Bersatu patut bubar, ahli cari parti lain?

0
939
FOTO IHSAN TWITTER MUHYIDDIN YASSIN.

Oleh FIKRI ALLAUDIN

MASZLEE Malik pernah menzahirkan kegusaran akan nasib parti BERSATU selepas
PRU15 nanti. Besar kemungkinan BERSATU tidak akan mempunyai masa depan
yang cerah termasuklah bertanding di kerusi Parlimen dan DUN dalam kawasan
majoriti Melayu apatah lagi berpeluang untuk mentadbir mana-mana negeri jika terus
bersama UMNO dan PAS.

Agak sukar bagi BERSATU meneruskan survival politiknya, jika diukur bersama
UMNO dan PAS dari segi kekuatan ahli akar umbi, kekuatan jentera, sokongan
pengundi dan mempunyai pengaruh besar dalam kalangan orang Melayu.

Pastinya bukan sesuatu yang mudah untuk BERSATU bersaing atau menggantikan
UMNO sebagai parti terbesar orang Melayu kerana walaupun UMNO tewas PRU-14,
ahli parti masih tidak berganjak dan kekal setia bersama UMNO
Apa pilihan yang ada pada BERSATU dan ahlinya?

BERSATU wajar dibubarkan dan ahli-ahlinya perlu mencari parti yang lebih stabil dan
relevan dalam kelangsungan politik negara. Sehingga ke hari ini, satu demi satu
pengasas parti sudah mula sangsi dan meninggalkan parti BERSATU.
BERSATU yang diasaskan kerana kepentingan peribadi dan menjadi longgokan
pemimpin yang melompat sudah terbukti bukan parti yang mempunyai wibawa dan
masa depan politik.

Dengan perpecahan dalaman yang tidak boleh disembunyikan lagi antara kem Tun
Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin, BERSATU ibarat bom jangka.

Hanya menang 13 kerusi berbanding UMNO 54 kerusi pada PRU-14, BERSATU
bukan parti ‘favourite’ orang Melayu. Malah masih tersasar dari realiti mahu menjadi
parti orang Melayu untuk menggantikan UMNO.

Ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, ahli UMNO tidak berganjak masuk
BERSATU kecuali beberapa pemimpin ‘katak’ sahaja. Dan ketika Tan Sri Muhyiddin
menjadi Perdana Menteri, ahli UMNO masih kekal setia bersama UMNO.

Seharusnya ini isyarat yang perlu difahami oleh Tan Sri Muhyiddin. Orang Melayu
tidak yakin dan hanya mengundi BERSATU-PH kerana sentimen dan persepsi
semata-mata sahaja ketika itu.

Persefahaman dan kerjasama oleh UMNO-PAS kepada Tan Sri Muhyiddin dalam
agenda menyelamatkan negara melalui Perikatan Nasional membuktikan kedua-dua
parti ini berjiwa besar dan tidak berdendam dengan Tan Sri.

Tan Sri Muhyiddin tidak pernah meletak jawatan atau meninggalkan UMNO, beliau
hanya dipecat ketika krisis politik ketika itu. Tidak mustahil untuk ahli UMNO membuka
pintu pendamaian dan menerima semula Tan Sri Muhyiddin sepertimana UMNO dan
PAS berdamai.

Dan jika UMNO merasakan Tan Sri Muhyiddin individu yang layak untuk menerajui
tampuk pemerintahan negara, beliau boleh dipertimbangkan sebagai calon Perdana
Menteri daripada UMNO untuk Barisan Nasional dan Muafakat Nasional pada PRU15.
Contohi Semangat 46 dan kembali kepada UMNO. Pilihan di tangan Tan Sri,
BERSATU dan ahlinya.

– BebasNews

*Kenyataan ini dikeluarkan oleh Sekretariat Persatuan Pemikir Muda Johor
Ini adalah semata-mata pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian bebasnews.my

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here