Kelesuan, hilang deria bau serta rasa termasuk gejala COVID-19

0
505

KELESUAN dan hilang deria bau serta rasa, kini termasuk dalam gejala COVID-19 tidak nyata, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham semalam.

Dr Noor Hisham berkata sebelum ini jika seseorang itu mempunyai gejala nyata seperti demam, batuk, selesema, cirit-birit dan sesak nafas, kebarangkalian untuk mendapat jangkitan COVID-19 itu wujud.

“Tetapi gejala yang kita tak perasan ada kalanya adalah keletihan, kelesuan, yang juga satu gejala (COVID-19). Hilangnya deria bau dan deria rasa. Itupun satu gejala.

“Mesyuarat (tempoh hari) di Jabatan Perdana Menteri pun, pegawai tersebut yang datang ke mesyuarat (pasca-Kabinet), dia tidak ada gejala yang nyata, contohnya demam, batuk, sesak nafas ataupun selesema. Tetapi hanya gejala kelesuan yang ada,” jelasnya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, apabila pegawai tersebut ada gejala kelesuan, kebetulan yang beliau diperlukan bagi menghadiri mesyuarat tersebut, maka KKM telah melaksanakan ujian saringan dan beliau positif.

Dalam pada itu Dr Noor Hisham berkata, walaupun di pejabat mempunyai peralatan untuk mengambil suhu, jelasnya walaupun seseorang suhu normal (36.6 hingga 37.2), tidak semestinya mereka tidak bergejala (gejala tidak nyata).

“Tapi kalau ada gejala (nyata dan tidak nyata), pastikan jangan datang ke pejabat langsung,” katanya yang mengulas pertanyaan pemberita berhubung wujudnya perbezaan suhu pada termometer yang digunakan.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata, KKM akan melihat bagaimana untuk menempatkan pesakit COVID-19 yang telah didiscaj selepas 14 hari, sekiranya mereka tidak mahu pulang ke rumah.

“Kalau mereka tak nak balik, kita akan lihat bagaimana untuk kita tempatkan mereka di hospital atau mungkin di institut latihan dan tempat yang asymptomatic (tidak menunjukkan apa-apa simptom) bergejala ringan.

“Mereka yang bergejala pada hari pertama dan hari 14 masih lagi bergejala, itu yang kita akan tahan lagi. Sebab ada yang (bergejala) berpunca dari virus dan kebolehjangkitan atau komplikasi,” jelasnya.

Tambah Noor Hisham, sekiranya pesakit ada komplikasi dan memerlukan rawatan berlanjutan, KKM akan pantau dan rawat, sehingga mereka didiscaj daripada wad.

Jelas Dr Noor Hisham lagi, KKM juga menerbitkan garis panduan untuk pakar-pakar serta doktor mereka, untuk merawat serta mengurus pesakit untuk tempoh 14 hari dalam masa terdekat.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), polis dan badan bukan kerajaan (NGO), bekerjasama untuk melaksanakan pemantauan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) masyarakat, ketika aktiviti riadah dan bersenam.

Dr Noor Hisham menjawab pertanyaan pemberita berhubung isu jarakan sosial, ketika orang awam melakukan aktiviti riadah dan bersenam, sehingga menyebabkan kawasan taman rekreasi menjadi sesak.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here