Mulanya 265, kini 207 sertai RTT Olimpik 2020

0
336

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

PADA mulanya, 265 kini hanya 207 orang.

Angka ini merangkumi atlet, jurulatih, rakan sepelatih, pengurus sukan, pegawai dan petugas sokongan sains sukan dan perubatan sukan yang akan terlibat dengan kem latihan berpusat program Jalan Ke Tokyo (RTT) Sukan Olimpik 2020 dari 1 hingga 30 Jun ini.
Sebanyak 56 orang dikurangkan berbanding angka asal yang diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Menteri-menteri Mengenai Covid-19 pada 19 Mei lalu, umum Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

Pengurangan ini melibatkan anggota sokongan (anggota keselamatan, pembersihan dan pemandu) seramai 52 orang yang boleh menyediakan perkhidmatan secara berkala dari luar ketiga-tiga kem latihan berpusat program itu.

Daripada 181 orang, angkanya dikurangkan kepada 146 di Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC), Bukit Jalil; 56 orang kepada 37 orang di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara dan 28 kepada 24 orang di Pusat Latihan Pelayaran Kebangsaan, Langkawi, Kedah.

AHMAD SHAPAWI ISMAIL

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, dua atlet para dari Sabah dibenarkan terus menjalani latihan sendirian dengan jurulatih masing–masing di sana iaitu Brenda Anelia Larry (renang para) dan Wong Kar Gee (olahraga para).

“Pengecualian ini (juga kepada jurulatih mereka) diberikan kerana keadaan mereka yang memerlukan perhatian sepenuh masa daripada keluarga dan boleh menjalani latihan khusus sukan masing–masing di sana,” katanya dalam siaran media semalam.

Katanya, seorang atlet menembak para pula menarik diri daripada RTT kerana menganggap peluangnya layak ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020, tahun depan sudah tipis berdasarkan ranking semasanya.

Sukan-sukan yang akan ditempatkan di KLSC ialah akuatik (terjun dan renang), gimnastik artistik, memanah dan karate manakala bagi Paralimpik, akuatik renang, memanah, berbasikal, olahraga, badminton, boccia, powerlifting, pingpong dan tenis berkerusi roda.
ABM pula menempatkan atlet-atlet badminton (lapan normal dan seorang para) di samping 37 bukan atlet manakala kem di Langkawi, membabitkan 24 atlet, jurulatih dan petugas sokongan.

AKADEMI Badminton Malaysia, Bukit Kiara hanya akan menerima 37 orang bagi RTT berbanding 56 asalnya. – Foto BAM

“Atas nasihat Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Kementerian Kesihatan, 146 orang di KLSC hanya akan melapor diri pada 8 Jun kerana tempat penginapan rasmi mereka, Casa 1 perlu menjalani proses nyah kuman.

“Tempat ini telah digunakan sebagai antara Pusat Kuarantin Covid-19 oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang telah tamat pada 27 Mei lalu,” jelas Shapawi.
Tegasnya, semua yang terlibat dengan RTT di ketiga-tiga kem latihan ini wajib menjalani proses saringan apabila melapor diri seperti:

i) Menjalani ujian swab pada hari pertama pendaftaran.
ii) Menjalani kuarantin diri di bilik penginapan dari hari pertama sehingga keputusan ujian pada hari kedua atau ketiga dan
iii) Menjalani ujian swab pada hari kelima (gejala awal) dan ujian swab hari ke-13 (bukan gejala).

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here