Senator Ras Adiba, dengarlah…

Oleh Adi Sukma & Dato Prof Dr Hashim Yaacob

KAMI berasa sayu membaca cerita Sharinah Md Nor dalam Bebasnews bertajuk WARKAH BUAT RAS ADIBA RADZI pada 25 Mei 2020.

Dalam kesayuan itu, kami berasa syukur dengan penuh keinsafan, kerana dapat belajar daripadanya, betapa kami dan keluarga tidak ditakdirkan untuk menanggung derita yang berlarutan sepertimana yang dialami Sharinah.

Beliau dilahirkan dengan kaki di  bawah lutut, dan berjalan menggunakan lutut.

Dalam rencana itu, Sharinah merayu kepada Senator Ras Adiba Radzi, supaya berusaha membela kehidupan golongan OKU sebolehnya.

Terbayang terang dalam fikiran kami  betapa hancurnya harapan ibu bapa Sharinah apabila permintaan untuk mendapatkan kursi roda ditolak oleh Kerajaan Pulau Pinang. Sharinah berusia enam tahun pada waktu itu. Ibunya mendukungnya sejauh 2 km setiap hari ke sekolah, kerana bapanya yang bekerja sebagai pegawai keselamatan terpaksa bekerja mencari rezeki untuk keluarga. Demikianlah, kasih ibu membawa anaknya ke syurga dunia dan akhirat. Kasih bapa pula sepanjang masa.

Akhirnya berjaya juga Sharinah melanjut pelajaran di UiTM pada tahun 1983. Ya Allah, dia masih lagi berjalan dengan lututnya! Bagaimanakah akan dia berupaya untuk ke kelas yang jauh baginya? UiTM membantu makan minum dan akamodasi.
Dia menyewa kereta dengan bayaran RM 150 sebulan, daripada RM170 yang diberi ibunya. Maka Sharinah hidup dengan wang berbaki RM 20 sebulan.

Bapanya sudah meninggal dunia sewaktu dia masih di sekolah menengah lagi.

Saya (Hashim) telah lama meninggalkan ITM sebagai pelajar pada waktu itu.

Berkat kecekalan dan semangat waja, akhirnya berjaya juga Sharinah sewaku masih di UiTM, mendapat kerusi roda dengan harga RM600, walaupun terpaksa melalui kerenah birokrasi.

Rentas kisah, setelah tamat di UiTM, dia berniaga dan hilang ratusan ribu kerana ditipu orang. Selama tiga tahun selepas itu dia tidak bekerja kerana ketiadaan modal wang.

Membaca perenggan demi perenggan kisah Sharinah ini membuat hati kami berdebar, gelisah  dan bertambah sayu, kerana jelas kelihatan bahawa hidupnya yang terjatuh, sering pula ditimpa tangga. Kami mengharapkan kesudahan perjalanan hidupnya satu hari nanti akan bercahaya juga. Sharinah orang bersemangat waja, cekal, tidak putus asa, berani dan yakin diri dari kecil hingga dewasa.

Rupanya harapan kami itu menjadi nyata. Sharinah hari ini telah mempunyai perniagaan cenderamata Sharina Art and Gallery, dan menganggotai Group artist Tajdid Group. Kami bangga dengan kejayaannya.

Sharinah dalam rencananya (Warkah Buat Ras Adiba, siaran bebasnews.my, 25.5.2020. https:/bebasnews.my/? p=37367) itu telah memohon keperihatinan Senator Ras Adiba Radzi supaya peka membantu rakyat OKU agar dapat menjalani kehidupan yang menjaminkan kesejahteraan.

Senator Ras Adiba Radzi pernah berkhidmat di Universiti Malaya sebagai Karyawan Tamu pada tahun 2005 untuk beberapa tahun.

Saya (Hashim) bertuah dapat mengenalinya , dan berasa yakin beliau akan membantu saudara-saudara OKU sebaiknya.

Kami akan berbahagia kalau nanti mendapat berita yang saudara-saudara OKU diberi pembelaan yang setimpal.

— BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here