UMNO sewajarnya bukan ‘bapa ketam’

0
494
JOHOR BAHRU 30 JUN 2018. Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap ketika Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang 2018 di Hotel Amansari Residance Resort, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang. NSTP/MOHD AZREN JAMALUDIN

Oleh AHMAD ABD HAMID

NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mahu parti itu menjadi seperti ‘bapa’ yang tidak mudah terguris hati dengan sikap anak-anak yang telah meninggalkan parti itu.

Beliau mahu, sebagai bapa, UMNO bersedia memaafkan anak-anak ini dan menerima mereka seandainya ingin kembali ke pangkuan bapa. Jangan ditutup pintu untuk mereka.

Secara mudah, anak-anak yang meninggalkan bapa adalah mereka yang meninggalkan UMNO untuk menubuhkan parti baharu.

Mungkin ini lebih tertuju kepada Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang ditubuhkan sebagai alternatif kepada UMNO. Juga kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mana ramai pemimpinnya adalah bekas orang UMNO.

Kelompok ini, menurut Khaled, wajar diberi peluang untuk kembali ke pangkuan UMNO jika mereka berhasrat berbuat demikian memandangkan mereka asalnya dari rumah yang sama.

Barangkali pandangan ini dibuat dengan mengambil kira senario yang pernah berlaku sebelum ini. Parti Semangat 46 yang ditubuhkan untuk menyaingi UMNO telah pun berkubur dan ahlinya kembali kepada UMNO.

Namun ada kelainan di sini. Sementara Semangat 46 gagal menukar kerajaan, PPBM dan PKR dalam Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan UMNO dan BN dalam PRU-14.

Ternyata PPBM walau pun parti baru telah menunjukkan impak berkesan bersama gabungannya dalam PH. Cuma apa yang berlaku selepas itu sudah diketahui umum apabila PH tumbang hanya selepas 22 bulan berkuasa.

Namun pandangan yang dilontarkan oleh Khaled seharusnya tidak hanya menjurus kepada memaafkan dan menerima kembali ‘anak-anak’ UMNO yang telah memilih jalan berasingan.

Sebaliknya UMNO juga perlu menyerlahkan ia sebagai seorang bapa yang benar-benar memiliki sifat-sifat terpuji, bertoleransi serta berpekerti tinggi yang boleh dicontohi. Ini agar UMNO tidak dilihat bagai bapa ketam yang menyuruh anak berjalan betul.

Jangan mudah melenting apabila anak menyatakan sesuatu yang tidak menyenangkan hati, lantas menghukum hingga anak membawa diri atau dihalau pergi.

Sangat penting bagi UMNO mencermin diri kenapakah ada anggotanya meninggalkan parti dan menubuhkan parti baharu.

Antaranya didorong rasa kecewa kerana kebebasan bersuara bagai dibelenggu. Kritikan kepada pemimpin berhubung isu serius seperti 1MDB bukan sahaja tidak dilayan malah beberapa orang yang berani bersuara mengenainya dilucut jawatan dan disisihkan.

Malangnya ramai pula di kalangan ahli yang terus bersikap ‘angguk’ kepada kepimpinan dan sama-sama menyisihkan rakan-rakan yang berani bersuara.

Kekalahan dalam PRU-14 diharapkan menjadi detik UMNO bermuhasabah. Ramai mahu UMNO berubah dan menjadi sebuah parti dengan semangat baharu serta lebih dinamik dengan
menampilkan lebih ramai golongan muda di saf kepimpinan.

Namun ini juga tidak berlaku. Muka-muka lama masih terpilih memegang jawatan peringkat tertinggi. Anggota parti bagai tidak mahu melihat perubahan dalam UMNO.

Penubuhan kerajaan Pakatan Nasional (PN) menyaksikan UMNO memperoleh tali hayat yang sangat diharapkan. Secara tidak langsung juga ia kini bersahabat baik dengan PPBM yang berpihak kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Pas.

Namun belum terserlah perubahan UMNO itu sendiri, sebaliknya lebih menampakkan usaha memperoleh agihan jawatan dalam kerajaan atau GLC.

Sewajarnya Khaled Nordin bukan sahaja menyarankan serpihan UMNO kembali ke pangkuan parti tetapi juga menekankan mengenai perlunya UMNO berubah dan kenapa anak-anak yang lari patut kembali ke rumah.

Malah dia juga patut menggesa Pas dibubar dan ahlinya kembali kepada UMNO kerana Pas juga asalnya adalah serpihan UMNO. Apatah lagi mereka kini bersahabat baik demi ‘agama bangsa dan tanah air’. Atau adakah slogan ini hanya retorik menurut kesesuaian keadaan?

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here