KERAJAAN Kedah berkata, ia tidak bercadang membuka semula konsesi pembalakan di negeri itu.

Sebaliknya ia menimbangkan cadangan bagi mengelak daripada membayar pampasan dianggarkan bernilai RM1 bilion kepada pembalak berlesen selepas konsesi mereka di rizab hutan kekal dibatalkan sebelum ini.

Semalam pejabat menteri besar berkata, kerajaan negeri tidak bercadang membuka lebih banyak kawasan pembalakan, tetapi hanya menimbangkan untuk membenarkan syarikat terbabit mengeluarkan hasil di kawasan “hutan pengeluaran” sebagai ganti.

“Berikutan itu, implikasi yang terpaksa dihadapi kerajaan negeri ialah sama ada berhadapan tindakan mahkamah, membayar ganti rugi atau menimbang langkah menggantikan kawasan lain kepada syarikat konsesi,” katanya dalam satu kenyataan.

“Kawasan lain yang diganti mestilah dalam kawasan hutan pengeluaran yang dibenarkan Jabatan Perhutanan berasaskan undang-undang dan peraturan yang sedang berkuat kuasa.

“Langkah ini akan diperhalusi dan diberikan pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Majlis Kayu Malaysia (MTC) menyenaraikan 5 jenis hutan rizab kekal, iaitu pengeluaran, dilindungi, penyelidikan, pendidikan dan hutan lipur seperti ditakrifkan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

MTC berkata, hutan pengeluaran mesti mematuhi amalan pengurusan hutan mampan yang digariskan di bawah akta tersebut. Kerajaan menetapkan jumlah tebangan tahunan yang dibenarkan, iaitu keluasan maksimum hutan yang boleh ditebang setahun.

Di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020), MTC melaporkan jumlah kawasan yang dibenarkan ditebang setahun ialah 41,888 hektar di semenanjung, Sabah (50,000 hektar) dan Sarawak (155,000 hektar).

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor sebelum itu memberitahu pemberita bahawa 40 pemegang konsesi balak dibenarkan menjalankan aktiviti pembalakan sebelum ia dibatalkan.

Bagaimanapun bekas menteri besar Mukhriz Mahathir mempersoalkan angka pampasan sebanyak RM1 bilion itu dengan berkata, jumlahnya tidaklah sebegitu besar.

“(Dari) mana mai (datang) tuntutan sampai RM1 bilion tu pula? Zaman PH (Pakatan Harapan) tak sampai 2 minggu lepas pun tak ada tuntutan daripada pemilik konsesi sebanyak itu.

“Saya dah pesan dalam ucapan ketika melepaskan jawatan sebagai MB untuk tidak membuka balik kawasan balak Kedah. Belum panas kerusi MB tu dah buka balik?”, katanya di Facebook semalam.

Pada 1 Julai tahun lepas, Parlimen diberitahu bahawa Kedah mewartakan 106,418 hektar Hutan Ulu Muda sebagai rizab hutan kekal.

Akhbar melaporkan Kedah bakal kehilangan hampir RM200 juta hasil selepas aktiviti pembalakan tidak dibenarkan di sebahagian daripada hutan itu.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) berkata, hanya 16% daripada hutan berkenaan ditetapkan sebagai kawasan tadahan hujan, sementara status baki 84% lagi tidak diketahui.

Ia menggesa kerajaan pusat membayar ganti rugi kepada syarikat konsesi dan meminta kawasan hutan terbabit tidak disentuh sebagai kawasan tadahan air masa depan.

Forum Air Malaysia mendakwa penebangan hutan dan aktiviti pembalakan tidak mapan, sama ada secara sah atau haram, mengancam peranan hutan sebagai kawasan tadahan, sekali gus memberi kesan ke atas kualiti dan isi padu bekalan air.

Perlis, Kedah dan Pulau Pinang bergantung pada Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air, iaitu membabitkan 4.2 juta orang yang bergantung pada sungai di hutan terbabit sebagai sumber bekalan air.

Kedah memiliki 300,000 hektar kebanyakannya hutan dara dan lebih separuh daripadanya membentuk kawasan hutan Ulu Muda.

Selama bertahun-tahun negeri itu membenarkan penebangan antara 3,000 hingga 12,000 hektar setahun untuk tujuan pembalakan.

Pada 2011, dilaporkan bahawa kerajaan pimpinan PAS pada masa itu meluluskan penebangan 12,909 hektar hutan dengan jumlah hasil daripada premium balak sebanyak RM74.92 juta pada tahun itu.

Pada 2019, hasil balak merosot kepada RM18.36 juta.

https://bit.ly/3eknHxy
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here