anak yang berkunjung pada tahun lalu pasti sudah bertambah setahun pada usia masing-masing.

Barangkali mereka akan membawa adik-adik mereka dan kawan-kawan bersama.

Dalam hati kecilku berkata “Datanglah anakanda sekelian. Walau pun Pakcik sudah lama bersara, Tuhan telah Bermurah Memberi Pakcik rezeki yang halal dan baik”.

Tiba-tiba seperti dalam mimpi, fikiranku melayang ke Kampung Cherang Lali, Tanah Merah Kelantan pada tahun 1960.

Tahun itu usiaku baru 10 tahun, dan hari itu adalah Hari Raya Aidilfitri.

Aku melihat diriku bersama rakan-rakan yang lebih kurang sebayaku berada di halaman ketua kampungku.

Beliau memberiku duit hari raya sebanyak 20 sen.

Begitulah juga kepada setiap orang kawanku. Kami terus ke kedai aiskrim apek di pinggiran kampung. Sukanya hati kami tidak terkira. Aiskrim boleh dibeli dengan harga lima sen saja pada waktu itu.

Dengan wang 10 sen aku sudah boleh membeli mercun. Mercun belum diharamkan pada waktu itu.

Bila aku sedar dari mengelamun, aku dapati anak-anak hari raya belum juga kunjung tiba.

Jam sudah lewat pukul 10.30 pagi. Barangkali mereka akan datang lambat sedikit, kerana banyak buah rumah lain yang akan mereka kunjungi, kata hatiku.

Setelah jam 9 malam, anak-anak belum pun juga tiba. Aku berasa mereka tidak akan datang pada hari ini kerana malam kian menjadi larut. Aku tertanya-tanya. Mungkinkah mereka akan datang esok?

Sebelum tidur malam itu, aku menjadi sedar kenapa anak-anak yang aku tunggukan itu tidak datang. Takut pada Yuri Virus SARS – 2 – CoV !

Mengapa kau begitu kejam wahai virus terhadap kami makhluk Allah SWT?

Ya Allah yang Maha Menatap dan Maha Berkuasa. Tataplah betapa deritanya hamba-hambaMu manusia angkara wabak ini. Kami bermohon kepadaMu Ya Allah, hapuskanlah musibah ini supaya kami bebas tanpa ada halangan untuk beribadah kepadaMu.

Aku bersyukur sekurang-kurangnya cucu-cucuku tidak perlu melakukan apa yang dilakukan oleh anak-anak yang aku tunggu dari pagi sampai ke malam itu. Tetapi dalam kesyukuran itu, aku bersedih. Kalau esok kau datang anak-anak, aku atau wakilku akan masih ada di sini menantimu.

Di petang Hari Raya ini, aku tidak ada banyak perkara yang dapat kubuat, kerana Virus Covid menghalang pergerakan. Aku tidak mahu terperap, takut nanti lekas nyanyuk.
Maka aku menghidupkan salah satu dari hobiku, iaitu menulis puisi dan mendeklamasinya dengan lakonan.

Dato Profesor Rahman Shaari menamakan cara ini sebagai ” Dekon ” (puisilakon). Anakku Ili merakam dekon aku itu dengan telefonnya.

Tak payah rupanya nak menghasilkan sesuatu. Kalau hendak seribu jaya. Beginilah puisi “Gelita Jati” dan Dekon yang kucipta itu:

Masih adakah lagi tuah
Si Tembaga Runa, Germak yang Tiga Lapan ayahanda.
pada keris turunan, Gelita Jati
yang ditempa Sang Pendita.
di tepian Tasik Permi Setaman Bunga?

Asal besi keris tiga beradik,
kakak Tua Maharaja Besi Kursani Besi.
Yang tengah Agok Ading.
Adik bungsu Bapak Besi Sekubang Darah!

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here