Warkah buat Ras Adiba Radzi

0
2253

Oleh SHARINAH MD NOR

TAHNIAH diucapkan kepada Ras Adiba Radzi atas pelantikan sebagai Senator bagi mewakili suara OKU di Malaysia.

Kita terasa dekat dengannya kerana beliau bekas warga media yang sangat berpengalaman dan dihormati.

Walaupun dari segi akses, kemudahan perjalanan, perkhidmatan dan sebagainya telah bertambah baik, saya percaya masih banyak boleh dibuat. Perlindungan dan hak OKU misalnya.

Saya akan menulis berdasarkan pengalaman 58 tahun sebagai OKU fizikal. Mungkin pengalaman saya ini turut dihadapi oleh orang lain.

Saya dilahirkan dengan kaki separas bawah lutut. Saya berjalan dengan menggunakan lutut. Ayah seorang pengawal keselamatan dan ibu surirumah. Semasa berumur 6 tahun bapa pernah bawa saya ke JKM Balik Pulau untuk minta bantuan kerusi roda, kaki palsu atau bantuan kewangan tetapi mereka kata tak ada peruntukan.

Bila umur 7 tahun pakcik saya ingin masukkan saya ke sekolah orang cacat tetapi saya bertegas tak mahu. Saya nak bersekolah biasa Ibu saya mendukung saya sejauh 2km ke sekolah kerana tak ada kerusi roda dan tak pandai menunggang basikal.

Semasa darjah 5 guru bahasa inggeris saya Mr Ang Boon Keng menghubungi akhbar Star untuk membuat liputan saya dengan harapan ada bantuan untuk saya. Gambar saya di sekolah terpampang di muka depan akhbar The Star tetapi tiada pihak yang tampil.

Saya meneruskan persekolahan rendah dan menengah dengan membonceng basikal rakan-rakan sekampung (merekalah antara malaikat kecil saya).

Bapa meninggal masa saya di sekolah menengah. Selepas tamat STP saya masuk UiTM Shah Alam pada tahun 1983.Hari pertama masuk lepas daftar kaunselor panggil saya dan abang yang hantar saya ke pejabat di bangunan HEP. Saya ingat lagi pertanyaan beliau kepada saya. “Kat sini jarak kolej dengan fakulti jauh. Jalan berbukit-bukit. Macam mana awak nak pergi kelas. Untuk orientasi seminggu sahaja ambulans disediakan untuk ambil awak dari kolej ke dewan sri budiman. Lepas tu awak kena usaha sendiri”.

Mendengar pertanyaan kaunselor anda rasa apa perasaan saya pada masa itu. Seorang pelajar OKU datang jauh-jauh dari Pulau Pinang dilayan sedemikian rupa pada hari pertama ia sampai. Abang saya terus nak bawa saya balik. Tapi saya berkeras nak kekal di situ dengan wang RM170.00 yang emak bekalkan hasil berjualan kuih.

Saya ditempatkan di Kolej Seroja. Saya ada masa seminggu untuk fikirkan bagaimana cara nak ke fakulti. Saya ke pejabat asrama dan tanya ada tak sesiapa yang boleh tolong saya hantar dan ambik bila kelas bermula. Seorang staf kata boleh tolong tapi dia kenakan bayaran rm150.00. Nilainya sangat tinggi pada masa itu dan emak kata tiap bulan dia cuma mampu bagi saya rm170 saja.

Saya terus bersetuju dan wang saku saya cuma berbaki rm20. Dia akan ambil saya sebaik saja habis kerja jam 5 walaupun kelas saya belum habis. Memang saya sentiasa ketinggalan dalam kerja-kerja studio tetapi rakan banyak membantu.

Perancangan Allah adalah yang terbaik. Saya mendapat rakan sebilik yang senasib dengan saya. Kakinya sebelah menggunakan kaki palsu sejak umur 6 tahun lagi. Dia hairan saya tidak membuat kaki palsu dan sanggup berjalan dengan lutut.

Keluarga saya susah dan tak ada sesiapa yang tampil membantu. Bila melihat dia menggunakan kaki palsu saya nekad untuk mencari cara.

Saya ke klinik kesihatan UiTM dan meminta GL untuk ke GHKL dengan alasan kaki saya sakit. Di situ ada bahagian membuat kaki palsu.

Dengan GL itu saya berjaya mendapat sepasang kaki palsu tanpa memberitahu pihak UiTM. Kosnya lebih RM600 pada masa tu. Harap kerajaan halalkan ya…selepas itu saya tidak menoleh kebelakang lagi dan bertekad untuk melupakan bahawa saya OKU kerana ianya tidak membantu. Saya bergaul dengan rakan-rakan normal termasuk rakan sebilik saya yang merupakan bff saya sampai kini.

Walaupun menggunakan kaki palsu tetapi pergerakan saya terbatas. Rakan-rakan membantu membawa beg dan barang-barang saya. Maklum la budak AD.

Sekali lagi Allah beri perancangan kedua kepada saya. Syarikat Suzuki di Jepun telah mencipta kerusi roda bermotor menggunakan kuasa bateri. Hanya ada 5 buah untuk diuji di seluruh dunia. Salah satunya dibawa ke Malaysia. Mereka menghubungi UiTM bertanya samada ada pelajar OKU di situ dan kebetulan saya satu-satunya. Jadi rezeki perpihak kepada saya. Puas saya melanyak kerusi roda itu di kampus yang berbukit. Saya dapat membawa beg dan barang-barang sendiri malah penuh bergayut beg rakan-rakan saya…

Tamat belajar saya terus memohon pekerjaan tanpa menyatakan saya OKU. Selepas 5 tahun saya memulakan perniagaan sendiri. Sepanjang tempuh itu sekali lagi saya diuji. Saya ditipu beratus ribu dan kaki palsu saya yang telah lama saya gunakan telah rosak. Saya tidak dapat bekerja untuk beberapa tahun. Wang simpanan saya habis. Saya pernah memohon bantuan zakat untuk mendapatkan kaki baru.

Walau pun telah melihat kaki saya mereka tetap mahu saya berdaftar dulu dengan JKM dan mendapatkan kad OKU.

Permohonan kad OKU di JKM benar-benar menguji kesabaran saya.

Walaupun telah melihat kaki saya tetapi mereka tetap menyuruh saya ke hospital kerajaan untuk mendapatkan pengesahan doktor tentang kecacatan saya.

Setelah ke hospital dan di beri tarikh temujanji baru saya dapat berjumpa dengan doktor.

Akhirnya selepas setahun baru saya berjaya mendapat kad keramat itu. Setelah memperolehi kad saya cuba membuat permohonan kaki palsu di JKM dan mereka meminta saya mengisi borang dan meminta sekali lagi mendapat pengesahan doktor.

Saya rasa nak maki pun ada sebab apa guna kad OKU kalau saya kena pergi semula ke hospital kerajaan. Saya kembali ke Zakat untuk membuat permohonan dengan menunjukkan kad OKU. Tetapi mereka meminta saya mendapatkan pengesahan doktor tentang kecacatan saya. Jadi untuk apa mereka meminta saya mendapatkan kad OKU yang saya kena tunggu setahun tetapi jelas ia tidak membawa makna apa-apa.

Kerana terpaksa saya ke hospital semula. Setelah mendapat surat pengesahan doktor saya mengisi borang permohonan kaki palsu di Pusat Zakat dan JKM.

Setelah 3 tahun dan beberapa kali ke sana baru pihak zakat meluluskan permohonan saya walaupun tidak sepenuhnya mengikut sebut harga.

Tetapi permohonan di JKM tidak mendapat kelulusan atau maklum balas hingga kini.

Kini barulah saya faham kenapa arwah ibu bapa saya berputus asa mendapatkan bantuan untuk saya dulu.

Setiap kali budget dibentang menyatakan ada peruntukan atau kenaikan bayaran untuk OKU saya pernah cuba. Tetapi jawapan yang saya terima saya kena ada pekerjaan bergaji minimum 1000 baru boleh memohon. Kalau tak bekerja tak layak memohon.

Cuba juga bertanya kalau ada bantuan modal untuk memulakan perniagaan. Jawapannya saya kena mula berniaga dulu contohnya warung nasi lemak, mereka akan datang tengok dan barulah bantuan akan menyusul. Dik…. kalau OKU tu nak mulakan perniagaan pun tak de duit apa yang awak nak tengok. Nak beli meja pun tak de duit tak kan nak bersila atas jalan jual nasi lemak macam makcik jual keropok depan petronas.

Ini saya saja nak uji kalau-kalau sekarang lebih mudah tetapi daripada dahulu sampai sekarang sama sahaja. Saya rasa jadi ibu tunggal lebih mudah memohon bantuan zakat dan JKM, cuma perlu tunjuk surat cerai atau surat mati suami. Tapi kalau kau OKU walaupun jelas dan nyata tak ada kaki tapi kau tetap kena pergi mendapatkan pengesahan doktor. Sama juga kalau nak dapat bantuan kewangan zakat. Kau kena ada anak sekurang-kurangnya 5 orang baru dikira asnaf.

Patutlah selalu tengok orang yang sangat daif kehidupan mereka tetapi anak berderet. Rupanya senang nak dapat bantuan zakat. Lagi satu kalau awak ada kawan dalam pusat zakat walau kau ada rumah sendiri dan rumah sewa, cuma duda kematian isteri kau tetap dapat bantuan zakat sebab kategori bapa tunggal kot.

Saya nak tengok kalau-kalau ada pihak yang tampil menafikan hal ini. Saya menulis bukan berdasarkan cerita orang atau isu viral tetapi pengalaman saya sendiri. Berani kerana benar….

Kepada RAS ADIBA RADZI anda berada di tempat yang saya kira kata-kata anda akan didengari. Jangan hanya mengetengahkan isu-isu besar tetapi tolong perhatikan isu-isu terpencil.

Tolong pantau JKM dan pusat zakat. Tengok balik permohonan yang mereka terima dan pengap. Memang OKU yang tidak mendapat pembelaan ini tidak bunuh diri sebab masih ada sekelumit iman tetapi kita telah membunuh jiwa mereka. Begitu juga pemantauan dengan pihak kaunselor universiti.

Setiap kali menerima pelajar baharu golongan OKU tolong beri semangat kepada mereka dan bantuan yang kalian boleh tolong untuk memudahkan mereka memulakan kehidupan di kampus.

Tugas kalian bukan semata-mata membantu pelajar yang putus cinta dan nak berenti belajar atau “homesick”. Golongan ini tak ramai pun jadi tak susah nak cari. Tolong beri mereka bantuan kewangan kerana perbelanjaan mereka lebih tinggi. Seperti saya dulu yang terpaksa mengupah orang hantar dan ambil serta naik teksi walau jaraknya dari seroja ke kedai Maria di seksyen 2 orang lain jalan kaki ja.

Alhamdulillah walaupun menghadapi berbagai dugaan dan rintangan saya tetap dapat bangkit dan memulakan perniagaan. Saya meminjam dengan rakan-rakan kerana tak perlu nak cerita kerenah pihak bank pula. Saya menubuhkan Sharina Art & Gallery yang menjalankan perniagaan cenderamata korporat.

Saya bangga kerana dapat membekalkan trofi untuk anugerah Kualiti JPA, kerajaan Negeri Selangor, TNB, anugerah Hari Pekerja Kementerian Sumber Manusia, pingat pelajar terbaik universiti dll…

Saya memberi peluang kepada suri rumah untuk menambah pendapatan dengan bekerja dari rumah.

Untuk itu saya menerima Anugerah Wanita Inspirasi Tun Dr Siti Hasmah.

Berdasarkan pengalaman saya pernah diberikan kepercayaan menguruskan program 1000 langkah peringkat negeri Pulau Pinang. Malah saya tidak pernah menyatakan yang saya OKU untuk meminta-minta diberikan projek.

Saya juga mempunyai group artis dinamakan Tajdid Group. Saya seorang saja OKU dan 7 ahli yang lain artis normal. Kami pernah mengadakan siri pamiran di Perbadanan Putrajaya, NST, Matic, Balai Seni Shah Alam dan terbaharu di Balai Seni Negara sepatutnya pasa April, tetapi ditunda kerana Covid-19.

Saya tidak meminta bantuan kewangan tetapi berilah bantuan dengan menggunakan perkhidmatan syarikat saya dan membeli painting-painting group saya. Dengan ini saya akan terus dapat membantu orang lain yang memerlukan.

Saya harap puan dapat membantu saya melahirkan OKU yang berjaya dan berdaya saing di dunia yang dipenuhi dengan majoriti orang normal. Saya tidak mahu mereka menjadi golongan yang tertindas oleh pegawai-pegawai yang penuh karenah birokrasi dan akhirnya membunuh jiwa mereka.

RAS ADIBA RADZI, TOLONG BANTU SAYA DAN MEREKA…

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here