Sheeda ajak artis bantu Zaleha Hamid

1
1885

Oleh NAFSIAH JANI

PRIHATIN dengan nasib penyanyi dangdut, Zaleha Hamid, 65, yang kini menghadapi masalah serangan angin ahmar (minor stroke) membuatkan penyanyi dangdut, Sheeda terpanggil untuk membantunya. Kini Sheeda sedang merancang sebuah Konsert Makan Malam Amal Zaleha Hamid.

Zaleha yang pernah mendapat jolokan Ratu Dangdut Malaysia kini terlantar dipembaringan sejak hujung Disember lalu. Penyanyi yang popular dengan lagu Dangdut Raggae dan Nasib Janda kini hanya minum susu khas dan membuang air menggunakan tiub sahaja.

“Sepatutnya konsert ini kami buat pada 11 April lalu. Tapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semuanya terpaksa ditangguhkan. Tunggu lepas PKP ini baru saya fikirkan tarikh baru untuk kami buat konsert tersebut.

Sheeda bersama anaknya Nurfazlinda (kiri) dan Bienda.

“Saya terpanggil nak membantu bonda (panggilan untuk Zaleha) atas dasar nak tolong sesama artis. Mungkin ini hari bonda, hari kita tak tahu lagi. Nak bantu bagi duit saya pun bukannya banyak duit, tapi apa yang mampu saya lakukan adalah mengajak rakan-rakan artis buat amal bagi membantu meringankan bebanan bonda.

“Lepas PKP ini kami kena booking semula tempat itu, buat promosi semula sebab takut peminat dah lupa dan banyak lagi kerja yang terpaksa kami buat lepas ini. Saya harap bantuan kami nanti dapatlah membantu perubatan bonda untuk meneruskan kehidupannya sehari-hari,’’ kata Sheeda ibu kepada empat orang cahayamata ini.

Konsert Majlis Makan Malam Amal ini bakal berlangsung di Kampung Teluk Gong, Pengkalan Balak, Melaka. Antara artis yang terlibat ialah Salwa Abdul Rahman, Reena Eva, Linda Eva, Khaty Azian, Siti Fairuz, Karl Lejen, J.Sham, Nas Kilauan Emas dan Ejick The Magic (silap mata).

Jualan tiket hanya berharga RM350 untuk satu meja yang boleh memuatkan 10 orang ataupun tiket berharga RM35.00 untuk seorang individu. Sasaran Sheeda dapat menjual 100 buah meja dan turut mengajak peminat Zaleha Hamid dan artis yang terbabit dengan persembahan dari seluruh negara termasuk Singapura datang memberikan sokongan.

Melaka dipilih kerana ia berdekatan dengan tempat tinggal Zaleha yang kini menetap di rumah sewa di Skudai, Johor. Untuk tempahan meja Sheeda boleh dihubungi ditalian 010-9003765.

Dalam kesibukkan menjayakan konsert tersebut, Sheeda yang juga popular dengan lagu, Angkat Kaki dan Dang Dang Dut juga kini sibuk dengan single terbarunya, Papa Mama yang merupakan usahasama Malaysia dan Indonesia. Selain lagu Papa Mama, Sheeda juga bakal berduet lagu ciptaan Ewan Junior bertajuk, Sakti dengan anak ketiganya, Nurfazlinda Ahmad Fazli, 20.

Sheeda bersama empat orang anaknya, menantu serta kedua-dua anak perempuan Bienda.

“Gara-gara PKP banyak kerja-kerja studio saya tertangguh. Anak ketiga saya ni masih belajar lagi. Kini dia tengah ikuti pengajian ijazah dalam bidang kewangan di Universiti Tengku Abdul Rahman. Dia menyanyi ni pun saja suka-suka macam kakaknya, Bienda masa zaman budak-budak dulu,’’ ujar Sheeda lagi.

Sheeda yang baru beberapa bulan bergelar ibu tunggal kini bahagia dengan kehidupan barunya bersama empat orang cucu. Kini Sheeda Dangdut juga tengah berjinak-jinak dengan dunia perniagaan yang akan diusahakan bersama anak-anaknya.

-BebasNews

Please follow and like us:

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here